Aleya meletakkan jag yang berisi jus kiwi itu. Mata Aleya tepat melihat ke arah kerusi Munirah dan Alina. Selama ni, mereka berempat sering makan bersama tapi malam ni hanya mereka berdua. Kosong! Aleya mengeluh perlahan.
"Along, kenapa?" tanya Alisa. Dia dengar keluhan Aleya sebentar tadi.
"Nampaknya minggu ni kita berdua ajelah makan bersama." Aleya terus duduk. Tangannya mencapai jag lalu menuang jus kiwi ke dalam dua gelas yang berada di hadapannya.
"Along rasa ibu dan acu dah sampai ke?" Mata Alisa tepat melihat ke arah jam dinding di dapur.
"Agaknya belum lagi kut. Kalau dah sampai, pasti acu dah call," kata Aleya.
"Along rasa ibu marah kat kita tak?" tanya Alisa. Dia risau juga Munirah kecil hati dengan sikap mereka semalam. Inilah pertama kali mereka memberontak!
"Tak tahulah. Tetapi ibu beritahu, ibu hormati keputusan kita," kata Aleya. Semasa dia menghantar Munirah dan Alina ke airport, Munirah tak banyak cakap, hanya suruh mereka menjaga diri masing-masing. Itu saja.
"Aaa... Ni dah makan ke belum?" tanya seseorang secara tiba-tiba.
Aleya dan Alisa terkejut apabila ada seseorang menyapa mereka berdua. Mata mereka tepat memandang wanita yang sebaya dengan ibu mereka yang sedang ketawa itu.
"Aduh... Auntie Khaty! Kus semangat Leya! Hampir nak tercabut jantung ni dibuatnya." Aleya mengurut dadanya beberapa kali akibat terkejut dengan sapaan kawan ibu mereka yang juga merupakan rakan kongsi restoran yang dibuka oleh Munirah di kota London sejak 15 tahun yang lalu.
"Auntie ni guna ilmu apa masuk rumah sampai kami tak sedar?" soal Alisa.
"Ni berbuih mulut auntie beri salam pun tak jawab. Bila auntie ketuk pintu, tak ada apa-apa respons pun. Itu yang buat auntie risau, terus auntie masuk guna kunci rumah yang ibu kamu beri sebelum berlepas. Dia pesan suruh auntie jaga kamu berdua sementara dia tak ada."
"Ala auntie... Kami ni dah besar. Umur pun dah 25 tahun. Tahulah kami jaga diri kami. Auntie tak payah risau." Aleya tersengih.
"Hmmm... Malam ni masak apa?" tanya Khatijah.
"Nasi goreng!" jawab Alisa menunjukkan pinggan yang dipenuhi nasi goreng yang digorengnya sebentar tadi. Panas lagi.
"Nasi goreng aje?" Khatijah terkejut.
"Yalah. Habis tu nak masak apa?" soal Aleya hairan.
"Masaklah lauk apa-apa pun. Eh, kamu berdua ni reti tak memasak?"
"Eh.... Eh... Auntie Khaty, jangan pandang kami sebelah mata. Kami ni anak cef. Kalau kami tak reti masak, jatuh reputasi ibu. Semua masakan kami reti masak. Auntie cakap aje," kata Aleya.
"Auntie, sekarang ni rumah ni ada berapa orang?" soal Alisa secara tiba-tiba.
"Dua orang," jawab Khatijah. Dahinya berkerut. Apa kaitannya nasi goreng dengan soalan yang diajukan oleh Alisa?
"Ya, betul! Dua orang. Kalau kami masak pelbagai jenis lauk, siapa nak makan sedangkan kami berdua saja. So, kami masak nasi goreng, simple dan tak membazir. Lagipun membazir tu amalan syaitan." Alisa tersenyum.
"Gaya kamu cakap ni macam berada dalam court pula." Khatijah membuat mimik muka.
Aleya ketawa kecil mendengar kata-kata Khatijah.
"Sorry, auntie! Terbawa-bawa pula." Alisa bangun dan mengambil pinggan kosong di atas rak.
"Mentang-mentanglah kamu ni lawyer. Auntie cakap sepatah, beribu-ribu patah perkataan kamu jawab." Khatijah menggeleng. Alisa ni memang banyak cakap. Memang sesuai pun kerja peguam.