Nama-nama kuda ni...
"Alfonso, Plato, Alexander..." aku baca kuat-kuat.
Kuda yang terakhir hilang! Begitu juga dengan ukiran namanya. Aku syak mesti kuda yang bertanda dengan batu nisan yang dah pudar tu.
Mesti kuda terakhir ni dibenci orang.
Di bawah hiasan kuda, ada empat plat besi kecil yang ditampal ke dinding. Walaupun nampak dah usang, ayat yang terpahat di atasnya masih boleh aku baca.
Aku cuba baca tulisan bersambung tu. Walaupun ada masa mata aku naik juling, aku gigih juga nak fahamkan apa yang ditulis.
Sangkaan awal aku mungkin tepat. Hiasan kuda ni memang ada kaitannya dengan kes yang tengah aku siasat.
Setelah beberapa minit aku cuba baca semuanya sekali lalu, aku sedar yang ayat yang ditulis ni kalau dibaca secara berirama akan membentuk satu sajak.
"Watching the scent of flowers; sensing the butterflies flying." Tulisan di bawah slot patung Alfonso.
"Listening to the rays of sunlight; feeling the loud cricket sounds." Tulisan di bawah slot patung Plato.
"Catching the wind of cold; shivering from the falling leaves." Tulisan di bawah slot patung Alexander.
"Sliding the icy cold flakes; touching the frozen lake." Tulisan di bawah slot kosong.
Aku pernah hadapi situasi macam ni dalam salah satu game Ozy yang aku pernah main. Sajak ni bukan sajak kosong. Sajak ni ada mesej penting yang nak disampaikan.
Dan waktu macam ni biasanya aku akan terus Google walkthrough.
Masalahnya sekarang, ni bukan game. Ni situasi sebenar. Nak taknak, aku kena selesaikan sendiri.
Aku baca sekali lagi. Kali ni dengan lebih perlahan dan teliti.
"Bunyi macam sajak tentang empat musim..." Aku urut-urut dagu yang tak berbulu. Serentak dengan itu, tangan aku belek-belek ukiran patung-patung kuda itu. Hmmm...
Walaupun Malaysia tak ada empat musim, tapi aku tak bodoh. Semua orang pun tahu empat musim tu apa – musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk.
Tapi apa kaitannya dengan ukiran-ukiran ni?
"Suka dengan ukiran?"
Setelah beberapa minit aku dengar bunyi kicau-kicau burung dengan nafas sendiri, tiba-tiba ada pula suara parau yang menyergah. Sakit betul jantung aku. Banyak kali dah aku terkejut sejak datang sini.
Serentak dengan itu, aku berpaling ke belakang dan cepat-cepat sorok tangan dalam poket. Pak Badar rupanya. Ni memang betul-betul satu kejutan. Pertama kali dia tegur aku. Hmmm...
Aku hanya angguk. Tipu semata. Tak reti nak respon sebenarnya. Kekok. Dan masih terkejut.
"Mungkin juga kau yang curi patung kuda yang terakhir tu," tuduh Pak Badar dalam suara yang tenang.
Ah, masak! Aku terperangkap dalam penipuan sendiri. Apa yang perlu aku jawab ni? Aku baru pertama kali saja tengok patung-patung ni. Mustahillah aku pencurinya.
"Eh, tak adalah. Minat tak buat saya jadi pencuri. Mak pesan tak baik main tuduh-tuduh. Kubur tak terima nanti."
Eh, cabul pula mulut aku. Lupa pula aku tengah cakap dengan orang tua. Tapi respon yang aku dapat buat aku kurang sikit rasa bersalah. Terus-terang, inilah kali pertama aku nampak Pak Badar senyum. Sekurang-kurangnya, senyum pada aku.
YOU ARE READING
KOTEJ - sebuah novel Afiqah AR
AventuraOzy seorang pelajar universiti tempatan yang hanya suka bersendiri, tidak suka berkawan dan amat meminati game penyiasatan. Dia didesak oleh ibu untuk pergi ke rumah opah ketika cuti semester. Opah tinggal di dalam sebuah kotej kecil di atas pulau...