Bab 6

3K 61 0
                                    

"SIAPA dia?"

Shahrul mengecilkan anak matanya. Meneliti tubuh yang terbias dalam rakaman CCTV. Gadis itu sesekali terbongkok dan bergerak kecil. Tapi tiba-tiba gadis itu nampak terkaku dan terus melarikan diri.

"Stop!" arahnya pantas.

Dari membongkok dia mula berdiri. Tersenyum sinis sambil memandang gadis yang sedang kaku dalam kaca TV.

"Pekerja syarikat, bos," jawab Rahman dengan mata turut berlabuh pada gambar gadis itu.

"Aku nak kau cari budak tu! Sampai dapat. Bawa dia kepada aku!"

Bibir Shahrul terconget ke atas. Melihat dari rakaman itu, gadis itu seolah-olah terkejut mendengar sesuatu. Semuanya terlukis pada wajah yang tiba-tiba pucat itu. Pasti ada sesuatu yang gadis itu terdengar hingga buat dia terkejut malah pantas melarikan diri.

Dia sebenarnya memang dah lama mengintip Adnan. Dia hanya mencari masa untuk memerangkap dua makhluk tak guna tu. Gadis itu mesti dicari. Dia perlu tahu apa yang gadis itu tahu kerana dia yakin gadis itu tahu sesuatu.

"Baik, bos!"

Shahrul kembali membongkokkan badannya. Memerhati gadis itu buat sekian kalinya. Macam pernah lihat tapi di mana?

Argh! Pedulikan semua tu. Ini bukan masanya nak mengingati tapi masa untuk mengakhiri segala-galanya. Dia akan sumbat si tak guna tu ke dalam penjara. Biar mereput!

"Errr... Bos... Gadis tu tak bekerja hari ni. MC..." ujar Rahman sejurus saja dia mendapat maklumat. Dia tergagap sebentar saat mata tajam itu singgah di wajahnya.

"Habis tu kalau dia tak datang kerja, aku tak boleh jumpa dia? Macam tu?" Lembut suara Shahrul tapi tersembunyi perasaan berangnya.

"Kalau dia tak datang, tak boleh cari ke? Rumah dia? Kenapa? Dia tinggal dekat planet Marikh sampai tak boleh nak kesan?!"

"Aku tak kira, dia mesti ada di depan aku hari ni! No excuse. Faham, Rahman?!" Jari telunjuk Shahrul tepat di depan mata Rahman.

Naik juling dibuatnya. Malu juga ditengking sesuka hati. Shahrul ni memang tak memikirkan perasaan orang langsung. Marah apabila nak marah. Macam bagus!

Shahrul mendengus kasar. Kerja mudah pun susah nak buat. Tak reti guna otak untuk berfikir!

"Aku nak dia secepat yang mungkin!" Keras suara Shahrul sebelum dia keluar lalu menghilang di sebalik pintu. Wajah Rahman langsung tak dipandang.

Rahman mengeluh. Asyik kena marah aje. Mungkin dah nasib dia. Reda aje la.

ISHA keluar dari rumah terus menuju ke tong sampah. Usai membuang sampah dia termenung seketika.

Dari semalam fikirannya terganggu. Kejadian semalam betul-betul bagai sedang mencekiknya dalam diam. Dia tak boleh berhenti berfikir. Rasa macam kepalanya tengah menjunjung sepuluh kilo beras. Kekadang juga rasa macam nak aje letak kepala di atas jalan biar kena lenyek dengan lori sampah.

Hari ni dia MC, esok dia EL. Habis, hari seterusnya macam mana pula? Takkan nak berhenti kerja? Tapi kalau dia tak berhenti maknanya dia bekerja dengan pembunuh. Dikira bersubahat ke dia nanti?

"Argh!!!" Isha menjerit kuat. Habis tudung ditarik geram hingga pin di bawah dagu tercampak sendiri. Dia betul-betul buntu! Rasa macam ditikam berulang kali tapi tak mati-mati.

"Kau relaks, Isha. Tarik nafas dulu." Dia cuba mententeramkan diri sendiri. Tudung yang senget langsung tak dihiraukan.

Isha mula bangun dan saat itu juga ada kereta hitam berhenti di depan rumahnya. Sempat dia berkerut dahi sebelum dua orang dari kereta itu keluar dan menarik dirinya. Matanya membulat.

Backup CintaTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang