Epilog

2.7K 296 127
                                    

Jam menunjukkan tepat pukul 2 pagi. Syafiq yang masih tidak boleh melelapkan matanya sekadar melemparkan pandangan kosongnya ke arah syiling biliknya itu.

Seminggu telah pun berlalu, namun kehilangan Alif amat dia rasai. Dulu sewaktu Ibunya meninggal dunia pun, hampir setahun juga untuk Syafiq pulih seperti biasa.

Semalam Encik Hafiz ada bertanyakan tentang bilik nya itu. Sama ada Syafiq mahu kekal di situ, atau berpindah ke bilik yang lain. Memikirkan dia dan Alif telah tinggal di bilik itu dari tahun pertama lagi membuatkan Syafiq mengambil keputusan untuk terus tinggal di bilik itu sehingga ke akhirnya.

Semalam juga Ibu dan Ayah Alif datang bersama adik beradik Alif yang lain. Kehadiran mereka itu bertujuan untuk mengambil barang-barang arwah yang masih ada di dalam biliknya itu. Mereka juga hadir bagi menguruskan segala perkara yang berķaitan dengan pengajian Alif yang masih aktif.

Saat adik beradik Alif tiba di muka pintu bilik nya itu, Syafiq meminta izin sebentar untuk ke tandas. Di situ dia menangis sepuas-puasnya kerana muka adik lelaki Alif itu sangat seiras dengan muka arwah abangnya itu.

Syafiq menarik nafas dalam. Dilihat wajahnya di balik pantulan cermin di hadapannya itu. Dikesat perlahan air mata yang keluar lalu kepala paip di hadapannya itu dibuka. Dibasuh wajahnya itu, lalu sekali lagi dia memandang ke arah cermin. Senyuman kecil diukir, lalu Syafiq keluar menuju ke biliknya itu.

Setibanya dia disana, kebanyakkan barang-barang Alif sudah pun dikemas rapi. Ditahan sebak di dada, lalu dia cuba untuk menghulur bantuan seandainya diperlukan.

Satu persatu barang milik arwah dimasukkan ke dalam kotak. Satu persatu juga baju arwah dilipat oleh Ibunya lalu dimasukkan perlahan ke dalam beg galas yang dibawa. Kelihatan Ibu nya tenang, namun sesekali air matanya juga jatuh berguguran.

Syafiq hanya diam memerhati. Sesekali ada juga Ayah Alif bertanya, namun suasana kembali sunyi apabila nama Alif disebutkan. Masing-masing masih terasa kehilangan, malah merindui kerenah arwah yang periang orangnya.

Saat Ibu Alif sedang melipat baju berwarna biru milik arwah, Syafiq meminta izin darinya untuk menyimpan baju itu. Katanya baju itu merupakan baju kegemaran arwah dan tertera nama arwah di belakang baju itu. Mungkin apabila rindu, bolehlah baju itu dijadikan sebagai ubatnya.

Hampir setengah jam keluarga Alif di situ. Setelah semuanya selesai, mereka pun meminta izin untuk pulang. Sebelum mereka pergi, Syafiq sekali lagi meminta izin dari keluarganya untuk memeluk adik lelaki Arwah. Katanya kali terakhir dia memeluk arwah ialah sewaktu dia mahu pulang ke rumahnya dulu. Sejak kemalangan terjadi, dia tidak lagi berpeluang untuk bertemu dengan arwah, apatah lagi memeluk nya.

Syafiq memeluk erat tubuh adik Alif itu. Tanpa dia sedari air mata nya mula jatuh berguguran. Ibu dan Ayahnya yang melihat turut terasa sayu. Ayahnya memusingkan badannya ke belakang lalu mengesat air matanya itu. Suasana sepi mengiringi kepulangan mereka petang itu.

Setelah kelibat mereka hilang, Syafiq melangkah perlahan ke dalam biliknya itu. Dilempar pandangannya ke setiap sudut di dalam biliknya. Hatinya terasa sayu.

Syafiq kemudian meneruskan langkahnya lalu mencapai baju yang diberikan oleh Ibu Alif tadi. Dipeluknya erat lalu dia terduduk menangis merindui roomatenya itu. Banyak kenangan mereka bersama, membuatkan kehilanganya itu amat dirasai.

Syafiq tahu bahawa Alif telah pergi untuk selamanya. Namun kerana banyak perkara yang tidak dapat mereka laksanakan bersama membuat Syafiq menyesali kesilapannya itu. Malah Syafiq terus menerus menyalahkan dirinya kerana menyebabkan Alif terpaksa pulanh awal ke kolej. Jika Alif tidak pulang masa itu, pasti kemalangan itu tidak akan terjadi. Syafiq terus menangis. Dia mahu mencari kekuatan, namun setiap kali itu juga lah dirinya terus dihimpit pelbagai bayangan.

Syafiq mungkin memerlukan masa. Masa yang agak panjang untuk dia pulih semula. Selepas Ibunya, kini Alif pula sudah tiada. Dia kecewa. Namun jauh di lubuk hatinua, dia tahu bahawa setiap yang terjadi ini sudah pasti ada hikmah di penghujungnya.

-0-0-0-0-

Assalamualaikum wbt.

Jutaan terima kasih buat semua pembaca cerita pertama saya ini yang bertajuk Roomate. Sejujurnya saya tidak memikirkan pun untuk mengarang cerita bergenre begini malah jauh sekali untuk mengharapkan cerita ini diterima oleh anda semua. Malah sejujurnya cerita ini pada mulanya saya tulis sekadar untuk mencuba wattpad sahaja.

Kerana itu sekiranya terdapat sebarang kritikan atau komen, bolehlah salurkan pada saya untuk ditingkatkan lagi pada karya seterusnya. Diharap cerita ini mampu memberikan sesuatu pengajaran atau manfaat pada kita semua. Segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari saya sendiri.

Sekian,
Aremieroul Akim

Roommate 1 - COMPLETEDWhere stories live. Discover now