Pertemuan ketiga, keempat, kelima hingga pertemuan kesebelas, semuanya tanpa gagal. Setiap petang di kafe itu pasti mereka berdua bersua muka. Tapi tidak petang itu.
Itu pertemuan kedua belas.Riak wajah Lily sedikit kecewa. Sedari tadi dia menanti pemilik wajah itu. Wajah yang pasti ditunggu-tunggu. Wajah yang setia menemaninya menikmati susu coklat panas.
Tapi itu hari-hari sebelum ini.
Hari ini? Entah. Dia masih ternanti.Lily memandang ruangan kafe. Harapan di hati masih menggunung tinggi. Dia yakin lelaki yang sentiasa tidak lokek senyuman manis itu, pasti akan menghadirkan diri. Pasti.
Tidak semena gadis itu tersenyum sendiri. Mindanya jauh berimaginasi. Terawang dek ingatannya pada bagaimana lelaki itu semangat berkongsi cerita, bagaimana lelaki itu tepat merenungnya dan bagaimana juga lelaki tu tersenyum manis padanya.
Semuanya tentang lelaki itu.Satu jam berlalu. Mug putih di hadapannya dipandang kosong. Susu coklat panas sudah habis dinikmati. Separuh rasa gembira kerana dapat merasa manisnya susu coklat panas kegemaran hatinya. Separuh lagi kecewa. Manis senyuman lelaki itu tidak muncul pada petang itu.
Langkah kaki diatur meninggalkan kawasan kafe. Langkah penuh hampa. Dia sebenarnya sudah bersiap siaga sedari dulu. Dia tahu lelaki tidak bernama itu pasti akan menghilang jua satu hari nanti.
'Tapi kenapa perlu waktu begini? Waktu aku...'
Tidak dihabiskan ayat yang bermain diminda. Tidak mahu terus melayan perasaannya.Serentak itu juga langkah kaki seorang lelaki baru memasuki kawasan kafe. Kelihatan tergesa.
'Awak dah balik?'
Suara hati tertanya sendiri.Matanya segera mencari ruangan kegemaran gadis yang dikenalinya itu. Tempat duduk di sudut kafe. Terpencil dari tempat duduk dan meja yang lain.
Kosong.
Tanpa memesan sebarang minuman atau makanan di kaunter kafe, lelaki itu segera duduk di tempat kegemaran gadis itu. Sejujurnya, sudah menjadi tempat kegemaran lelaki itu juga.
Dalam duduk sendirian termenung kosong itu, dia bermonolog sendiri.
'Esok saya jumpa awak, okay? Saya janji.'