BAB 7

225 12 0
                                    


Melur buka mata sebaik saja terdengar ketukan pintu. Suara emaknya memanggilnya beberapa kali. Dengan malas, Melur bangun dari katil. Wajahnya sugul, dengan rambutnya yang kelihatan kusut. Kepalanya masih pening. Tubuhnya pula melekit dibasahi peluh. Rimas.

"Kenapa mak?"tanya Melur sambil membetulkan rambutnya.

"Intan dengan Suraya datang nak bertemu dengan Melur. Pergilah cuci muka. Tak elok biar tetamu tertunggu. Mak nak pergi masak air. Nak buat teh."

Berubah wajah Melur sebaik saja nama Suraya meniti pada bibir Maimun.

'Hah? Suraya? Kalau Intan yang datang aku tak kisah. Tapi apa yang Intan mahu? Tak puas lagi ke kenakan aku sehingga ke rumah aku pun dia datang. Perempuan tak guna!'

"Apa perempuan gila tu nak,mak?"tanya Melur agak keras. Maimun yang baru hendak beredar terkejut mendengar kata-kata kesat Melur. Anaknya tak pernah macam tu.

"Melur, tak baik cakap macam tu. Pergi dulu jumpa dia."

Melur mendengus. Ikutkan hati, malas dia hendak melayan Suraya. Tapi memandangkan Intan pun ada sama, dia terpaksa runtuhkan ego. Kasihan pula Intan susah payah bawa perempuan sombong tu ke rumahnya.

Melur keluar dari bilik dan terus ke bilik air untuk mencuci muka ala kadar. Kemudian dia kembali ke ruang tamu. Kelihatan Suraya dan Intan dijamu teh dan biskut kering oleh Maimun. Maimun yang seakan faham dengan pandangan Melur, terus berlalu ke dapur. Mungkin ada sesuatu yang penting. Jika tak, takkanlah Suraya datang ke rumah. Lagipun Maimun tahu sangat, Suraya dan Melur tak sebulu.

"Kau demam ya, Melur?" sapa Intan sebaik saja Melur duduk bersila di sisinya. Melur mengangguk. Namun sepasang matanya tajam menikam wajah Suraya yang bersahaja.

"Apahal kau datang ke rumah aku, Su? Tak puas lagi kau nak sakiti aku?" tanya Melur tanpa berkias. Intan agak terkejut mendengar soalan Melur. Suraya senyum.

"Aku ada hal nak cakap dengan kau sikit. Err, boleh tak kita bercakap kat luar?" Suraya memandang Intan dan Melur silih berganti. Intan agak pelik dengan permintaan Suraya. Jika benar niat Suraya hendak meminta maaf dengan Melur, kenapa mesti di belakangnya? Lagipun, Suraya juga ada berbuat salah dengannya. Intan rasa tak sedap hati pula. Tapi dia tak ada hak untuk mencampuri urusan Melur dan Suraya. Intan hanya mengangguk.

"Sekejap ya Intan. Kau jangan kecil hati tau. Aku nak uruskan hal ni sekejap," kata Melur kepada Intan.

"Eh, tak jadi masalah! Korang pergilah settle kan apa yang patut," balas Intan. Namun hatinya tertanya-tanya, apa yang mereka bakal bincangkan nanti?

Melur mengajak Intan ke pangkin di bawah pohon jambu. Di situ dia rasa selesa untuk bercakap dengan Suraya. Namun, dia mula berasa aneh apabila melihat keadaan Suraya yang nampak resah. Sesekali, Suraya merenungnya dari atas ke bawah.

"Kau kenapa pandang aku macam tu?"tanya Melur. Dia hanya berdiri tegak merenung Suraya yang sudah melabuhkan punggungnya di pangkin.

"Aku tak nak berkias-kias. Aku cuma nak tahu, kau mesti marah dan berdendam dengan aku kan dengan apa yang aku dah buat baru-baru ni?"

"Maksud kau? Bila kau baling aku dengan telur tu?" Melur tersenyum sinis. Suraya mengangguk.

"Orang gila sekalipun akan marah kalau orang buat kat dia macam tu. Cuma, aku tak berdendam. Buat masa ni, aku belum nak berdendam dengan kau. Tapi, mungkin lain kali, aku takkan bagi muka lagi untuk kau... Suraya." Melur merenung Suraya tajam. Suraya tersentak. Dia tak sangka Melur akan berkata begitu.

"Jadi, mesti kau beritahu ayah kau kan pasal aku kacau kau dengan telur? Sebab itulah ayah kau hantar hantu belaan dia kacau aku kat rumah. Adik-adik aku pun kena tau tak? Walaupun ayah kau dah lama berambus dari kampung ni, tapi aku tetap ingat muka dia."

"Hah? Apa kau cakap ni? Aku sendiri pun tak tahu ke mana ayah aku menghilang. Usahkan aku, mak aku pun tak pernah tahu. Kau jangan tuduh aku macam tu, Suraya. Jangan kau cuba tabur fitnah baru pada aku pulak!" Melur mula berasa darahnya mendidih. Kalau dibaling dengan telur busuk sekalipun, dia masih boleh bertahan. Tetapi jika dilempar fitnah, dia takkan mampu bersabar.

"Kau jangan berdalih, Melur. Sebab ayah kaulah, pak cik aku mati! Kau lupa ke macam mana pak cik aku mati kena santau?"

"Kau fikir, dalam dunia ni hanya ayah aku aje ke dukun? Dah tak ada orang lain ke yang boleh hantar santau?" bentak Melur. Dia mula berasa bengang. Tak habis-habis dia dituduh.

"Aku berani cakap, sebab mata aku tak buta! Setiap kali berlaku benda pelik, mesti aku ternampak kelibat macam rupa ayah kau."

Kali ini, Suraya mengambil keputusan untuk mendedahkan satu rahsia. Rahsia yang tak ada sesiapa pun tahu melainkan Mak Munah. Dan kini, Melur. Melur pula hanya diam. Dia masih menunggu penjelasan Suraya.

"Aku boleh nampak benda lain. Kau boleh faham,kan? Tapi, tak selalu aku nampak. Kadang-kadang, kalau Allah nak buka mata aku, memang aku boleh tengok. Sebab itulah aku berani cakap, yang makhluk sedang makan telur rebus di dapur rumah aku semalam, hantu bapak kau. Walaupun muka dia hitam, comot, tapi aku tetap nampak gambaran wajah 'tuan' dia."

Melur tergamam. Apakah benar apa yang dikatakan oleh Suraya? Tapi macam mana boleh berlaku? Sedangkan dia tak pernah bersua pun dengan ayahnya. Semenjak orang tuanya bercerai, dia langsung tak dengar khabar tentang ayahnya.

"Sumpah, aku tak tahu menahu pasal tu." Jawab Melur jujur. Suraya mengeluh.

"Tak apa. Kau tengoklah. Satu hari nanti, ayah kau akan terima pembalasannya!" kata Suraya sebelum bangun meninggalkan Melur. Dengan tergesa-gesa naik ke rumah untuk mengambil beg sekolah. Selepas bersalaman dengan Maimun, Suraya terus berlalu pergi.

"Kau okay tak ni, Melur?" tanya Intan. Melur hanya mengangguk lesu. Namun fikirannya benar-benar terganggu sekarang. Kata-kata Suraya masih terngiang-ngiang dan jelas pada pendengarannya.

PENINGGALAN: DUKUN ILMU HITAMWhere stories live. Discover now