#12 - GADIS MEMBAYAR TAMBANG TEKSI DENGAN SUARANYA

429 0 0
                                    

Kiranya hampir tidak ada seorang pun di dalam dunia yang boleh mengungkap, bagaimanakah mahu melihat seseorang pemandu teksi yang boleh dipercayai?
Kadangkala mata si pemandu yang lembut tidak selembut tutur katanya; atau tingkat suaranya yang perlahan tidak seperlahan liar matanya. Namun ada seorang gadis yang mampu menukar kewarasan pemandu teksi menjadi seekor babi yang dipiut hidung. Dia, gadis yang membayar tambang teksi dengan suaranya.

Kisahnya pada malam itu, rimbunan bintang di langit mula menghilang diganti decitan tikus-tikus jalanan di hujung pekan. Haiwan itu memang Komat benci benar lalu dia acap mematikan enjin teksinya sedikit ke hadapan kerana para gadis yang selesai kerja pada tengah malam, biasanya lebih seram melihat tikus berbanding takut kepada hantu.

Dap-gup!
Pintu teksinya dibuka dan dikatup kemas ketika Komat khayal menyaksikan gadis-gadis kota turun keluar menara.

"Jangan sesekali melihatku," menderu sepotong ayat dari kerusi belakang. Komat tahu, suara itu adalah suara seorang gadis 20-an, ya mungkin cantik. Atau mungkin juga hantu. Tetapi hantu yang cantik, mungkin.

"Ya cik," sambil ekor mata Komat mengintai kecil cermin belakang—ya, gadis cantik, malah yang paling cantik yang pernah matanya melihat. Bukan tikus mahupun hantu.

"Aku akan jadi pelanggan setiamu bermula malam ini. Cuma kau harus akur pada satu syarat."

"Sya-syarat?"

"Kau hanya boleh memandu terus pandang ke hadapan. Tidak sesekali boleh menoleh ke belakang. Apatah lagi melihat wajahku."

"Maaf cik. Tapi saya perlu mempercayai pelanggan saya yang boleh dipercayai. Saya perlu melihatnya."

"Jika begitu, aku juga harus mempercayai pemandu teksiku yang boleh dipercayai, dan aku tak mahu dilihatnya."

"Jadi?"

"Jadi, kamu harus terus memandu tanpa menoleh. Aku akan terus duduk di sini."

Mendengus Komat perlahan. Itu merupakan kali pertama Komat menerima arahan luar biasa setelah bergelar pemandu teksi sejak teruna.

Dap-gup.
"Cik, tambangnya..."

"Esok di tempat biasa, waktu yang sama."

Esok malam, lagu di corong radio teksi Komat semakin perlahan. Bukan kerana radionya yang rosak atau antenanya yang bengkok, tapi kerana Komat yang semakin melelap. Maka decitan tikus jalanan perlahan bertukar menjadi dengkuran mimpinya.

Dap-gup.
"Ma-maaf, cik. Saya terlena."

Gadis di kerusi belakang tidak membalas apa-apa. Cuma ada dengusan panjang yang turun-naik nadanya seolah dikejar sekumpulan perogol dari lorong gelap. Tangan gadis itu terhujam ke bahu Komat. Darah-darah pekat mengalir membasahi lengan bajunya dan merebak ke kerusi pemandu.

"Jalan." Lalu menderulah Komat terpiat-piat mengenjet pendikit minyak teksinya.

Dap-gup.
"Cik, tam-bang... tak apa."

Malam berikutnya, adalah siaran ulangan seperti malam-malam sebelumnya. Cuma malam itu decitan tikus semakin menular setular kelajuan teksinya. Dia pasti yang tiada tikus masuk atau menginap di rekahan kerusi hadapan waima di celah radio atau di celah sarung celananya. Tidak, tidak ada. Komat mematikan radio. Decitan tikus berdesing jelas diselangi bunyi kunyahan dan picitan kasar. Malah tersembur-sembur darah tikus ke cermin hadapan. Sembari Komat memiat hidungnya kerana tengik bukan kepalang.

Dap-gup.
"Cik. Tikus-tikus ini..."

Nekad. Malam ini Komat akan menoleh ke belakang. Ada segumpul pertanyaan yang akan dia ajukan. 'Siapa nama Cik?'—  bukan soalan yang utama. 'Cik kerja apa?' — ah, terlalu dungu. Akhirnya Komat sedar, soalan paling utama adalah jumlah keseluruhan tambang teksi yang harus dilangsai segera oleh gadis itu. 'Cik, jumlah semuanya ialah...' Ya. Komat akan tanya sebegitu. Ambil wang, halau gadis itu keluar, mengetap rapat kunci keempat-empat pintu teksi, kemudian beredar. Beredar tanpa menoleh ke belakang.

Dap-gup.
"Hari ini, kamu boleh menoleh ke belakang dan tanya apa sahaja."

Komat terpinga. Senggang ayat pertama gadis seakan mahu membina jambatan mesra baharu merangkap pelanggan setianya pada malam itu.

Komat pun menoleh.

Aku menunggu Komat di kafe ditemani pemandu-pemandu teksi yang lain. Kisah ini kata mereka, Komat akan menjelaskan segala-galanya malam ini. Kami hanya berseloroh sehinggalah Komat masuk, memesan bir kegemarannya, duduk di atas kerusi di penjuru sudut, dan bercerita.

Sejak pertemuan itu, tidak kelihatan pemandu teksi pertengahan usia yang mundar-mandir di pekan pada tengah malam. Mereka lebih senang menemani anak-anak mengaji di rumah kemudian bergurau bersama isteri. Hanya laki-laki pemandu teksi sambilan yang baru melepasi fasa remaja, berebut-rebut mencari wang tambahan sambil sibuk melihat-lihat lokasi pelanggan di telefon genggam masing-masing.

"Sama ada kau menoleh dan ambil tahu, atau kau jangan sesekali menoleh dan hanya terus memandu," adalah sepotong ayat akhir kisah yang diceritakan Komat.

Aku menghabiskan bir terakhir tanda penamat cerita Komat tentang gadis yang membayar tambang teksi dengan suara. Bukan kerana apa, tapi sepanjang malam penceritaan Komat kepada kami, seperti ada decitan tikus datang dari saku kanan celana isterinya yang duduk di sebelahku.

Hari itu aku tahu, yang pepatah cinta itu buta sebenarnya benar belaka.

*****

MAHU YANG PENDEK-PENDEKWhere stories live. Discover now