1

133 2 3
                                    

Hujan renyai-renyai membasahi bumi Gombak. Malam yang sedia dingin bertambah sejuk. Sejak semalam lagi langit berkeadaan begini. Mungkin puas sudah dikandung beban yang tersejat setelah sekian lama. Dihamparkan pada dunia tanda rahmat dari si Dia. Umar yang sedari tadi setia membatu keseorangan di perhentian bas itu ralit memerhati jalan, melihat kalau kalau ada bas yang sudi memunculkan diri.

Hampa.

Hujan masih lagi laju menujah bumi. Jam tangan ditatap. 11 malam. Umar berpeluk tubuh semula.

"Silap betul la aku gerak lewat macam gini." Umar membebel sendiri.

Walau Jelatek dan Terminal Gombak hanya terpisah beberapa stesen, Umar masih dirundung risau. Risau jika bas bergerak terlalu perlahan dek halangan hujan, dia tidak sempat tiba ke Terminal Gombak pada masanya. Risau jika gabungan malam dan dingin suasana akan menyebabkan pemandu bas mengantuk lalu terlelap semasa memandu lantas membawa kepada kecelakaan jalan raya. Risau jika makanan yang disediakan kakaknya sudah sejuk atas kelewatan dirinya sendiri. Kerana risau, Umar bercakap seorang diri tanpa henti.

Kedengaran bebelannya disambut sinis seekor katak yang sedang santai watlek menganyam juntaian plastik terbuang.

"Tak payah nak menyesal la bro. Siapa suruh tidur lepas Maghrib."

Tenang si katak memberi nasihat percuma. Umar menjegil pantas ke arah haiwan tersebut. Dia yang mendengar terasa panas hati. Dikutipnya seketul batu bersaiz penutup botol coca-cola yang ada di sebelah kakinya lalu dilempar laju pada si katak. Kena! Si katak yang mengalami kecederaan parah di kepala itu kucar-kacir mengundur diri. Umar yang melihat scene tersebut terasa puas. Tak padan dengan haiwan. Nak mengajar kita yang berakal ni. Heh.

Umar kembali menatap jalan. Jauh dalam kesamaran kabus yang menutup pandangan, kelihatan sinar neon yang cukup dia kenal. Cahaya lip lap lip lap pada badan kenderaan itu semakin dekat semakin jelas.

Ah bas sudah sampai!

Lega hati Umar. Usai membayar tiket dan melempar senyum yang agak tidak ikhlas kepada pemandu bas, Umar laju mencari tempat duduk. Tiada masalah baginya mencari kerusi kosong kerana yang ada dalam bas itu cuma dia, pemandu bas dan seorang amoi berbaju warna matahari. Bas kosong. Tapi lantaklah, kata Umar. Jika bas penuh sekalipun bukannya memberi kesan kepada dia. Umar bukan kaki borak, apatah lagi kaki pidato. Dia lebih suka mendiamkan diri ke mana saja dia pergi. Bercakap hanya perlu, bertindak jika terpaksa. Seperti apa yang terjadi pada katak di awal cerita ini tadi. Katak itu telah memaksa Umar bertindak di luar rasional. Padan muka katak itu.

Bukan Macam KitaWhere stories live. Discover now