Tentu korang pelik, tadi aku kata aku kena buang sekolah sebab aku masuk asrama perempuan kan? Kalau misi aku berjaya macamana pulak aku kena buang atas sebab tu.
Ini lah yang dinamakan takdir.
Keesokan harinya, aku bangun pukul 4 petang dan melakukan rutin-rutin bosan seorang penghuni asrama sebab malam nanti takut takde api lagi. Masih ada sehari lagi cuti panjang dan esok baru semua pelajar lain balik. Aku selongkar almari kawan aku dan jumpa Pedang Setiawan, Raja Rimba dan komik Archie yang menimbun. Aku duduk membaca komik-komik ni dan pada pukul 6 petang, lepas makan aku naik dan lepak di katil.
Pada pukul 12 tengahmalam, aku yang tertidur di atas katil di bilik yang bersebelahan dengan bilik aku sendiri dikejutkan oleh satu tangan.
"Hoi! Kau masuk asrama perempuan kan semalam?" suara tu memarahi aku yang mamai tanpa mukadimah.
Tindakan refleks aku adalah untuk lari. Aku hulurkan kaki aku ke bahagian katil yang sebelah lagi dan tersepak seorang yang sedang duduk di situ seperti sudah menunggu tindakan aku itu. Di dalam kepala otak aku mula memikirkan yang aku telah ditangkap oleh warden asrama aku. Rupanya bukan itu yang terjadi.
Yang menyergah aku itu adalah bacth Tingkatan 5. Aku kenal muka mereka semua. Memang tidak syak lagi aku dah kantoi. Yang kejut aku tu tukang gunting yang aku lepak sekali 2 malam sebelum ni.
Kedua mereka memegang tangan aku dan seorang memegang kaki aku.
"Hoi! Apahal ni? Apasal korang buat camni?" aku tanya
Datang seorang brader Form 6 yang memang terkenal suka memukul. Dia ni memang ada sedikit berbulu dengan aku sebab aku pernah terbetis kaki dia masa main bola waktu petang. Dia try kejar aku nak betis aku balik tapi dia tak berjaya. Semenjak hari tu dia macam berdendam dengan aku.
Sebelum korang ingat adegan pukul memukul ni sesuatu yang rare di zaman aku, korang perlu tahu yang kami adalah batch yang paling ramai memukul dan kantoi memukul di dalam sejarah sekolah berasrama penuh. Setakat kena pukul dan ditangkap memukul tu dah lali dah. Sampaikan akhbar pun malas nak cerita tentang batch kami yang suka memukul, merusuh dan buat macam-macam lagi yang menunjukkan betapa sampahnya kami pada masa tu. Ni sekitar tahun 1990an. Kami tengok budak-budak zaman sekarang masuk paper lah, FB lah tentang kena pukul, kami gelak je dalam WhatsApp sesama kami.
So, senang cerita dalam pukul 12 tengah malam tu, sebelum aku mendapat jawapan kepada soalan aku asbab musabab aku dipukul, aku diakikahkan dahulu. Terma yang kami selalu gunakan adalah 'lauk'. Aku jadi lauk malam tu dan aku disahkan telah cukup lauk apabila muka aku dah macam timun kena lenyek dengan tayar kereta. Kalau korang nak tau bagaimana dibelasah masa di asrama kami, nanti aku tulis cerita lain tentang bagaimana kitorang membelasah dan dibelasah.
Dah habis aku dibelasah, aku didudukkan ke tepi katil dan senior tu pegang kepala aku, angkat supaya dia boleh tenung mata aku yang dah bengkak dan dia pun cerita apa sebab aku kena belasah
"Kau tau tak yang pasal kau masuk asrama perempuan, kitorang kena panggil dengan warden siang tadi. Ada orang nampak kau dan kata kau ni kami. Memang kami pernah masuk asrama perempuan tapi tak pernah kantoi. Kau ni memang celaka lah. Nak buat jenayah tapi bodoh."
Maka aku pun ditinggalkan untuk merawat luka aku. Lepas kena belasah selalunya susah nak tidur tapi aku rasa aku pengsan dan bukan tertidur pun.
Pukul 4 pagi, satu lagi tangan mengejutkan aku.
"Apa lagi ni....," aku cakap kepada orang yang mengejut aku.
"Awak ni kena belasah sebab masuk asrama perempuan?" suara tu bertanya. Aku kenal sangat suara tu. Itu suara warden asrama aku.
Aku tak cuba bangun atau cuba membuka mata. Aku tak larat. Aku boleh nampak melalui mata aku yang tertutup lampu bilik itu dibuka dan beberapa orang mengelilingi katil dua tingkat yang aku tidur tu.
Selepas beberapa lama, melalui telinga aku yang hampir pekak sebab beberapa kali ditendang oleh flying kick brader Form 6 tadi, aku dengar mereka berdiskusi tentang apa nak dilakukan oleh mereka. Diorang memutuskan untuk membiarkan aku tidur dan beredar.
Dipendekkan cerita, pada hari Rabu, dua hari selepas kejadian aku dipukul, setelah sekolah dibuka, aku dipanggil ke pejabat guru besar. Apabila aku sampai, aku tengok beberapa orang lain duduk beratur nak jumpa guru besar juga. Mereka adalah pemukul-pemukul aku.
Aku dipanggil dan dijatuhkan hukuman buang sekolah.
Senior-senior tu digantung walaupun lagi 2 minggu nak SPM. Diorang merayu untuk kekal ambik SPM di sekolah tu. Yang Form 6 tu digantung tetapi dia okay je sebab STPM ada lagi setahun baru dia akan ambik. Mungkin berkat doa aku, yang aku tahu dia dapat keputusan yang teruk dalam STPMnya.
Aku pulak ditukarkan ke sekolah yang bukan berasrama penuh dan atas permintaan mak bapak aku di dalam sijil tukar sekolah aku ditulis 'Atas Permintaan Ibu Bapa' tanpa ada apa-apa kenyataan tentang kesalahan aku masuk asrama perempuan.
Mak aku panik sebab dia ingat aku gila seks. Jadi, dia hantar aku pergi jumpa pakar sakit otak atau psikiatri. Yang dia jumpa lagi menakutkan.
Aku dikatakan seorang yang susah nak menyesal dengan apa sahaja tindakan yang aku lakukan samada ia adalah baik atau buruk.
Itu lah sebabnya aku jadi peguam bila dah besar.
TAMAT
YOU ARE READING
Kenapa Aku Kena Buang Sekolah
Roman pour AdolescentsAku dah nak masuk umur 42 tahun. Lebih dua dekad dulu aku pernah menghancurkan hati emak aku. Aku dibuang sekolah. Aku tak pernah menyesal walau sehari pun dengan apa yang aku buat. Aku anggap itu semua pengalaman bersekolah. Masa masih budak, walau...