jin islam

1K 30 1
                                    

Selain itu saya juga pernah didatangi jin Islam. Jin Islam biasanya akan menjelma sebagai lelaki yang warak, berjubah dan berserban putih. Rupa paras mereka lebih elok berbanding jin kafir atau jin Islam yang fasik.

Kejadian ini berlaku ketika saya sedang makan di rumah. Sedang menjamu selera, tiba-tiba saya terdengar seseorang memberi salam. "Assalamualaikum," ucap suara lelaki itu.

Saya menjawab salam tadi dan berpaling ke belakang. Kelihatan seorang lelaki tua, berjubah putih dan berserban berdiri di belakang saya.

Saya tahu, jin itu Islam sebab dia memberi salam. Kemudian jin itu beritahu hajat kedatangannya. Kata jin itu, dia hendak membantu saya apa yang patut terutamanya dalam merawat orang sakit.

Mendengar hajatnya, saya be­ritahu kalau dia hendak bantu saya, bantulah. Tapi biarlah kerana Allah semata-mata. Jangan dia mengharap sesuatu daripada saya. Selepas saya kata begitu, jin tadi terus ghaib.

Sebenarnya jin itu datang untuk berdampingan dengan saya dan mahu menjadi khadam. Kalau saya terima dan mengambilnya sebagai khadam lambat laun jin itu boleh jadi saka. Itu semua sebenarnya akan menyusahkan saya dan keluarga satu hari nanti.

Kenapa saya kata begitu? Saya ada satu pengalaman melibatkan saka ketika me­rawat sebuah keluarga. Ketika berubat, saya nampak jin itu menjelma sebagai seorang lelaki berpakaian pahlawan zaman dahulu. Siap dengan tanjak dan keris terselit kemas di badannya. Mukanya juga kelihatan bengis.

Mulanya, saya paksa jin itu keluar sendiri. Tapi jin itu tidak mahu dan masih berkeras. Bila saya ceritakan asal usulnya, jin itu mula berlembut sedikit dan mula takut. Kemudian jin itu bersuara: "Disebabkan engkau tahu asal usul engkau dan kau juga tahu asal usul aku, aku tak boleh buat apa-apa pada engkau."

"Kalau dah tahu kenapa tak berundur, engkau keluar!" pekik saya.

"Aku tak boleh keluar sebab aku dah berjanji dengan tuan aku," jawab jin tadi.

"Siapa tuan kamu? Apa yang dia nak kamu buat?" tanya saya lagi.

"Tuan aku ialah waris keluarga ni. Dia bagi aku semangkuk darah. Sampai mati aku terpaksa ikut dia," jawab jin di dalam badan wanita itu.

Mendengar jawapannya, saya kata bahawa dia makhluk yang paling bodoh sebab berjanji dengan manusia. Sepatutnya dia berjanji dengan Allah dan ikut suruhan Allah.

Selepas saya kata begitu, saya lihat jin tadi menjelma pula sebagai hantu raya. Matanya merah, badan­nya berbulu hitam dan bertubuh sasa. Beritahu jin tadi itulah bentuk asalnya ketika menjelma menghadap bekas tuannya.

Bila saya berdialog lagi, jin itu mengaku yang diperintahkan untuk menjaga keturunan keluarga tersebut sampai bila-bila. Tapi selepas tuannya mati, tiada waris yang mahu mengambil dan menjaganya. Akhirnya jin itu menyusahkan keluarga tadi dengan memakan bahagian tertentu dalam badan salah seorang waris.

Sebab itulah saya katakan kalau kita bersahabat dengan jin, akhir­nya ia hanya menyusahkan keluarga kita.

Selain itu, saya juga pernah nam­pak jin yang paling besar. Jin ini setinggi pokok kelapa dan sangat besar. Badannya tegap, sasa dan berwarna hitam legam. Jin ini tinggal di tepiLebuh Raya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur. Lokasinya beberapa kilo­meter sebelum hentian Rehat dan Rawat, Tapah dan kerjanya mengganggu pengguna jalan raya.

Dalam banyak-banyak kes, berhadapan dengan jin saka raja amat menyusahkan saya. Mulanya se­mua proses berjalan dengan baik. Namun semasa saya hendak duduk selepas menarik 'benda' itu dari­pada badan pesakit, saya hilang keseimbangan dan pemandangan berubah menjadi gelap gelita.

Zikir! Zikir! Zikir! Kata hati saya. Saya tenangkan hati dan langsung berzikir kemudian barulah saya pulih dan dapat berunding dengan raja saka itu meninggalkan pesakit saya itu. Syukur alhamdulillah saka jin itu akur.

Baiklah pembaca sekalian, apa yang saya ceritakan ini berdasarkan pengalaman sendiri dan apa yang saya 'nampak'. Hendak percaya atau tidak, terpulang pada pembaca sendiri untuk menilainya.

Kisah ini diceritakan oleh se­orang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 30 tahun. Identiti Rahman terpaksa dirahsiakan atas permintaannya untuk mengelakkan sebarang fitnah.

CERITA HANTU MALAYSIAWhere stories live. Discover now