BAB 1
2005
Hafiz menutup boot Unser, kemudian melangkah ke arah Ahmad dan Linda yang sedang menyarung kasut di luar muka pintu.
"Ada apa-apa lagi tak yang nak kena masukkan dalam kereta?"
"Hmm, rasanya takde dah. Thank you, sayang." Linda mengusap kepala anak sulungnya itu. Hafiz dan tiga orang adiknya kemudian bersalaman dan mencium tangan kedua-dua ibubapa mereka. Selepas itu, Ahmad dan Linda pula membalas dengan kucupan di dahi sebagai tanda perpisahan.
"Ha, Tok Man dah sampai," kata Ahmad tatkala sebuah teksi merah berhenti di luar pagar rumah. Seorang lelaki tua keluar dari pintu tempat duduk hadapan sebelum dia berjalan mendapatkan beg dan barang-barangnya dari dalam boot teksi.
"Boys, tolong Tok Man angkat barang," ujar Linda lembut.
"OK!" Hafiz, Faiz dan Din pantas berlari ke arah datuk mereka sebelum masing-masing membantu mengangkat barang-barang yang sepatutnya. Derusman melunaskan bayaran kepada pemandu teksi, sedang barang-barangnya diangkat masuk ke dalam rumah oleh ketiga-tiga cucu lelakinya. Selesai membuat bayaran, ketiga-tiga kanak-kanak lelaki itu terus meluru ke arahnya.
"Tok Man! Tok Man!"
Derusman tergelak, bercangkung lalu memeluk ketiga-tiganya yang masing-masing berumur 12, 9, dan 7 tahun.
"Tu yang baby girl tu taknak peluk Tok Man jugak ke?" Derusman memandang ke arah Husna yang sedang memimpin tangan Linda. Sebelah tangan lagi merangkul erat bantal peluk kecilnya yang berwarna merah jambu. Sebagai anak perempuan bongsu yang baru berusia 3 tahun, pasti amat berat bagi dirinya untuk berpisah dengan si ibu.
"Sayang, tu pergi salam Tok Man." Linda mengusap belakang kepala Husna sebelum si cilik itu berlari anak ke arah datuknya. Mereka bersalaman dan berpelukan. Derusman mencium-cium pipi Husna yang gebu.
"Hmm, comel!" Husna tertawa apabila Derusman mencubit-cubit pipinya. Ahmad dan Linda hanya tersenyum melihat telatah mereka.
"OK, semua. Ayah dengan mama nak pergi. Dah dekat pukul enam ni. Pergi masuk mandi ye," arah Ahmad. Tanpa berlengah, keempat-empat beradik itu bergerak ke dalam rumah. Derusman berdiri lalu berjalan ke arah Ahmad dan Linda.
"Jom." Hafiz memimpin tangan adik bongsunya sambil berjalan di belakang Faiz dan Din yang sedang bertolak-tolakan.
"Siapa lambat, dia pengecut!" Faiz dan Din mula berlari. Kelihatan Faiz mendahului tetapi setelah beberapa langkah kolar bajunya dapat dicapai oleh Din. Mereka berdua bergelut, diikuti oleh pekikan Din yang telah kalah dalam perlumbaan itu. Faiz menoleh sambil menjelir lidah, menyebabkan darah adiknya mendidih sebelum aksi kejar-mengejar di dalam rumah pula bermula.
"Woi, dahlah tu!" Hafiz hanya mampu melaung. Husna pula menggeleng-geleng melihat kerenah kedua orang abangnya yang tidak matang.
"Nasib baik Husna baik, kan?" kata Hafiz. Husna tersenyum sambil mengangguk bersungguh-sungguh tatkala mereka berdua melangkah masuk ke dalam rumah semi-D dua tingkat itu.
"Boys, behave!" laung Ahmad kepada Faiz dan Din. Linda hanya tersenyum, menggeleng.
"Biasalah tu, budak-budak kan..." ujar Derusman.
"Budak-budak ni dari keciklah kena didik, abah," balas Ahmad. Derusman tergelak.
"Tahu pun. Kamu ingat kamu dulu macamana? Macam tulah!" Derusman tuding jari ke arah Faiz dan Din yang kelihatan sedang bergusti di atas karpet ruang tamu. "Rumah kita dulu dahlah rumah kayu. Tak kukuh. Malam-malam satu rumah bergoyang-goyang. Abah dengan mak kamu bersengkang mata tak boleh tidur, kamu tahu?"
![](https://img.wattpad.com/cover/53343520-288-k395642.jpg)
YOU ARE READING
(Preview) REVOLVER - sebuah novel Syahmi Hafizuddin
AksiPasukan Ares (sebutan: aer-is) merangkumi empat orang individu berumur 21 tahun. Hafiz, Takwa, Saleha, dan Fazlin. Pasukan yang ditubuhkan beberapa bulan lalu atas arahan Ekx. Ares adalah nama dewa peperangan dalam mitologi Greek. Dalam sebuah skua...