BAB 3

316 10 1
                                    

BAB 3

Selepas kematian Maria, cerita tentang Ngah Lelangit Hitam kembali segar meniti di bibir rata-rata penduduk kampung. Maimun dan Melur turut menjadi mangsa keadaan. Mereka dipulau dan sering dihina. Namun tak semua yang berfikiran negatif. Masih ada lagi yang boleh menerima kehadiran mereka. Tak semua penduduk ingin menjadikan mereka musuh.

Pun begitu, nasib Melur agak teruk. Gara-gara mulut Suraya yang suka mereka cerita, Melur semakin dibenci oleh rakan-rakan sekelasnya. Hanya Intan, gadis gemuk yang berjerawat batu penuh di pipi yang sudi berkawan dengannya. Mungkin juga sebab Intan pun tak punya ramai kawan. Maklumlah, dia juga sering menjadi mangsa ejekan rakan-rakan sekelas hanya kerana faktor fizikalnya. Cuma Intan buat tak endah dan sentiasa berfikiran positif. Bagi Intan, tak siapa pun layak menghina tubuh badannya. Bukankah semua itu ciptaan Allah?

Petang itu, Melur ada kelas agama jam 2:30 petang. Jadi, seperti selalu dia tak pulang ke rumah. Dia hanya makan dan solat di sekolah. Selepas mengisi perut dengan nasi putih berlaukkan ikan goreng berkuah kicap yang dibekalkan oleh Maimun, Melur hanya berehat di dalam kelas yang kosong.

Melur memandang jam tangan. Ada lebih kurang setengah jam lagi untuk kelas bermula. Suasana kelas sepi tanpa pelajar lain. Hanya dia berseorangan. Mungkin yang lain masih belum siap makan dan solat. Hari itu, dia uzur dan tak pergi ke surau. Sementara menunggu kelas agama bermula, lebih baik dia ulangkaji dulu apa yang patut. Buku nota dikeluarkan dari beg lusuhnya.

"Melur..."

Melur yang baru hendak mula menelaah mencari-cari suara pemanggil yang berbisik menyebut namanya.

"Siapa?" tanya Melur. Langsung tak kelihatan sesiapa pun berada berdekatannya. Hairan. Jantungnya berdegup kencang. Siapa pula yang hendak kenakan dia di waktu siang begini?

"Melur, sinilah...pssst!"

Melur ternampak tangan seseorang memanggilnya dari luar pintu. Tapi tubuhnya agak terlindung. Tanpa syak wasangka, Melur bangun dari kerusi dan menuju ke pintu belakang kelas yang ternganga. Tubuh yang memakai baju sekolah itu kelihatan agak kecil saiznya. Melur mengeluh halus. Apa yang Fiqah mahu?

"Kenapa?" tanya Melur ringkas. Kelihatan Fiqah sedang bersandar pada pintu dengan wajah sugul. Sepasang matanya yang bundar juga nampak basah . Fiqah menangiskah?

"Melur...maafkan aku ya? Aku selalu menyusahkan kau selama ni. Kau maafkan aku tak?" Fiqah memegang tangan Melur. Melur bungkam. Kenapa tiba-tiba saja Fiqah seperti mahu berbaik dengannya? Sedangkan Fiqah dan Suraya memang satu kepala. Sama-sama membencinya.

"Kau ni kenapa? Tak ada angin, tak ada ribut, datang minta maaf dengan aku. Bukan ke korang memang bencikan aku?" Melur curiga. Dia merenung wajah Fiqah yang nampak seperti sedang bersedih.

"Aku tahu aku jahat. Tapi aku betul-betul nak berubah dan menjadi kawan kau. Tak boleh ke kau maafkan aku, Melur? Selagi kau tak maafkan aku, hati aku rasa tak senang. Lagipun kita dah nak exam beberapa bulan lagi. Sampai bila kita nak bermusuhan? Kita pun masing-masing dah besar panjang." Kata-kata Fiqah pada pengamatan Melur kedengarannya sangat telus. Mungkin juga Fiqah benar-benar mahu berubah?

"Fiqah, kalau kau betul-betul dah sedar, aku boleh maafkan kau. Tapi apa kata Suraya kalau tengok kau dengan aku ni? Mesti dia tak suka, kan?"

"Betul kau dah maafkan aku, Melur?"tanya Fiqah teruja. Melur tersenyum sedikit. Perlahan dia mengangguk.

Fiqah tersengih. Bibirnya mengorak senyuman lebar sehingga menampakkan susunan giginya yang tak teratur. Harap muka cantik, tapi gigi buruk. Tapi ada sesuatu yang Melur dapat rasa. Melur berasa hairan. Dia mula tak sedap hati.

PENINGGALAN: DUKUN ILMU HITAMWhere stories live. Discover now