Munirah melangkah keluar dari kedai runcit itu. Beberapa beg plastik yang berisi barang-barang dapur dipegang erat. Dia hanya membeli sedikit barang. Cukup untuk dua hari. Langkah Munirah diatur menuju ke kereta.
Pintu kereta dibuka. Beg plastik itu diletakkan di tempat duduk belakang.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.
Munirah mengeluarkan telefon bimbitnya dengan segera. Dia tersenyum sebelum menjawab panggilan itu.
"Perempuan tu dah gila ke?" Itulah perkataan yang pertama keluar dari mulut Khatijah. Dia terkejut membaca e-mel daripada Munirah. Munirah telah menceritakan segala-galanya tentang kedatangan Kartika bersama anak-anaknya. Khatijah geram dan marah.
"Khaty, kau ni kenapa? Beri salam pun tidak. Kau marah kat siapa ni?" Dahi Munirah sedikit berkerut.
"Siapa lagi jika bukan madu kau, Munirah... Kau ni terlalu baik hati sangat. Dia pijak kepala kau macam tu, kau masih boleh buat tak tahu saja. Kalaulah aku di tempat kau, aku tarik rambut dia sehingga kepala dia botak. Biar dia tahu status dia yang sebenarnya!" Khatijah melepaskan geram.
Munirah ketawa.
"Munirah! Aku serius ni. Kau ingat aku buat lawak ke?" Khatijah mencebik bibirnya.
"Kau ni emosional sangat, Khaty! Biarlah Kartika nak fikir apa-apa pun. Lagi dua hari aku dan Lina akan pulang ke London. Don't worry about us. Lagipun aku dah lantik peguam untuk uruskan perceraian aku."
"Baguslah. Selagi kau ada di sana, hidup aku tak tenteram! Siang malam aku ingat kau. Makan pun tak lalu. Tidur tak lena. Penyakit aku ni dah mengalahkan penyakit orang tengah mabuk bercinta... Kau tahu tak?" Khatijah meluahkan kebimbangan yang selama ini bersarang dalam hatinya.
"Khaty, kau ni... Ada-ada saja. Aku dan Lina pasti akan balik. Kau jemput aku di airport nanti ya. Rindulah kat kau... Aku rasa macam dah lama tak jumpa kau." Munirah tersenyum lebar. Dia berasa selesa setiap kali berbual dengan Khatijah. Walaupun antara mereka berdua tiada pertalian darah, namun Khatijah seperti ahli keluarganya sendiri.
"Baiklah! Call me bila kau nak bertolak nanti."
"Yes, bos! Kirim salam sayang aku kepada Leya dan Lisa," pesan Munirah. Dia sangat rindukan Aleya dan Alisa.
"Aku tahu... Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam," jawab Munirah. Pintu kereta dibuka. Munirah masuk ke dalam perut kereta Mazda 2. Enjin kereta dihidupkan.
Tanpa disedari, ada sepasang mata yang sedang memerhati gerak-geri Munirah sejak dari tadi. Senyuman terukir di bibirnya apabila melihat kereta Mazda 2 berwarna merah bergerak meninggalkan tempat itu. Sebuah kereta Wira berwarna hitam mengekori kereta Mazda 2 itu dari belakang.
Alina tersenyum melihat ayahnya sedang berdiri di balkoni.
"Termenung jauh nampak!" tegur Alina sambil berjalan mendekati ayahnya. Dia bersalaman dengan Dato Syed Mohd Kadir.
"Lina datang seorang saja? Ibu mana?" soal Dato Syed Mohd Kadir. Matanya melirik ke arah pintu biliknya. Tiada siapa. Hanya Alina.
"Abah tahu, kan sebabnya?"
Dato Syed Mohd Kadir mengeluh.
"Ini rumah ibu kamu juga. Dia ada hak, lebih-lebih lagi dia isteri pertama abah." Dato Syed Mohd Kadir berasa hampa kerana tidak dapat bertemu dengan Munirah. Sudah beberapa hari Munirah tidak datang melawatnya malah telefon pun tidak.
"Ibu tak nak keruhkan lagi keadaan. Dia tak nak abah dan Auntie Kartika ada masalah disebabkan ibu."
"Hubungan abah dan Kartika dah lama ada masalah, sejak dulu lagi. Tak ada kena-mengena langsung dengan ibu Lina."