Tergelincir gincu dari landasan bibir Mona waktu aku umumkan perletakan jawatanku. Dia di hadapan cermin, sibuk berdandan, sedang bersiap ke tempat kerja.
Bilik aku umpama kebuk wasap, bukan dipenuhi gas beracun, tetapi pewangi yang sudah sebaldi Mona semburkan ke tubuhnya.
Aku masih atas katil, dalam boxer dan singlet, menikmati sensasi kebebasan yang masih bersisa dalam badan. Oh, alangkah hebatnya perasaan tidak perlu bangkit dari katil, bersiap, tempuh kesesakan lalu lintas, dengar lawak celaka (jilake?) penyampai radio yang syok sendiri.
Aku terfikir, aku pasti akan rindu suara minah Waze, peneman setiaku ke pejabat.
Aku terlupa di hadapanku, seorang singa betina sedang mengamuk. Dia mengaum, umpama mesingan, memuntahkan peluru berupa soalan dalam nada suara yang membingitkan.
Bingit, sakit telinga aku.
Aku tutup mata, bayangkan aku dalam posisi Sukhasana, merasai ketenangan umpama sungai susu di syurga mengalir tenang, dalam segenap inci tubuh dan pembuluh darahku.
Tarik nafas, hembus. Ulang semula. Tarik nafas, hembus. Ulang semula.
You tau tak, ekonomi kita gawat tahun ni?
Tahu, aku kata.
Habis tu?
Rezeki di tangan Allah, bukan manusia. Tenang aku cuba mengemat Mona dengan jawapan berinti Tuhan.
Masa berduit bolehlah. Nanti bila takde duit...
Jangan bimbang. Saya ada simpanan cukup 6 bulan. Sebenarnya tidak, aku kira-kira tolak tambah bolehlah hidup dalam 3 bulan.
6 bulan je? Lepas tu?
Itulah matlamat saya berhenti kerja. Untuk cari apa sebenarnya yang saya mahukan dalam hidup. Mona, saya dah bosan. Bosan, awak dengar tak? Bosan dengan rutin seharian. Awak tak rasakan yang hidup kita ini sebenarnya sama seperti seekor lembu? Lembu pagi-pagi buat apa? Cari makan. Pengembala lembu bebaskan lembu ke dataran rumput yang maha luas untuk cari makan. Bukankah itu juga yang kita buat? Pagi-pagi, sebelum matahari terbit, kita keluar ke tempat kerja. Untuk cari makan (ketawa kecil). Rupanya kita lagi teruk dari lembu. Lembu pun tak keluar sebelum matahari terbit, kan? (ketawa lagi) Bila petang, bila lembu pulang ke kandang, kita pulang ke rumah sebelum kita ulangi lingkaran ganas ini hari-hari. Hari-hari! Saya dah jadi macam mesin, Mona. Saya percaya hidup lebih daripada apa yang kita jalani sekarang. Kita harus keluar dari kepompong kebosanan yang kita cipta sendiri. Kita harus jadi tuan kepada diri, bukan hamba kepada sesiapa; tidak kepada orang lain, tidak kepada duit, tidak kepada nafsu.
... (reaksi Mona)
Apa I nak beritahu Daddy nanti?
Oh bapa mertuaku!
Setiap kali Mona sebut Daddy, semacam ada lelahar dalam dada yang nak meletup dan nak aku muntahkan ke muka Mona, biar dia rentung.
Daddy tu Daddy ni. Tak habis-habis. Tertekan sial, rungut aku, dalam hati.
Oh ya, aku sebenarnya kuli Daddy Mona.
Selepas kahwin Mona gula-gulakan aku supaya bekerja dengan Daddynya dan tinggalkan keghairahan sebenar aku dalam bidang kulinari.
Duitnya lumayan, manfaatnya banyak, kata Mona. Aku pula, demi memenuhi kehendak isteri tercinta, menurut. Aku tunduk dengan tekanan berkahwin dengan orang kaya, dengan tekanan ego seorang lelaki yang harus menjadi ketua keluarga dan sediakan segala-galanya untuk famili, dengan tekanan persekitaran yang penuh material.
Aku mahu dilihat Super! Suami mithali hipster berduit era media sosial yang boleh berselfie di Instagram, lucu di Twitter dan berpendirian di Facebook.
*
Mona lancarkan mogok, tanda protes. Jika bergaduh, selalunya masalah akan berakhir di atas ranjang, dan semuanya akan baik semula.
