Esok lepas putuskan untuk balik kampung, aku tulis nota Post-It untuk Mona – Balik Kampung! – tampalkan pada peti sejuk dengan harapan dia akan nampak, kemaskan pakaian– 2 helai boxers, satu seluar kargo tiga suku, 2 helai kemeja-t dan juga buku nota untuk catatan sepanjang di sana dalam beg sandang - sediakan sarapan pagi – 2 biji telur separuh masak, nasi goreng cili api, telur goreng, segelas teh tarik kurang manis (kerana gula adalah kambing hitam baru selepas rokok), makan minum sehingga menjilat jari dan sebagai penyudahnya, 2 batang rokok yang dihisap bersilih-ganti.
Lepas selesai mengepam lebih 4000 bahan kimia termasuk tar, nikotina dan karbon monoksida yang membahayakan kesihatan ke dalam peparu, perutku sakit. Aku ke tandas. Sebatang rokok lagi sewaktu proses memerut. Selesai aku keluar, siap sedia untuk mulakan kembara jalanan pulang ke kampung halaman. Oh, betapa syahdu!
Kembali ke markasku, satu susuk yang aku kenali sedang duduk di atas sofa.
Bob.
Susuk Bob mengingatkan aku kepada ahli gusti yang sering aku nampak di televisyen di zaman aku masih layan gusti.
Bob sedang tekun membaca buku masakan Jamie Oliver yang aku beli sewaktu gagal menahan nafsu di jualan buku Big Bad Wolf (tajuk pun tak ingat sebab aku sendiri belum sempat baca).
Langkahku terhenti secara automatik. Aku kaku pandang Bob.
Bob sedar dengan kehadiranku. Dia angkat muka dan sapa aku – Yo – tangan kanannya buat gaya pistol, 'sup?
Ok, aku kata.
Kau dah masak semua resipi ni, Bob tanya, sambil pandang ke timbunan buku masakan yang ada di satu lagi sudut ruang tamu.
Belum, aku jawab, jujur.
Kalau kau masak, jangan lupa jemput aku. Aku nak rasa, kata Bob, sebab nampak sedap. Dia sengih.
Boleh, boleh. Tapi kau datang sini bukan pasal ni, kan?
Bob tutup buku, campakkannya atas sofa dan bangun,
"Tentulah tak. Bos nak jumpa kau."
Bos Bob, Daddy Mona, bapa mertuaku.
Sudah beberapa kali Mona beritahu sebelum ini yang Daddynya mahu jumpa tetapi aku buat endah tak endah saja. Pernah sekali dia menelefon tetapi sengaja aku tidak mahu jawab. Masalah Mona dan aku tiada kena mengena dengan dia. Kenapa dia perlu masuk campur?
Aku pasti dia mahu jumpa tentang hal ini. Pasti.
Ringan saja mulut aku untuk beritahu Bob supaya cakap pada Bos dia, Daddy Mona, bapa mertuaku supaya pergi mampus sebab aku nak balik kampung tetapi apabila terkenangkan apa yang bakal berlaku kepada aku, mulutku terkunci secara automatik.
Lagipun bapa mertuaku hantar Bob, orang kanannya yang paling handal dan paling dipercayai.
Aku pernah dengar satu legenda urban tentang Bob, yang diceritakan oleh Mona, waktu mula-mula kami berkahwin. Kata Mona, kehebatan Daddynya mengendalikan bisnes membuatkan ramai yang cemburu. Musuh mahukan dia mati. Pada satu hari, sewaktu Daddynya sedang beristirehat di sebuah bar ditemani Bob, 10 orang samseng datang bersenjatakan parang dan pistol untuk membunuhnya. Mereka yakin hari itu Daddy Mona akan mati. Tetapi tidak. Kesepuluh samseng itu mati di tangan Bob yang mencabut nyawa mereka menggunakan hanya sebatang pen (dan kemudian bila aku tonton John Wick, aku terfikir, adakah Bob sebenarnya inspirasi kepada watak Keanu Reeves dalam filem itu?).
"Boleh kita? Aku tak nak Bos tunggu lama," kata Bob.
Aku angguk, ambil beg sandang dan ekori Bob masuk ke kereta untuk berjumpa bapa mertuaku.
*
YOU ARE READING
Lemak
قصص عامةSeorang lelaki mendapat pencerahan berhenti kerja 9 ke 5 untuk berniaga. Dan seperti hero-hero lain, dia terpaksa mengharungi Act 2 yang penuh haru-biru dan kecelakaan sehinggalah dia mendapat kejayaan palsu dan terpaksa menebus maruah dirinya untuk...