BAB 8

213 11 0
                                    


BAB 8

Dalam keadaan mata terpejam, Melur menggagau selimut yang sudah berada di hujung kakinya. Tubuhnya tak semena-mena terasa begitu dingin sekali. Bagaikan tiada selapis kain pun yang menutup tubuhnya. Selimut akhirnya ditarik sehingga mencecah ke batang leher.

Sepasang matanya pula asyik memandang cermin tingkap yang betul-betul menghadapnya. Melur berasa resah. Bagaikan ada sesuatu yang memanggil-manggilnya di luar tingkap. Dadanya berdebar. Perlahan-lahan Melur bangun. Rambutnya yang panjang menggerbang dilepas bebas.

'Kenapa aku rasa tak sedap hati ni?' Melur turun dari katil dan menuju ke arah tingkap. Dengan teragak-agak, dia membuka sedikit cermin. Sepasang matanya tajam menikam ke arah batang pokok-pokok pisang.

Dengan bantuan samar cahaya bulan, betul-betul di depan matanya, berdiri seorang perempuan memakai baju serba hitam. Kepalanya ditudung dengan kain batik, persis wanita zaman dulu bertudung. Wajahnya tak nampak jelas kerana keadaan yang agak gelap. Tubuhnya kaku dan tegak turut memandang ke arah Melur.

"Si...siapa tu?" tanya Melur. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Tangannya yang menggigil digenggam kemas.

Melur berasa kecut perut apabila dengan jelas, dia nampak susuk tadi perlahan-lahan melangkah ke depan. Selangkah...dua langkah...tiga langkah...Tiba-tiba, sekelip mata perempuan itu benar-benar berada di depan matanya. Wajahnya jelas. Sangat jelas sehingga menjadikan Melur tergamam dengan apa yang dilihatnya. Perempuan itu tua, berwajah agak buruk, dan menakutkan! Daging pipi kanannya menggelembung dan menggerutu dengan isi nanah yang belum pecah.

Melur hendak menjerit tetapi suaranya langsung tak keluar. Perempuan tua tadi tersenyum ke arahnya. Suara tawa yang menyeramkan mula kedengaran. Tingkap yang dibuka tadi terus ditutup. Melur terundur ke belakang beberapa langkah. Jantungnya berdegup kencang.

"Nak Melur, janganlah takut..."

Melur tergamam. Peluh dingin mula merenik di dahi. Suara itu jelas pada pendengarannya. Melur semakin tak keruan apabila susuk perempuan tadi betul-betul sedang menempel di cermin tingkapnya.

"Mak! Tolong Melur mak!" Melur menjerit memanggil Maimun. Sungguh dia begitu takut. Jari-jemari perempuan tua yang panjang dan runcing tak ubah seperti ranting kayu kini cuba mengumpil cermin tingkap biliknya. Melur sudah berundur ke belakang. Kini tubuhnya sudah bersandar pada pintu.

"Melur...mari sini...ikut mak..." Kini suara itu kedengaran pula seperti suara Maimun. Namun Melur pasti, itu bukanlah emaknya. Itu adalah syaitan!

"Mak! Tolong Melur mak!" pekik Melur sekuat hati. Melur jatuh terduduk. Kedua-dua belah tangannya melekap pada telinga.

Sementara itu, Maimun yang sedang nyenyak tidur bagaikan terdengar-dengar namanya dipanggil Melur. Lantas matanya dicelik. Suara itu kedengaran lagi.

"Melur?" Maimun bingkas bangun. Rambutnya disanggul kemas. Kain batiknya yang longgar kembali diikat ketat sebelum langkahnya diatur laju ke bilik Melur. Suara Melur bertempik nyaring begitu meresahkan Maimun. Maimun terus menolak pintu bilik tidur Melur.

Pranggg! Bunyi cermin pecah semakin buat Maimun tak senang hati.

" Melur buka pintu ni!" Dada Maimun ditujah debar. Pintu bilik Melur gagal dibuka seperti tersekat dengan sesuatu. Maimun mengerahkan tenaganya untuk membuka pintu bilik. Berkali-kali dicuba, sehinggalah Maimun mengambil keputusan untuk menendang pintu tersebut.

Bam! Sekali tendang pintu terus terbuka.

" Ya Allah, Melur!" Maimun meluru ke arah Melur yang sedang terbaring di lantai. Anaknya langsung tak sedarkan diri. Maimun memegang tangan Melur. Sejuk seperti ais.

"Melur, bangun Melur..." Maimun menepuk-nepuk pipi perlahan. Kelopak mata Melur bergerak-gerak. Mulutnya ternganga sedikit. Melur mula meracau perlahan. Namun butiran katanya langsung tak jelas. Tanpa sengaja, Maimun terpandang cermin tingkap bilik Melur yang ternganga. Dua keping cermin pecah dan serpihan kacanya bertaburan di lantai bilik. Di situ, tersangkut sehelai kain. Maimun menelan liur. Dia rasa seperti ada yang tak kena. Lalu perlahan-lahan dia menapak mendekati tingkap.

' Ya Allah...kain ni...' Menggigil tangan Maimun menyentuh kain batik merah yang sudah buruk, busuk, dan bergaul dengan sisa tanah yang masih basah.

"Pergi...aku tak nak...aku tak nak...jangan..."

"Melur?" Maimun tersentak apabila mendengar suara Melur yang masih meracau. Namun percakapannya kini semakin jelas. Sebelum kembali mendapatkan Melur yang nampaknya sudah menggerakkan anggota tubuhnya, Maimun sempat mengambil kain batik tadi lalu disorok ke dalam lipatan selimut Melur.

PENINGGALAN: DUKUN ILMU HITAMWhere stories live. Discover now