Bab 2

481 22 0
                                    


Banda Aceh.

Penerbangan selama satu jam lebih tadi dia habiskan dengan membuta saja. Awal sangat bangun berkejar ke KLIA 2. Takut kalau gerak lambat terpaksa bersaing dengan orang-orang yang nak masuk kerja.

Pukul 3 pagi dia dah bangun tidur. Ikutkan, tak tidur pun. Sekadar pejamkan mata saja. Buat syarat. Sedang telinganya jelas dapat menangkap bunyi bilah kipas siling berputar. Tak boleh nak tidur nyenyak.

Lagi satu, Dan tak putus-putus menelefonnya. Boleh dikatakan selang satu jam. Mulanya, dia ingat mamat tu ada hal penting tetapi sekadar nak borak-borak kosong.

Masuk panggilan kelima, dia tak angkat. Geram. Tak tahu ke sini dah pukul 12 malam. Bukannya Korea tu jarak waktu sampai berjam-jam. Tak tahu nak tidur ke apa Dan tu? Kut ya pun hormatlah sikit waktu tidurnya ini.

"Sorry," ucap seorang gadis berambut perang apabila terlanggar bahu Nisa'.

Hilang terus wajah Dan, juga rasa ralat sebab tidurnya terganggu semalam.

Nisa' sekadar angkat tangan dan hulur senyum tanda tak mengapa.

Langkah yang perlahan tadi disusun laju menyaingi langkah Kak Raima yang sudah jauh ke depan. Emi pula mengekor di belakangnya. Masih ralit memandang telefon di tangan.

Sebaik saja melepasi pihak jabatan pemeriksaan, dia dan Emi terus berjalan rapat-rapat dengan Kak Raima. Dek kerana ramai sangat datang menghampiri bagi menawarkan perkhidmatan taxi dan kereta sapu.

"Kak Raima!"

Laju dia dan Emi berpaling apabila ada suara lelaki memanggil nama Kak Raima dengan agak kuat.

Senyuman yang terpamer di wajah lelaki berkulit hitam manis, kurus dan agak tinggi orangnya membuatkan dia dan Emi percaya itulah tour guide mereka, Shah.

Yang buat dia yakin itu Shah adalah kerana ciri-ciri yang Kak Raima ceritakan pada mereka hampir menyamai dengan lelaki yang berdiri tegak di hadapan mereka sekarang ini.

"Manis orangnya." Sempat Emi berbisik kepadanya ketika mereka sedang berjalan menuju ke kereta.

Kak Raima ketika itu rancak berbual dengan Shah.

Selepas mencuri-curi pandang dari belakang ex-junior Abang Nizar itu untuk beberapa saat, dia akhirnya angguk setuju dengan apa yang Emi bisikkkan tadi.

Bagai tahu diri diperkatakan, Shah menoleh pandang ke belakang. Terkesima Nisa' jadinya saat mata mereka saling bertentang.

"Okey tak perjalanan tadi?" tanya Shah cuba beramah mesra.

Nisa' angguk laju dek terkejut disoal secara tiba-tiba. Juga terkejut apabila Shah itu bercakap tanpa slanga orang sini.

Elok saja Shah berpaling sambung bersembang dengan Kak Raima semula, Emi berbisik lagi ke telinganya.

"Cakap key el weh!" Dan, Nisa' mengangguk lagi. Kali ini berserta riak kagum.

***

Perjalanan selama 45 minit menuju ke jeti bagai tak terasa langsung. Rasa terhibur dengan setiap celoteh Syah.

Memang patut mamat ni jadi tour guide untuk pelancong. Ramah. Pandai hidupkan suasana. Ada saja yang hendak diceritakan. Kadang itu diselitkan unsur gurauan.

Nisa' sendiri kadang-kadang ditangkap sedang ketawa oleh sepasang mata Syah melalui cermin pandang belakang.

