Bahagian 2

393 9 0
                                    

DIA tersedar daripada pengsan. Matanya dibuka perlahan dengan payah, hanya suasana gelap gelita yang menyinggah pandangan. Angin pula bertiup agak kencang, mungkin hujan akan turun sebentar lagi.

Dia menutup matanya kembali kerana terasa berat. Langsung tiada tenaga untuk membuka luas matanya. Seluruh tubuhnya terasa sakit. Kepalanya berdenyut-berdenyut. Kesakitan yang mencucuk-cucuk membuatkan dia menangis lagi. Teresak-esak.

Kenapa dia dilayan begini? Berdosa besarkah dia apabila dirinya masih belum disunting orang? Seingatnya, dulu dia disayangi. Dialah teman dan sahabat tempat ibunya bercerita dan meluah rasa. Dimarahi pun hanya sekejap sekadar untuk menegur.

Dia mengetap bibir. Dalam esak tangis, wajahnya terpamer riak tegang penuh dendam. Genggaman tangan dikepal kuat menahan rasa marah yang terpendam.

#####

DUA hari berlalu. Sakit-sakit dan lebam-lebam di seluruh tubuh masih terasa bisanya. Seroja terpaksa menahan sakit dan melakukan kerja rumah seperti biasa. Jika tidak, pasti dia akan dimarahi dan dipukul lagi.

Cari kayu api, memasak, kemas rumah, membasuh dan menyidai pakaian - semuanya terpaksa dilakukan sendiri. Hikayat hidupnya tak ubah seperti Bawang Putih Bawang Merah, kisah yang selalu diceritakan oleh orang tua-tua.

"Kak Seroja,"

Seroja yang ketika itu sedang mengutip pucuk paku untuk dibuat makan tengahari terkejut apabila ditegur tiba-tiba. Dia pantas berpaling ke belakang. Langkahnya tersadung akar pokok sehingga menyebabkan dia terjatuh.

"Kak Seroja! Maaf kerana bikin Kak Seroja terkejut! Kesuma tak sengaja."

Kesuma segera membantu Seroja untuk bangun. Melihatkan keadaan kakaknya yang berkerut menahan sakit, tambahan pula apabila lengannya dipegang kuat, Kesuma mengesyaki sesuatu.

"Kak Seroja kenapa? Ibu pukul ya?"

"Eh, bukan. Kak Seroja tak apa-apa."

Seroja lekas menafikan. Entah kenapa dia merasakan perlu untuk berselindung. Sedangkan selama ini Kesumalah tempat dia mengadu.

"Kak Seroja jangan bohong. Kak Seroja fikir Kesuma tak tahu apa yang ibu selalu lakukan pada kakak? Kesuma membesar di rumah yang samalah kak. Kesuma tahu semuanya."

Seroja hanya mendiamkan diri. Ada air mata yang bergenang si tubir mata. Kesuma lantas memeluk dan menggosok-gosok belakang tubuh kakaknya. Dia turut merasa sebak melihat penderitaan yang terpaksa Seroja harungi.

SEROJAWhere stories live. Discover now