"IBU! Ibu!"
Mak Puteh yang sedang berehat di pangkin segera memanjangkan leher. Dilihatnya Seroja sedang berlari-lari dengan wajah cemas. Dia hanya buat tak endah.
"Ibu, cepat bu! Anum terjatuh perigi!" Seroja menarik tangan ibunya dengan tergesa-gesa.
"Hah? Macam mana boleh jadi begitu? Kenapa kau tak tengok-tengokkan adik kau?! Memang tak boleh diharap!"
Dalam cemas, sempat Mak Puteh membebel marahkan Seroja sambil berlari-lari menuju ke perigi yang agak jauh dari rumahnya.
Sampai saja, Mak Puteh melihat Kesuma sedang berdiri di tepi perigi. Tanpa menghiraukannya, Mak Puteh terus menjenguk ke dalam lubang perigi sambil melaung-laung nama si bongsu. Luluh hatinya apabila melihat Anum terkapai-kapai kelemasan.
"Seroja, cepat panggil orang kampung untuk bantu adik kau!"
Seroja hanya mendiamkan diri. Langsung tak berganjak dari tempatnya berdiri. Begitu juga dengan Kesuma.
Mak Puteh memandang mereka berdua dengan wajah hairan.
"Hei! Kau tak dengar apa aku kata! Pergi cepat!"
Kesuma mempamer wajah bersahaja. Namun matanya tetap memicing tajam pada ibunya. Seroja pula kelihatan serba salah. Ada riak simpati dan ketakutan pada wajahnya.
"Kenapa kau berdua ni?! Kau nak tunggu adik kau mati dulu?!" Mak Puteh mengherdik. "Cepat, Seroja!"
"Ibu..." Seroja menghampiri ibunya. Tak semena-mena dia dipukul bertalu-talu. Seroja terjerit kesakitan dan mula menangis. Kesuma terus menolak Mak Puteh menjauhi Seroja.
"Tak guna! Kau berdua memang anak sial! Sengaja mahu membunuh Anum!"
"Siapa yang tak guna? Kami berdua atau ibu?"
Mak Puteh tak menghiraukan kata-kata Kesuma. Dia terus menjenguk ke dalam lubang perigi dan memanggil-manggil Anum. Namun kelibat anaknya itu sudah menghilang.
Tiba-tiba saja tubuhnya terasa melayang-layang sebelum mencebur ke dalam air. Dengan bersusah payah dia cuba mengapungkan badan ke permukaan air. Dia tahu air perigi itu sangat dalam.
"Ibu..." Seroja menyeru dengan suara lirih.
Mak Puteh mendongak. Perasaannya ketika itu berbaur rasa marah dan tak percaya. Serojakah yang telah menolaknya ke dalam sini? Atau Kesuma?
Seroja berdiri di samping Kesuma sambil memandang ibunya sayu. Air jernih mengalir jatuh dari tubir mata.
"Maafkan Seroja, ibu. Seroja tak pernah bencikan ibu dan Anum. Tapi Seroja dah tak sanggup dipukul. Seroja cuma mahu bebas."
"Seroja!! Berani kau ya! Keluarkan kami dari sini!" Teriak ibunya sekuat hati. Rasa marah tak dapat dibendung lagi. Namun rasa takut tetap ada. Tak pernah disangka Seroja akan bertindak sejauh ini, malah bersubahat pula dengan Kesuma.
"Ibu sayangkan Seroja?"
"Sial kau! Sial! Keluarkan aku dari sini!"
"Ibu sayangkan Seroja tak?!"
Mak Puteh terdiam apabila Seroja menekan suaranya, seakan menderam marah. Dia dah mula menggigil kesejukan akibat terendam di dalam air, ditambah pula dengan ketakutan apabila melihat perubahan Seroja.
"Ibu sayangkan kau. Kau juga anak ibu. Kesuma juga ibu sayang." Ujarnya pantas. "Cepat Seroja, Kesuma... tolong ibu keluar dari sini."
"Tapi ibu lebih sayangkan Anum."
Mak Puteh menggeleng laju, cuba menafikan.
"Ibu tinggallah dengan Anum, ya. Dia akan temankan ibu di dalam sana. Selamat tinggal ibu. Seroja sayangkan ibu."
"Kesuma juga sayangkan ibu."
Mak Puteh hanya mampu melihat tatkala Seroja dan Kesuma menutup perigi dengan kepingan-kepingan kayu. Cahaya yang menyuluh ke dalam perigi semakin menghilang dan akhirnya hanya kegelapan yang menyelubungi, meninggalkannya kesejukan bertemankan mayat Anum.

YOU ARE READING
SEROJA
Mystery / ThrillerSeroja - seorang gadis yang dianggap sial. dibenci ibu dan adik sendiri hanya kerana berstatuskan anak dara tua. herdikan dan maki hamun sudah menjadi makanan hariannya.