Tetapi tidak kali ini. Komunikasi, diharamkan. Bilik tidur, kawasan larangan. Makan pakai, pepandai sendiri.
Kelab backbenchers terdiri daripada kaum-kerabat, sanak-saudara dan sepupu-sepapat Mona, menyokong penuh tindakannya. Malangnya mereka semua umpama air dan aku pula daun keladi. Maka sebarang usaha untuk ubah fikiran aku hanyalah sia-sia.
Maka berjalanlah aku seperti zombie dalam rumah sendiri. Hidup umpama bayang-bayang, wujud tetapi tidak dipedulikan.
Tapi aku faham. Bukan semua akan setuju dengan pilihan kita. Apatah lagi jika ia di luar norma dan melawan arus. Haters gonna hate, kata Taylor Swift, maka aku pun shake it off saja.
Sudahnya mereka bengang dengan reaksi stoik aku. Kemudian aku curahkan lagi minyak kepada kemarahan mereka dengan mengisytiharkan gerakan protes bergelar Occupy Ruang Tamu. Aku jadikan ruang tamu sebagai medan komunikasi, bilik tidur, tempat makan dan tempat pakaiku. Ia juga tempat aku abdikan diri kepada televisyen pintar 52 inci yang dilengkapi dengan penyahkod Astro.
Tambah marahlah Mona kerana aku tawan kiblat hiburannya. Duitnya hangus beli TV dan dekoder baru.
Masa terluang aku gunakan sepenuhnya untuk tonton rancangan masakan di saluran AFC dan TLC. Umpama span, aku serap semua teknik masakan, salin semua resipi, hafal nama Chef dan segala lingo berkenaan dunia kulinari. Aku ulangi langkah yang sama di internet.
Kini aku umpama kamus bergerak dunia kulinari. Sudah tiba masanya aku praktikkan ilmu di dada. Aku pilih Twitter dan Facebook sebagai medan praktisku. Bersenjatakan 140 aksara dengan beratus tweet sehari dan pos-pos FB bersifat cendekiawan, aku diisytiharkan sebagai bijak pandai dunia kulinari. Setiap retweet dan like umpama dadah, dan akulah penagihnya.
*
Tiga bulan berlalu, sepantas pecutan Usain Bolt ke garisan penamat 100 meter sewaktu dia menang kejohanan dunia, dengan sifar kemajuan.
Cita-cita menakluk dunia kulinari kandas. Medan yang aku takluki cuma alam maya, menempa nama sebagai jagoan media sosial, yang memacu ego tetapi nol pencapaian. Aku berhibernasi di sofa laksana beruang, dengan komputer riba sebagai pengganti Mona, bersengkang mata siang malam.
Pejam-celik-makan-minum-tidur-jaga dan BAM! bangun satu pagi, sedar yang hidup aku kacau-bilau.
Satu, akaun simpanan aku alami ketirisan. Duit keluar lagi banyak berbanding duit masuk (yang sebenarnya memang takde).
Dua, perang dingin Mona dan aku tiada tanda akan berlaku gencatan. Sebenarnya aku tak peduli dan kisah sangat pun, cuma apabila perkara satu terjadi, aku amat perlukan Mona. Mana lagi nak pinjam duit selain daripada bini, kan?
Tapi dalam keadaan sekarang, jangan haraplah Mona nak luluskan permohonan pinjamanku. Kecuali kalau aku minta maaf dan kembali bekerja untuk Daddynya, yang aku akan pastikan tidak akan berlaku.
Tiga, selepas letak jawatan, ramai pembenci yang nak lihat aku jilat ludah sendiri. Kegagalanku adalah kejayaan mereka. Dan aku tidak boleh benarkan itu terjadi.
Panik, aku perlu buat sesuatu, pronto! Aku perlukan pemacu, inspirasi dan ilham untuk mendorongku keluar daripada kedormanan ini.
Waktu ini hanya satu nama yang terlintas dalam kepalaku; Mak, perempuan nombor satu dalam hatiku, pemilik syurgaku di bawah telapak kakinya.
Ya, aku perlu pulang. Untuk jumpa Mak.
YOU ARE READING
Lemak
General FictionSeorang lelaki mendapat pencerahan berhenti kerja 9 ke 5 untuk berniaga. Dan seperti hero-hero lain, dia terpaksa mengharungi Act 2 yang penuh haru-biru dan kecelakaan sehinggalah dia mendapat kejayaan palsu dan terpaksa menebus maruah dirinya untuk...