#6: AJARKANLAH KAMI TERBANG

493 1 0
                                    

Ada barisan pelajar yang sedang beratur masuk ke kamar ulangkaji di aras empat. Di sekolah asrama kanak-kanak ini, kuliah-kuliah malam menjadi pendamping setia penghuni-penghuninya. Para pelajar yang asyik beratur panjang sambil memegang buku dan alat tulis, mempunyai ketinggian yang lebih kurang serupa. Kesepadanan tubuh badan seorang kanak-kanak tidak banyak bezanya di antara satu dengan yang lain. Cuma, di belakang pelajar yang bernama Zodi ini, ada seorang pelajar yang tubuh badannya melangkaui aras bahu pelajar-pelajar lain. Zodi menggelarkan pelajar ini dengan nama Galah.

Galah, bukanlah seorang yang tinggi lampai. Ukur panjang tubuhnya tidak ubah seperti Zodi. Tubuhnya yang kelihatan meninggi itu bukanlah kerana susuknya panjang menggalah, tetapi kerana kakinya tidak jejak di atas tanah. Galah terawangan, tapak kakinya tidak mengucup lantai. Kakinya terapung sehasta di udara meninggalkan lantai asrama.

"Galah, kau tak penatkah terapung-apung?"

"Penat juga. Tapi, hebatkan?"

"Kau ajarlah aku terapung juga."

"Ada masa nanti, aku akan ajarkan kau."

"Tapi, kenapa aku tak pernah nampak kau terbang? Kau tak boleh terbang?"

"Kalau aku terbang, nanti semua orang cakap aku hantu, lepas tu halau aku. Tak ada siapa nak ajar kau terbang."

"Ish! Kalau kau buang air, mesti susah. Susah nak masukkan tepat dalam mangkuk tandas. Tak boleh aku bayangkan. Geli!"

Mereka berdua pun melangkah masuk di ruangan kamar ulangkaji yang luas. Zodi mengambil tempat duduknya di sebelah Galah. Mereka seperti tetuam dan lebam, sentiasa belajar bersama-sama setiap malam. Bezanya, Zodi duduk seperti biasa di kerusi. Manakala Galah bersila terawangan. Zodi sering bergurau dengan melibas-libaskan tangannya di bawah punggung Galah, yang tidak bertemu dengan papan kerusi. Pelajar-pelajar lain hanya menggelengkan kepala diperlihat aksi Zodi dan Galah, serentak memuncungkan bibir.

Guru-guru dan ibu bapa mereka sudah berpesan sejak dahulu- jangan cuba-cuba membina jambatan persahabatan dengan Galah. Galah itu, mencacatkan pertumbuhan para pelajar, kata mereka. Zodi berfikiran sebaliknya, kerana Galah hanyalah kanak-kanak yang riang. Kanak-kanak yang boleh terbang.

Ketua pelajar, Furawi, ialah kanak-kanak yang paling benci akan Galah dan Zodi. Zodi hampir menikam dada Furawi dengan pembaris besi semalam. Semuanya gara-gara Furawi melarang keras dia berkawan dengan Galah kerana sering berdekah-dekah, di kamar ulangkaji tatkala pelajar lain bersungguh-sungguh mentelaah. Firasat Zodi, Furawi hanya menghembus api cemburu dek orang terbang di asrama ini hanya nekad memilih Zodi sebagai rakan karib.

"Zodi, betulkah kau mahu aku ajarkan kau terbang?" Galah menepis siku Zodi yang sedang terkekek-kekek melibas-angin tapak tangannya di bawah punggung Galah.

"Mestilah aku mahu! Sekarang?"

"Kita ke lorong beranda, lekas."

Menjelang hari esok, Galah tidak lagi kelihatan. Kini, Furawi pula mempunyai teman karib yang baharu. Teman karibnya itu setia beratur di belakangnya, menuju kamar ulangkaji dengan tubuh melangkaui bahu-bahu pelajar lain. Furawi memalingkan mukanya ke belakang. Dengan mata yang terbelalak, dia membuka bicara berpaksi mulut yang ternganga.

"Hey, Zodi! Sudah hampir seminggu aku tak nampak kau di sekolah."

"Oh. Aku akan masuk kuliah malam sahaja bermula hari ini. Lihatlah kakiku."

"Ah, hebat! Bagaimana kau boleh terapung begini? Macam Adiwira!"

"Tapi aku bukan Adiwira."

"Kau hebat! Pasti boleh terbang. Semestinya kau Adiwira!"

"Tidak Furawi. Panggil sahaja aku Galah."

"Ajarkan aku terbang nanti ya."

"Ya, aku mesti akan ajar!"

Selepas beberapa malam, Galah hilang; dan pada malam itu, Furawi beratur meninggi melebihi rakan lain. Ya, dia juga bakal ajarkan pelajar di hadapannya untuk terbang.

"Bukan, bukan. Panggil sahaja aku Galah." Kata Furawi.

***


MAHU YANG PENDEK-PENDEKWhere stories live. Discover now