Bab 15 + Bab 16

2.8K 49 48
                                    

15.

Sekembalinya rombongan yang telah bercuti di Jerman selama seminggu, maktab telah dikejutkan dengan pelbagai kes paranormal dalam kalangan pelajar. Para pelajar lain mengalami depresi melampau akibat daripada penampakan pelbagai jenis dan rupa makhluk dari alam lain. Kes yang saban kali berlaku membari tamparan hebat terhadap pihak pengurusan.

Jika terus dibiarkan, mereka khuatir perkara ini akan menjadi semakin teruk. Namun, tiada benda yang mampu dilakukan setakat ini selain memanggil beberapa orang ustaz dari luar bagi membantu sekiranya kes ini berulang lagi.

Sudah tentu, delegasi rombongan tersebut tidak dimaklumkan, bimbang akan menimbulkan lebih banyak kegawatan kerana mereka semua merupakan pelajar harapan maktab bagi peperiksaan SPM yang bakal menjelang beberapa bulan sahaja lagi.

Najwa menjejakkan kakinya di maktab dan mendapati suasana maktab yang agak suram berbanding kebiasaan. Selalunya, akan ada beberapa pelajar yang belajar sehingga lewat malam di kelas tetapi tidak kali ini. Apakah yang terjadi sepanjang peninggalan mereka?

Najwa hanya membiarkan sahaja persoalan itu berlalu, bimbang hanya perasaannya sahaja dan menuju ke arah biliknya. Najwa tidak sedar, ada mata lain yang memerhatikan tindak-tanduknya sebaik sahaja dia tiba di maktab.

...

Najwa dan rakan-rakan lain ralit bersembang usai solat Isyak berjemaah di surau. Perubahan ketara atas diri Najwa dikesan oleh rakan-rakannya. Kehilangan Sofea juga ditutup dengan kemas oleh Pak Adam. Kononnya ibubapa Sofea terpaksa berpindah atas alasan kerja. Najwa tahu, itu bukan alasan yang baik, namun dia diamkan sahaja, biar Pak Adam yang uruskan selebihnya.

Najwa mengambil beg berwarna coklat yang tertera lambang Converse sebelum berlari menyertai rakan lain yang jauh menapak di hadapannya. Dalam perjalanan menuju ke blok akademik, leka mereka bertukar pengalaman ketika di Jerman, tiba-tiba sahaja suasana bertukar gelap.

Mereka semua memaki-hamun pelajar yang berjalan di hadapan mereka, menyangka bahawa ada pelajar lain bermain lampu semasa menuju ke bangunan akademik. Sangkaan mereka ternyata meleset apabila mendapati bahawa seluruh maktab sedang mengalami black-out. Bingung dengan apa yang patut dilakukan, tiba-tiba terdengar arahan daripada BWP untuk para pelajar berkumpul kembali di surau.

"Gilalah. Baru balik maktab sehari, dah jadi macam ni. Suwei gila."

"Sabarlah, Najwa. Maktab lupa bayaq bil kot bulan ni."

"Diam ah, Chad. Lawak ha-hambar la."

Mereka diam sambil meraba jalan menuju ke arah surau. Najwa berjalan di hadapan sambil berjalan meraba dinding di sebelahnya sebelum dia terhidu seseuatu yang amat familiar dengan deria hidungnya. Bau Sofea.

"Mustahil, Sofea dah tak ada. Bukan, ni bukan Sofea, Najwa."

Najwa terkumat-kamit keseorangan. Peluh jantan mula lencun membasahi baju Melayunya. Pelbagai ayat lazim pendinding diri yang dihafal Najwa berterabur hilang saat dilafazkan. Jantung Najwa berdegup kencang, laksana baru sahaja lari pecut di atas padang apabila terdapat tangan lembut yang memimpin tangan Najwa.

"Najwa?"

Lemah lutut Najwa apabila mendengar suara gemersik itu. Sentuhan lembut itu. Haruman minyak wangi berbau vanilla ini mustahil akan dilupakannya sampai bila-bila! Ini merupakan haruman yang telah Najwa hadiahkan pada Sofea sempena perkahwinan mereka dahulu. Bagaimana? Sofea sepatutnya dah mati seminggu lepas!

"So...Sofea?"

Kering bibir Najwa apabila melihat seimbas bayangan wajah itu di sebalik cahaya bulan. Figura itu hanya tersenyum dan membisu sahaja, tidak menjawab persoalan daripada Najwa. Tangan Najwa dipimpin merentasi kabus yang muncul entah dari mana.

IDENTITI - sebuah novel Nurul Najwa A'thirahWhere stories live. Discover now