Perjalanan ke pejabat Daddy Mona terasa begitu pantas, bukan kerana aku cemas atau takut berjumpa dengan dia, tetapi kerana Bob pandu kereta laju nak mampus; seakan dia sedang berlumba dengan cahaya. Kaki aku asyik tekan brek angin, manakala tangan kiri berpegang kuat pada pemegang bumbung. Bob, si pemandu celaka, tergelak lihat gelagat aku.
"Relaks la, bro," ujar dia sambil tersengih.
Bukan saja pemanduan dia macam celaka sepanjang perjalanan, mulut dia tak berhenti bercakap mengalahkan mak cik bawang, macam bertih jagung sedang dimasak.
Dia sibuk meluahkan pandangannya yang jelik terhadap lagu-lagu artis Malaysia masa kini sambil dengar lagu rock kapak, terima kasih kepada Spotify, berkumandang melalui pembesar suara kereta. Bagi Bob, lagu zaman sekarang tidak bercita rasa; tak macam lagu-lagu lama yang punyai maksud dan rasa yang mendalam.
Dalam hati, aku pergi mampuskan apa yang Bob persoalkan. Aku bukannya peduli sangat pun dengan senario muzik tanah air. Aku sejenis manusia yang boleh hidup tanpa muzik.
25 minit kemudian, aku sampai di pejabat Daddy Mona. Bob berhentikan aku di lobi pejabat, lantas aku masuk, pergi ke lif dan tekan ke tingkat paling atas bangunan itu, di mana pejabat bekas bosku, Daddy Mona dan bapa mertuaku terletak.
Sesampai di pejabatnya, setiausahanya yang baru menyambut aku dengan senyuman ramah, menampakkan giginya yang tersusun rapi dan putih ya amat, lantas membawa aku ke pintu bilik bekas bosku, Daddy Mona dan bapa mertuaku.
Daddy Mona sedang tekun mengadap monitor komputer ribanya waktu aku melangkah masuk. Aku berikan salam menyapanya, dia tidak balas cuma terus suruh aku duduk. Pandangannya terus terpaku pada monitor, langsung tidak angkat muka untuk pandang aku. Setiausahanya minta diri, tinggalkan kami berdua, dalam situasi yang janggal dan tidak menyenangkan.
5 minit berlalu - masih belum ada tanda-tanda Daddy Mona nak bercakap dengan aku. Dia masih tekun menelaah monitornya.
Apa yang dia tengok sebenarnya? Tekun benar. Ikut hati nak saja aku bangun dan intai tapi memikirkan kebarangkalian-kebarangkalian yang boleh terjadi jika buat macam tu buatkan aku batalkan saja niat itu.
Ah, satu idea terlintas di kepala aku. Lantas aku terus buat; aku buat-buat berdehem, cuba memberitahu kewujudan aku secara tidak langsung.
Selepas 2-3 deheman, Daddy Mona angkat muka pandang aku, seakan mengesahkan kewujudan aku, kemudian dia pantas membuka laci untuk mengambil sesuatu.
Oh shit, aku dah buat dia marah ke? Jangan dia keluarkan pistol sudah. Aku panik sendiri dalam hati. Daddy Mona memang panas baran. Kadang-kadang dia boleh marah dengan benda-benda sebesar kuman. Jantung aku berdag-dig-dug menanti apa yang akan dia keluarkan. Rupanya --
--ubat sakit tekak berjenama popular. Dia hulurkan pada aku. Aku tak boleh tolak lantas ambil dan makan. Selepas habis ubat sakit tekak tu aku nyonyot, barulah Daddy Mona tutup monitor komputer ribanya dan beri tumpuannya kepada aku.
"Apa cerita ni, Mona dengan kau?" Dia bertanya, serius dan tegas.
"Takde apa-apa, Daddy. Kami ok."
"Ok apanya kalau dia tiap-tiap hari telefon aku, komplen tak berhenti pasal kau."
"Saya tak tau pulak--"
"Memanglah kau tak tau. Sebab dia telefon aku."
Suara Daddy Mona memetir telinga aku.
"Kau kena balik kerja. Dia risau kau asyik duduk terperap kat rumah, gebang nak jadi tukang masak tapi sampai sekarang tak jadi apa, hidup macam beruang langsung tak peduli pasal anak bini."
Aku takde jawapan yang bagus untuk serang balas, jadi terpaksa akur dan diam saja.
"Dengar sini. Sebenarnya aku ada banyak lagi benda nak fikir selain daripada masalah kau dengan Mona ni. Dengan kerja aku, bini aku yang 3 orang tu, awek aku lagi..."
Fuck, sempat lagi humblebrag dalam tengah memaki aku ni. Dasar suka cakap besar.
"...banyak benda, kau tau? Sekarang sebab kau, Mona asyik komplen, komplen, komplen. Kalau aku tak dengar, dia merajuk. Jadi, boleh tak kau buat sesuatu suapya dia berhenti kacau aku? Dia anak aku, aku sayang dia, tapi masalah rumah tangga bukan masalah aku. Itu masalah korang. Settle la sendiri. Faham?"
"Faham, Daddy. Faham."
"Kalau kau tak boleh settlekan, nanti aku hantar Bob je settlekan kau."
Aku teguk air liur, terfikirkan seksaan apa yang Bob akan berikan kalau dia terima arahan Daddy Mona.
"Takpe, takpe. Tak payah Bob. Saya sendiri akan settlekan hal ni. ASAP."
Dia angguk terima jawapan aku sebelum suruh aku keluar. Dia tawarkan Bob untuk hantar aku tapi aku tolak. Baik aku naik Grab saja daripada habiskan 25 minit aku tekan brek angin dan dengar Bob membebel pasal industri muzik tanah air.
Nampaknya aku kena tangguhkan dulu niat nak balik jumpa Mak.
YOU ARE READING
Lemak
Genel KurguSeorang lelaki mendapat pencerahan berhenti kerja 9 ke 5 untuk berniaga. Dan seperti hero-hero lain, dia terpaksa mengharungi Act 2 yang penuh haru-biru dan kecelakaan sehinggalah dia mendapat kejayaan palsu dan terpaksa menebus maruah dirinya untuk...