Bab 5

13.7K 310 90
                                    

"PSSSTTT..." Jee buat suara. Aku terus angkat muka lantas ternampak Encik Omar berjalan beriringan dengan seseorang. Uiks! Macam tak percaya aje tapi kena percaya juga sebab memang dah betul.

Langkah lelaki itu tersusun dan wajahnya nampak tenang. Sangat kemas dengan kemeja berwarna putih. Ah, segaknya dia.

"Cuci mata, weh!" kata Kak Tim pula.

Aku senyum. Kau orang tak tahu, malam semalam aku dah borak sakan dengan dia. Siap janji nak pakai baju warna sama lagi. Satu lagi, dia dah panggil aku babe dan sayang. Ingat senang orang lelaki nak panggil dengan panggilan tu? Bukan calang-calang orang. Pergh, kalau aku tak ingat aku ini tunang orang, memang senang-senang aku ajak kahwin.

Waktu Daniel melintasi mejaku, dia jeling aku sekilas. Wajahnya sangat serius. Seperti bukan Daniel yang aku kenal. Walau begitu, dia memang nampak segak.

"Tengok, rasanya kita orang macam ada jodoh saja. Warna baju pun putih," ucap aku dengan bangga. Daniel minta aku pakai baju warna putih. Tak tahu rupa-rupanya dia nak datang ke syarikat. Padan mahu sedondon.

"Tak ingat awak tu tunang orang?" Kak Tim bulatkan matanya.

"Janganlah sebut saya dah ada tunang. Saya pun macam dah malas aje dengan Ash." Aku pandang Daniel yang berada di dalam bilik Encik Omar. Memandangkan bilik Encik Omar tu berdinding kaca, memang jelas nampak apa yang berlaku.

"Curang!" kata Jee.

"Lebih baik curang kalau tiada lagi perasaan. Lebih berdosa kalau curang masa bergelar isteri. Baik curang sekarang."

"Elok sangatlah tu, nak curang bagai. Jangan nak perasan sangat. Ingat Si Daniel tu nak kat awak ke?" kata Kak Tim lagi.

Aku pandang Daniel. Tekun dia berbincang. Langsung tidak melihat ke luar. "Kak Tim ni merepek betul. Takkanlah Daniel nakkan saya. Saya cakap, sekarang ni saya dah tawar dengan Ash. Tu aje." Macam risau pula Kak Tim ni.

"Manalah tahu terlebih syok ke..."

"Tapi memang serius cakap, saya tak ada perasaan terhadap Ash lagi. Dah tawar." Macam mana aku nak kahwin dengan Ashraf kalau perasaan aku memang sudah tiada buat lelaki itu?

"Dalam hal ni, Kak Tim tak nak banyak cakaplah sebab pilihan tu terletak kepada diri sendiri. Terpulang. Kalau sudah tiada jodoh nak diapakan lagi."

"Betul tu. Aku sokong cakap Kak Tim. Kalau kau rasa memang tak boleh bersama dengan Ash, lepaskan dan tinggalkan. Bunyinya macam zalim, tapi macam Kak Tim cakap, terpulanglah."

Aku macam dengar tak dengar saja sebab mata fokus kepada Daniel di dalam sana. Nampak macam dia sedang taip SMS aje. Sebentar kemudian, telefon bimbitku berbunyi. Daniel ke?

Tiba-tiba saja rasa berdebar. Pelik ni.

Babe.

Sepatah sahaja perkataan dia tulis. Bermakna dia minta balasan dengan kadar segera daripadaku. Laju pula tangan menyusun perkataan.

Ya, sayang.

Cewah! Jangan tak tahu. Aku pun boleh panggil dia sayang. Kemudian aku nampak Daniel seperti tersenyum. Maknanya dia sudah baca SMS aku.

Lunch sama.

Hmmm, nak ajak makan tengah hari rupa-rupanya. Okey, tak ada hal. Memang aku suka pun.

Okey.

Tunggu sekejap. Tempat yang menjadi pilihan. Laju tangan aku menaip mesej lalu tekan butang Send.

Cik Cinderella Dan Encik Tengku (Adaptasi Drama)Where stories live. Discover now