Aku setuju roh itu abadi. Ia akan kembali kepada hak bila sampai waktunya. Kepada yang tidak mati dan kekal abadi. Yang menemukan kita dengan dia, yang empunya cerita tentang kita.
Aku setuju dunia dan akhirat itu sama pentingnya, disini belajar mengenal, mengkajinya. Selagi mampu dipersila teruskan. Tidak akan pasti rasa rugi dan tanamlah sifat yang sentiasa dahaga ilmu.
Selalunya kita akan terjerat dengan imbasan. Terkenang, mengenang dan dikenang. Sedangkan kita tahu dan sedar kita bukan pemilik kepada masa.
Dari jauh aku nampak kelibat sekumpulan jasad semakin menghampiri. Dari pemakaiannya, mereka seperti jemaah tabligh. Tabligh ini merupakan jemaah yang keluar kembara dan bermalam selama 3 atau 4 hari di masjid dan surau. Mereka memasak, berdakwah dari rumah ke rumah dengan misi meramaikan umat akhir zaman dirumah Allah kawasan itu. Jika tanya aku, mudah sahaja. Mereka ini sedang menghidupkan dan mewujudkan sunnah nabi. Bayangkan berapa ramai pula yang menutup pintu dan pagar ketika mereka menghampiri setiap rumah. Tak lupa juga pada yang pura pura tiada dirumah. Yang bertandang dan tuan rumah adalah sama agamanya, pelik. Mungkin malu atau mungkin tidak selesa atau penjelasan lebih tepat, aku ini berada diakhir zaman. Tiada yang mustahil sebenarnya.
Atas alasan inilah aku takkan mengelak dari mereka. Aku tak perlu takut. Mereka bukan nak belasah aku pun. Kalau nak pun, belasahlah. Aku nangis nanti.
Mereka menghampiri, dan senyuman manis dilontarkan. Sebelum dia buka mulut aku buka dahulu.
"Assalamualaikum" sapa aku.
"Waalaikumusalam" jawab beliau.Ya, aku pantas, 1-0. Aku mendahuluinya.
"Sorang je ni?" Tanya dia.
"Ya, sorang je. Saja termenung. Biasanya lepas asar ini jarang ada bebudak keluar. Tunggu hari dah redup baru ada nanti muka seko seko" jawab aku.
2minit kemudian aku dikerumun oleh mereka. Aku diceramah dan didakwah secara lembut. Situasi seperti ini agak tidak digemari orang kita kerana mungkin memalukan apabila kau dikerumuni mereka yang berjanggut lebat, seluar singkat dah berjubah putih. Lebih kurang 10minit dan mereka pelawa aku untuk ke masjid berjemaah bersama. Aku tak suka nak beri alasan takut nanti disangka lain pula. Sudahlah aku ini sedang memakai baju Kambing Hitam. Kugiran black metal dari sarawak. Jadi aku cuma tersenyum dan menjawab "Insyaallah."
Salah seorang daripada mereka mula bertindak seakan memaksa, mahukan aku pergi juga.
"Nanti adik cuba la pakai baju yang lebih sopan ya" kata salah seorang daripada mereka.
Saat itu juga darah muda mula gelegak kerana merasakan diri ini dipertikaikan. Aku yang tidak menyusun sebarang dialog untuk bersuara mula menjawab dengan sedikit kasar.
"Bang, hubungan sesama kita manusia dan tuhan iaitu hablumminannas dan hablumminallah. Dan abang kena tahu juga seperti yang dimaktubkan dalam kalam Allah, Al Quran; innalillahiwainnalillah hirajiun (daripada Aku kamu datang, kepada Aku kamu kembali) itu wajib kita percaya. Jadi kita punya roh dan kefahaman kita tentang tuhan dan agama.
"Kita juga tak tahu apa yang akan jadi dihapadan.
"Macam abang datang pada saya dengan niat berdakwah, ya, saya setuju. Saya juga ada cara saya. Berbeza, tapi kita tetap sama. Kita mulakan dengan doa agar urusan kita dipermudahkan.
"Ada banyak cara dan kita juga setuju yang Dia itu Maha Mengerti. Abang berpakaian jauh berbeza dengan saya tapi kita sama kerana segelintir masyarakat tetap serong memandang kita.
"Bagaimana disisi Dia? Abang yakin dengan pemakaian abang? Ya, saya juga begitu."
Belum sempat aku habiskan, seorang daripada mereka menyampuk. "Kami minta maaf dik, jujur kami tak sengaja. Mungkin ada kata kata kami tadi yang buat adik terasa hati."
Aku mula lembutkan percakapan aku;
"Saya minta maaf juga, saya juga agak melampau tadi. Seharusnya saya faham keadaan abang semua yang sanggup berjauhan dengan isteri nak anak semata menghidupkan sunnah nabi dan ajaran islam.
"Bagi saya, pahala dan ganjaran itu cerita lain, saya anggap pertemuan ini merapatkan silaturahim antara kita, menghormati hak antara satu sama lain.
"Saya cuma harap jika diberi peluang lagi sekali, kita bermuzakarahlah secara dua hala. Janganlah satu hala saja. Kasihanlah saya.
"Nanti saya menangis pula." Aku cuba punchline mengharapkan suasana tidak janggal lagi.
"Oh, tidak apa. Salah kami juga tadi." Senyuman mereka sekali lagi terukir. Yang membuatkan aku rasa makin bersalah sebab melenting tak tentu pasal.
Mereka mula berlalu pergi. Bila difikirkan semula, aku kena belajar untuk tutup mulut. Tak semua yang aku katakan itu kukuh. Adakalanya, kerana emosi fakta boleh jadi auta. Sunnah boleh punah. Kerana itu pada lelaki ketika mahu membuat keputusan disaat sulit, digalakkan dalam keadaan berwuduk agar lebih waras.
Nilai pandang kita perlu berubah. Kalau kau begitu sahaja sampai sudah, apa yang kau akan faham tentang hidup?
Oh celaka. Hari ni aku diuji, dan mungkin aku gagal.
YOU ARE READING
Menuju Zuhud
AdventureTentang jasad yang sentiasa menentang walau tahu itu ditentukan. Tentang jiwa yang tidak faham tetapi degil mahu memahaminya. Tentang hati yang sentiasa mahu bersangka baik.