Aleya meletakkan pensel yang dipegangnya. Apa yang diceritakan oleh Alisa sebentar di luar jangkaan.
"What are you gonna do, sis?"
"Angah tak tahu lagi. Sekarang ni fikiran angah tengah buntu. Ibu tetap degil nak tinggal di sini sehingga proses perceraian selesai."
"Orang macam Datin Kartika tu takkan biarkan perkara ni begitu saja. You should be careful." Aleya risau.
"I know."
"Angah perlu lakukan sesuatu dengan segera. Sebelum dia bertindak, angah kena bertindak dulu. Jangan ingat dia boleh lakukan sesuka hati terhadap kita," tegas Aleya. Dia tak suka jika ada orang cuba membuli keluarganya.
"I know! Angah rasa angah tahu apa yang perlu angah lakukan." Tiba-tiba senyuman terukir di bibir Alisa.
"Good! Along akan selesaikan semua kerja di sini dengan segera. Along akan ke Malaysia bila semua kerja di sini selesai."
"Okey... I have to go. Angah tak nak ibu syak sesuatu," kata Alisa sambil melirik ke kiri dan kanan. Dia berdiri di luar bilik ibunya.
"Okey, kirim salam kat ibu."
"Baiklah," kata Alisa sebelum menamatkan perbualan mereka berdua. Aleya termenung seketika. Sebenarnya, hatinya bimbang. Bimbang jika sesuatu akan terjadi kepada ibu dan adiknya. Pantas dia mendail nombor telefon setiausahanya. Dia memaklumkan kepada Mary bahawa dia akan ke Malaysia selama sebulan. Dia meminta Mary merombak kembali jadual kerjanya.
Aleya bangun dan berjalan menuju ke tingkap. Dia melihat salji yang sedang turun. Sekarang musim salji sudah tiba, Aleya lihat halaman rumahnya sudah dipenuhi dengan salji. Aleya mengeluh! Walau apapun yang terjadi, dia akan bawa ibunya pulang.
Dato Syed Mohd Kadir tersenyum sebaik sahaja melihat Munirah keluar dari bilik air. Dia mengatur langkah mendekati Munirah dan ingin membantu.
"Tak payah. Munirah masih boleh berjalan lagi," tegas Munirah.
Dato Syed Mohd Kadir terdiam kaku.
Munirah duduk di atas sofa. Munirah membetulkan tangannya yang disimen. Berat!
"Bunga-bunga ni... Munirah harap awak jangan hantar ke sini lagi. Membazir saja."
"Tetapi, abang ikhlas... Semua bunga ni untuk Munirah." Dato Syed Mohd Kadir terus duduk di atas sofa yang bertentangan dengan Munirah.
Munirah melirik anak matanya ke arah lain. Ikhlas? Geli hati aku mendengarnya. Bunga ros ni bukan bunga kesukaan aku. Aku suka orkid. Nampak sangat dia tak tahu apa-apa tentang aku. Tiba-tiba Munirah tersenyum sinis. Tetapi, kenapa aku masih mencintai lelaki ini? Hati aku ni memang ada masalah.
"Munirah, kenapa?" soal Dato Syed Mohd Kadir hairan melihat Munirah tiba-tiba tersenyum.
Senyuman Munirah hilang sebaik sahaja mendengar pertanyaan Dato Syed Mohd Kadir.
"Dato Kadir, kenapa awak masih enggan tunaikan permintaan Munirah? Selepas apa yang terjadi, mustahil hubungan kita akan kembali menjadi suami isteri. Semua itu mustahil. Anggap saja kita tiada jodoh."
"Munirah, kenapa hati Munirah begitu keras untuk menerima abang kembali? Abang sedar apa yang pernah abang lakukan kepada Munirah begitu kejam sekali. Abang menyesal. Sebab itu, abang mahu kita mulakan hidup baru. Hanya kita bertiga. Abang berjanji, abang tak akan mensia-siakan hidup Munirah. Abang akan jadikan Munirah wanita yang paling bahagia. Cinta abang hanya satu. Hanya untuk Munirah," ucap Dato Syed Mohd Kadir. Dia menatap wajah Munirah. Cintanya kepada Munirah ikhlas.
Munirah berpaling. Wajah Dato Syed Mohd Kadir direnungnya tajam. Amboi... Manisnya mulut apabila bercakap. Dasar playboy. Sebelum ni, kau campak aku dan sekarang ni kau nak kutip aku balik? Tolonglah. Aku dah pun maafkan kau... Apa lagi yang kau nak daripada aku?