"Karang, sampai di Sabang baru kita makan boleh?" Syah beritahu mereka tapi pakai nada soalan.

Apa saja jawapan yang boleh mereka jawab. Kalau cakap tidak mahu haru mamat ni. Nisa' tarik senyum sedikit dengan apa yang bermain di fikirannya ketika itu.

"Nak kena kejar bot pukul 10. Di sini botnya cuma berlayar dua kali saja. Pagi dan petang. Kadang-kadang tak gerak langsung. Laut kebelakangan ini bergeloranya agak kuat." Terang Syah panjang lebar.

Rasa bersalah pula Nisa' sebab jawab di dalam hati macam tadi.

"Berapa lama ya kita akan sampai?" Sebab rasa bersalah Nisa' ramahkan diri bertanya.

Syah sambut soalan Nisa' dengan senyum tanda senang.

"Biasa kalau bot cepat cuma 45 minit."

Nisa' angguk dan hulur senyum sebagai balasan untuk jawapan yang diberikan.

"Ayuh! Botnya sudah ada," ajak Syah sebaik saja mereka tiba di ruang kaunter tiket.

Kali ini pasangan berjalan Nisa' bukan lagi Emi seperti tadi tetapi Syah. Emi masih di belakang ralit dengan telefonnya lagi, sedang Kak Raima sudah sedikit ter-ke hadapan.

Di dalam bot pun begitu. Dia duduk bersebelahan Syah. Kak Raima hujung di tepi tingkap. Emi pula meminta untuk duduk di tengah-tengah. Jadi, antara Emi dan Syah, ada dirinya.

***

45 minit perjalanan ke Sabang bagaikan 4 hingga 5 jam. Dengan ombak yang kuat menghempas bot. Kak Raima sampai mabuk dan muntah. Lembik terus badan sebaik tiba di jeti. Emi pula berjalan dengan berpaut padanya. Pening.

Mujur dia okey. Saat ini dia rasa tak menyesal apabila mengangkat panggilan awal Dan semalam. Dalam dikutuknya yang Dan itu sekadar berborak kosong, merepek yang bukan-bukan tetap ada juga [erkara yang bagusnya.

Macam Dan suruh dia telan pil mabuk setengah jam sebelum naik bot.

Thanks Dan, ucap Nisa' di dalam hati.

"Awak okey ke?"

Nisa' pantas berpaling. Syah yang sewaktu mengambil mereka lengkap berpakain t-shirt hitam lengan pendek kini sekadar bersinglet putih saja. Gara-gara t-shirt yang dipakai lelaki itu tadi dijadikan alas untuk muntah Kak Raima.

Sudahlah angin agak kuat. Dia sendiri menggigil sejuk walau memakai kemeja berlangan panjang. Inikan pula Syah yang sekadar bersinglet.

"Kesian awak Syah. Sorry pasal t-shirt tu." Dia minta maaf mewakili Kak Raima yang sudah tak mampu nak bersuara lagi.

Sudahlah beg Kak Raima itu dipikul Syah. Ditambah lagi dengan bagpack Emi.

Tadi dia nak tolong bawakan beg Emi, tapi Syah menegah.

Mujur saja beg lelaki itu sendiri ringan, tidak banyak muatan. Kalau tidak, mahu senget bahu Syah.

"Tak apalah. Bajunya boleh dibeli lagi." Syah senyum lagi.

Baru tak sampai 2 jam dia kenal Syah, Nisa' rasa lelaki ini bagaikan ada simpan stok gula di dalam mulutnya, seperti hamster menyimpan makanan.

Jangan senyum selalu sangat. Nanti yang tengok ni boleh terkena diabetes. Seloroh Nisa' di dalam diam.

Nisa' hanya boleh membuka langkah kecil saja. Di kiri dan kanannya ada Kak Raima dan Emi.

Walau apa pun langkah perlahannya itu masih tetap setia ditemani Syah.

TRIP 2: Antara Langit KL-BAWhere stories live. Discover now