"Dia lamar aku. Tapi aku tak nak. Aku tetap tak berkenan." Luah seorang sahabat karib saya. Panjang lebar ceritanya sebelum itu.
"Wah! Kenapa tak nak?" Usik saya sambil tergelak kecil.
Kami berdua merupakan sahabat karib. Perkara sebegini, bukanlah pertama kali untuk kami. Eh, silap! Untuk dia! ;p
"Sepatutnya, kalau nak lamar, pergilah jumpa terus terang dengan mak ayah aku. Ni tanya aku, mesej aku ayat-ayat jiwang 'Islamik', memang taklah kan!" Luahnya lagi.
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah Rum : 21)
Lelaki. Ya. Lelaki. Kalau rasa dah berkenan, dah ada kemampuan, keyakinan dan langkah persediaan bagai untuk nak kahwin, pergilah jumpa sendiri mak ayah si perempuan tersebut. Comfirm si perempuan akan berfikir banyak kali sama ada nak terima ke nak tolak. Ini tidak, dahlah si perempuan jenis yang mahu 'menjaga', tiba-tiba, dapat lamaran mesej personal macam tu, ditambah pula perisa ayat-ayat cinta 'Islamik', memang terus jadi tak berkenanlah jawabnya. Lepas tu, nak suruh buat keputusan cepat-cepat pula. Kita ada istisyarah (perbincangan) dan istikharah. Semua itu memerlukan masa. Bukan sesaat dua dah boleh bagi jawapan terus!
Lagi satu, perlu diingat, perempuan bukanlah bahan eksperimen ya. Bukan! Lamaran ditolak, kemudian, pergi melamar perempuan lain pula! Siapa yang tak fikir banyak kali kalau berada dalam situasi macam tu?
"Aku tengok dia tu biasa-biasa saja. Maksud aku, aku nak lelaki yang tahu 'menjaga'." Katanya lagi.
"Kalau kau nak yang 'menjaga', kau pun kenalah 'menjaga' juga. Jangan biarkan lelaki anggap kita ni, senang-senang saja boleh dilamar sebegitu, senang-senang saja nak terima dia sebegitu. Sebab tu, aku banyak kali pesan dah, termasuklah diri aku sendiri, kalau nak mesej lelaki ke, nak apa ke, pastikan atas dasar urusan sahaja. Bukan atas dasar suka-suka, nak hilangkan bosan dan sebagainya. Kita tak boleh terlalu baik dengan lelaki dan lelaki tak boleh terlalu baik dengan kita. Ingat tu! Kalau masuk mesej yang tak ada matlamat, melalut dan merepek, abaikan. Tak payah balas. Simple." Akhiri saya.
Sebenarnya, sebagai sahabat karib, saya bahagia apabila dia masih tegas dengan prinsip dirinya. Kadang-kadang, kita kena tegas supaya kita tak terbabas. Kalau kita lihat hari ini, berapa ramai yang dah hanyut dalam jerat cinta palsu? Kata cinta, tapi, tetap buat perkara-perkara yang Allah tak suka. Kita ini cintakan Tuhan atau berTuhankan cinta?
Berapa ramai juga yang menggunakan jenama 'Islam' sebagai asas cinta 'suci'nya?
"InsyaAllah, kita kahwin lagi 3-4 tahun. Tak payah bertunang dulu. Tunang lama-lama, parah juga. Jadi, yang penting, saya dah 'booking' awak. Saya beritahu awal-awal supaya kita sama-sama dapat jaga diri untuk membina baitul muslim yang Allah redhai nanti."
"Ana lebih suka cari pasangan hidup yang fikrahnya sama dengan ana. Boleh buat kerja-kerja Islam bersama, tunaikan tanggungjawab pada ummah bersama dan banyak lagi. Sebab tu ana nak melamar enti."
Sudah cukup cukup sudah. Asyik reti menabur janji berbakul-bakul. Perempuan, jangan buang masa menanti 'cinta' seperti itu. Buang masa. Kalau kita fikir betul-betul, banyak lagi sebenarnya perkara yang perlu kita beratkan, perlu kita fikirkan dan perlu kita bertindak.
Ummah.
Ummah perlukan kita.
Pemuda dan pemudi.
Penyambung legasi dan generasi.
Kalau kita fikir dalam-dalam lagi, kita selalu kata nak penuhkan hati kita dengan cinta Ilahi, tapi, kalau dah hari-hari asyik bermesej, asyik bercerita pasal lelaki/perempuan ajnabi (bukan mahram), cinta siapa yang akan penuhi hati kita nanti? Adakah mulut akan lebih banyak berzikir, fikiran akan lebih kerap ingat mati jika diri selalu menyebut sang ajnabi? Fikir-fikirkan. Hati-hati dalam menjaga hati. Sama-sama kita peringatkan diri.