Bab 1 + Bab 2

12.9K 152 66
                                    

1

Cecair merah pekat menitis di bibirnya dan berlari menuruni leher. Dia mengesat darah tersebut menggunakan lengannya dan meneruskan larian dalam keadaan hujan yang semakin menggila, seolah-olah melampiaskan kemarahan terhadap dirinya.

"Hund! Geh weg von heir!" Pergi! Anjing kurap!

Thud! Satu lagi objek keras mengenai kepala dan membuatkan dia tersungkur menyembah jalan. Terketar-ketar dia cuba bangkit dan berlari kembali, jauh daripada makhluk-makhluk yang sentiasa mencederakannya, walaupun dia hanya cuba mencari makanan dalam tong sampah mereka.

Dalam samar-samar cahaya lampu jalan yang menerangi lorong di Linden, muncul ramai makhluk yang mempamerkan riak wajah garang sambil memegang batang kayu berpaku. Matanya kuyu memandang mereka satu persatu, cuba mencari mungkin sekelumit simpati yang terkandung dalam diri mereka, namun hampa.

Sebaliknya, mereka kelihatan amat gembira melihat dirinya terseksa sendirian di atas jalan, tercungap-cungap mengumpul nafas walaupun realitinya dia pasti yang kisahnya akan dinoktahkan di sini pada malam ini.

Biarlah dia mati sekarang, dunia yang kejam ini memang tidak mungkin akan membiarkan golongan marhaen sepertinya terus berkeliaran mencari sesuap nasi buat dirinya dan adik-adik di bawah kolong. Adik!

Matanya terbuka luas dan dia bingkas bangun, semacam ada kuasa yang merasukinya tiba-tiba kerana bayangan adik-adiknya yang sedang menanti kepulangannya bermain di minda.

Walaupun tubuhnya dijamah oleh hayunan batang kayu berpaku tersebut, dia nekad untuk terus berlari meredah kegelapan malam sambil memeluk erat bungkusan lusuh di tangan kirinya. Biarpun dia akan mati akibat kehilangan darah, mana mungkin dia akan membiarkan adik-adiknya kelaparan hari ini. Tidak!

Dia telah berjanji akan membawa pulang makanan kepada mereka malam ini. Sudah lebih tiga hari dia gagal menyelongkar tong sampah di sekitar Burdenburgh dan selama itu juga mereka semua kelaparan dan hanya menadah air hujan untuk menyambung hidup.

Dia menoleh ke belakang dan melihat segerombolan makhluk tersebut masih gigih mengejarnya walaupun sudah lebih tiga blok dia berlari. Enggan dirinya tertangkap buat kali kedua, akhirnya dia memutuskan untuk memanjat bumbung dan melompat terus ke dalam Sungai Rhines.

Suhu yang hampir mencecah -12 darjah Celsius pastinya akan membuatkan mereka berfikir dua ratus kali untuk terjun dan terus mengekorinya. Hampir sahaja dia mati kesejukan dalam sungai tersebut dan darahnya sudah membeku di seluruh tubuh.

Badannya terasa seperti ditusuk pedang dan dilapah parang, namun digagahi juga untuk terus berenang ke tepian sebelum terhuyung-hayang menapak kembali ke tempat tinggalnya, sebuah kolong di Linden.

"Sie mussen glucklich sein," tuturnya sambil tersenyum. Aku dah balik.

Terbayang riak wajah adik-adiknya yang bersinaran apabila melihat makanan yang berjaya dikumpulnya tadi. Ada beberapa buku roti dan tiga botol jem yang berjaya ditemui di belakang restoran terkenal berhampiran Burdensburgh. Dia juga berjaya mendapatkan beberapa helai pakaian yang dilonggokkan di tepi tong sampah kelabu sebentar tadi, sehinggalah mereka menemuinya menyelongkar sampah.

Entah di mana silapnya, dia dianggap sebagai pencuri yang cuba memanjat tingkap melalui tong sampah dan dia dikejar tanpa disoal terlebih dahulu. Sudah acapkali dia digelar anjing kurap, kutu masyarakat dan pelbagai lagi gelaran oleh masyarakat setempat apabila keluar mencari makanan.

Dia hanya mampu mendiamkan diri kerana dia tahu semua yang dikatakan mereka benar belaka. Dia tidak punya ibubapa sejak lahir dan hanya mampu meneruskan hidup berdasarkan ihsan manusia di kolong tersebut yang sanggup membelanya. Dulunya, ketika dia masih kecil, ada schwester (sister) dan bruder (brother) yang akan keluar mencari makanan untuk dia dan beberapa anak kolong yang lain.

IDENTITI - sebuah novel Nurul Najwa A'thirahWhere stories live. Discover now