Lima tahun kemudian...
DIA memandang langit luas di sebalik cermin yang memisahkan dirinya dengan dunia luar. Rasa sebak seakan-akan menyusup tangkai hatinya namun dia lebih pantas menepis. Mana mungkin dia menyesal dengan apa yang terjadi. Dia lelaki yang takkan mungkin menyesal dalam setiap tindakannya. Itulah dirinya yang sebenar.
Bukan! Itu bukan dirinya yang sebenar tapi dirinya yang telah dia sendiri ciptakan. Diri yang dia ciptakan untuk melindungi dirinya sendiri bagi menepis segala kenangan buruk masa silam!
Dia tahu di bawah langit yang sama, ada tempat yang dia mahu lupakan. Tempat yang dia tak pernah bermimpi untuk kembali. Tempat yang menyimpan seribu satu kesedihan dan kekecewaannya. Rasa perit yang membuatkan dia melarikan diri. Namun, waktu semakin suntuk. Dia perlu kembali bagi melunaskan segala pembalasan atas kejahatan seseorang. Kejahatan seseorang yang akhirnya merubah kehidupan bahagianya menjadi satu mimpi ngeri!
Hidupnya bahagia di kota London. Dia punya segalanya. Harta? Kuasa? Nama? Dia punya semua itu dan dia tak perlu apa-apa lagi termasuk keluarganya sendiri!
Bunyi ketukan pintu membuatkan dia memusingkan tubuhnya. Berdiri menghadap pintu dengan muka bengis dan tangan sengaja diseluk ke dalam poket seluarnya.
"Masuk!"
Terjengul dua tubuh di depannya dengan wajah menunduk. Sesaat kemudian mereka memandangnya sebelum berpandangan sesama sendiri.
"Anything, Azlin? Rahman?"
Azlin dan Rahman terkelu. Berat untuk menjawab tapi mereka harus menjawab. Akhirnya Azlin pandang Rahman, Rahman pandang Azlin.
"Kau bagi tahu la!" desis Rahman perlahan. Lengan Azlin disiku.
Bulat mata Azlin dibuatnya.
"Kau la!" Azlin menolak!
Eh, lelaki ni dah lama hidup! Sesuka hati aje menyiku aku. Hentak hidung tu nanti! desis Azlin dalam hati.
"Kau la!" Rahman ketap bibir.
"Apa yang tak kena dengan kau orang berdua ni? Kalau setakat nak tolak-menolak, both of you can get out now!"
Terdiam sekejap Azlin dan Rahman. Jerkahan ibarat kilat menyambar, membuatkan kedua-duanya menelan air liur. Nak pandang muka bos meraka pun dah tak ada tenaga.
Akhirnya Azlin berdecit geram kepada Rahman. Nama aje lelaki tapi dengan bos pun takut. Tapi memang bos mereka tu menakutkan pun. Kalau datang waktu anginnya berputar 360 darjah, mahu semua orang dalam ofis ni berpusing-pusing.
"Ini..."
Azlin menghulurkan Tab kepada bosnya dengan senyuman pahit. Apakah akan terjadi lepas berita itu dibaca oleh bosnya? Bosnya akan melalak atau menjerit bak King Kong?
Shahrul Haikal menyambar kasar Tab yang dihulurkan. Matanya meniti pada skrin dan saat itu senyuman sinis bergayut di bibir. Pasal benda ni saja Azlin dan Rahman terkedek-kedek macam tikus mondok nak beritahunya. Buang masa! Cerita ni langsung tak buat dia rasa apa-apa.
"Jadi Shahril kemalangan? Mati ke masih hidup? Lagi bagus kalau mati, kan?!"
Tab terus dicampak ke atas mejanya. Azlin yang melihat ternganga. Wei! Tab aku tu! Bos campak macam tak ada nilai aje Tab kesayangan aku tu. Baby, please jangan rosak, bisik hati Azlin. Sedih aje dia pandang Tabnya yang berwarna putih itu.
"Kami belum dapatkan maklumat yang sahih, bos. Tapi kalau ikutkan daripada media di Malaysia, adik tuan masih belum dijumpai. Pihak polis cuma temui keretanya yang terjatuh ke dalam gaung tapi adik tuan masih belum ditemui juga." Lancar pula Rahman ni menjadi informer bergerak. Tadi takut sangat!
KAMU SEDANG MEMBACA
Backup Cinta
RandomIsha Humaira, sekali pandang hatinya sudah tertawan. Lelaki itu hadir saat jiwanya hampir mati, namun raut wajah itu mengembalikan senyumannya. Biarpun orang akan kata dia gila sebab tenang melihat muka bengis bak harimau kelaparan itu, hatinya masi...