BAB 1

693 13 0
                                    


BAB 1

Buku-buku segera dimasukkan ke dalam beg galas berwarna coklat muda, bercorak kelopak-kelopak bunga ros yang bercerai dari tangkainya. Cuaca panas terik tidak dihiraukan. Lagi panas telinga Melur apabila setiap hari dia terpaksa menadah tohmahan yang dilempar untuk dirinya.

Keluar saja dari kawasan sekolah, Melur berasa sangat lega. Tiada lagi wajah-wajah yang menyakitkan hati. Tiada lagi mulut-mulut puaka yang menikam perasaannya. Lega. Sangat lega! Dia sudah tak sabar hendak pulang ke rumah untuk melampiaskan perasaannya kepada Maimun, emak kandungnya. Hanya emak yang memahami apa yang dia rasa. Wajah emak yang sedang tersenyum menyambutnya pulang bagaikan sedang memanggil dirinya. Langkah dihayun selaju yang boleh tanpa menoleh ke kiri mahupun kanan.

"Melur! Melur! Janganlah laju sangat. Tunggulah aku!" Intan yang agak berisi badannya termengah-mengah mengejar Melur yang sudah jauh ke depan.

"Melur! Tunggulah sekejap!"

Suaranya tersekat-sekat. Semput. Peluh yang merenik pada wajah diseka dengan hujung lengan baju seragam putih lusuh yang melekat pada tubuhnya yang gempal. Lemak-lemak hodoh jelas kelihatan di bahagian belakang badannya. Intan berasa lega apabila Melur akhirnya berhenti melangkah. Gadis yang berwajah lembut itu segera memandangnya. Sepasang keningnya yang terbentuk cantik hampir bertaut apabila melihat Intan yang sedang berusaha menghirup oksigen.

"Kenapa Intan? Kenapa kau ikut aku?"

"Kau tu, kenapa tinggal aku? Bukan ke tadi aku dah cakap, kita pulang sama-sama." Intan membetulkan tudungnya yang senget. Sesekali hujung tudung diguna untuk menyeka peluh pada wajah.

Melur melepaskan keluhan. Kasihan Intan. Sepatutnya dia tak buat Intan begitu. Intan tak bersalah. Intan tak pernah menyakitkan hatinya. Intan gadis yang baik walaupun berpenampilan tak menarik.

'Ah, apa guna wajah yang cantik kalau hati busuk?'

"Maafkan aku, Intan. Aku tak tahan tadi. Aku nak cepat pulang ke rumah. Perut aku sakit. Jomlah, kita balik. Cuaca pun panas sangat ni. Kasihan kau, berpeluh-peluh kejar aku." Melur cuba menipu Intan. Padahal, Intan sedia tahu yang Melur memang terasa hati dengan sikap kawan-kawan sekelasnya tadi.

Mereka berjalan beriringan. Masing-masing mengunci bibir. Intan pula sedang berkira-kira hendak menyambung perbualan. Sesekali dia mengerling Melur yang berkulit putih kemerahan. Semakin memerah kulitnya apabila dibakar cahaya mentari yang terik.

"Melur, walau apa pun aku tetap kawan kau. Kau tak boleh samakan aku dengan mereka, tahu? Aku ikhlas berkawan dengan kau. Walaupun aku tahu pasal..." Intan mengetap bibir.

'Mampus, tersalah cakap pulak aku!'

"Pasal ayah aku tu?" Celah Melur. Intan diam.

"Maafkan aku..." ujar Intan perlahan. Dia mula berasa bersalah.

"Tak apalah. Kau jangan risau. Aku tak salahkan kau. Aku faham apa yang kau cuba katakan tu. Nak buat macam mana, Intan...Nasib aku macam ni. Ayah aku tu..." Melur menelan liur. Benci. Melur berasa benci dengan ayahnya. Bukan! Dengan pekerjaan ayahnya.

"Tapi ayah kau tak kacau orang,kan? Mereka yang cari ayah kau, bayar ayah kau untuk buat kerja macam tu. Kalau orang tak cari dia, takkanlah dia saja-saja nak buat." Intan cuba menenangkan perasaan Melur.

"Tapi, ilmu hitam tetap salah di sisi agama, Intan."

Intan diam. Tak tahu hendak kata apa lagi. Wajah ayah Melur mula bermain di layar matanya. Lelaki yang bertubuh kurus, berkulit putih, berhidung mancung, sudah tentu kacak pada usia mudanya. Melur mewarisi wajah si ayah.

"Kau rasa, ayah kau di mana sekarang?"tanya Intan.

Melur memandang Intan sekilas. Dia hanya mampu menggeleng. Dia tak ada jawapan untuk soalan Intan. Selepas ayahnya bercerai dengan emak, dia terus menghilangkan diri dan keluar dari kampung.

Ngah Lelangit Hitam. Itulah gelaran yang diberikan oleh penduduk kampung kepada Hussin Janim. Sejak dilahirkan, lelangit dalam mulutnya memang hitam legam. Berbeza dengan manusia lain. Sikapnya memang aneh. Hidupnya pula ada pantang larang untuk mengekalkan kuasa ilmunya. Tak boleh makan daging lembu dan ayam. Pantang lalu di bawah ampaian. Setiap pagi pasti dia akan minum segelas air yang diembunkan. Setiap bulan purnama, dia kena berendam di dalam sungai selama sehari semalam. Dia juga dilarang menggauli isterinya setiap kali malam jumaat.

Siapa yang tak kenal dengan Hussin? Dialah lelaki yang paling digeruni oleh segelintir penduduk. Dalam diam, dia juga dibenci orang. Namun, tak siapa yang berani menghalangnya. Semuanya kerana ilmu hitam yang dimilikinya. Siapa yang menghalang, maka meranalah hidup mereka.

Sejak pemergian Hussin dari kampung tersebut, penduduk berasa agak lega. Tiada lagi gangguan yang menyeramkan apabila malam menjelma. Tiada lagi orang sakit. Tiada lagi yang merana kerana santau. Sehinggalah sebulan yang lepas...

PENINGGALAN: DUKUN ILMU HITAMWhere stories live. Discover now