"Mula-mula baca Bissmillahirrahmanirrahimm. Err.. pastu... depan kita ni kan pili air. Buka pili air.... Eh, sekejap! Buka pili air ni jangan besar sangat. 270 darjah je. Nanti khuatir membazir." Beritahu Humairah sambil memusing jarinya untuk mengecilkan pili yang dibukanya tadi.
Ustazah Azfa menepuk dahi sambil menggeleng kepala. 'Paip yang tak wujud pun dia buat-buat macam ada paip je kat situ.' Keluh Ustazah azfa.
"Okey.. kita nak berwuduk ni... hmmm... wuduk ni hukumnya wajib kalau kita nak solat, nak sentuh Al-Quran atau tawaf dan sebagainya. Ingat, solat tidak sah tanpa wuduk. Sekali lagi diulang, tidak sah ye.." Terang Humairah dengan eksperi wajahnya yang penuh dengan saspen. Jari telunjuk digerakkan ke kiri dan kanan. Pelajar yang lain khusyuk mendengarnya. Ada yang tersenyum-senyum.
Pandai pulak adik ipar Ustazah Azfa ni. Melebih-lebih kat depan. Awal tadi bukan main seram sejuk bila disuruh ke depan. Dah berdiri kat depan tak sedar diri pulak tu. Senyum Ustazah Azfa melihat kerenah adik iparnya.
"Baiklah ada berapa rukun wuduk?" Tanya Humairah untuk memancing sahabat-sahabatnya yang lain memberi respon agar penjelasannya tidak menjadi bosan jika berinteraksi dari satu arah sahaja. Rakan-rakannya yang lain juga turut serta memberi respon kepadanya.
Ada perasaan kagum di wajah Ustazah Azfa melihat penjelasan daripada adik iparnya itu. Penuh terperinci dan teliti setiap apa yang telah dijelaskan olehnya. Pada mulanya Humairah sememangnya nampak gugup dan akhirnya dia dapat menyelesakan dirinya di hadapan sana.
'Hmmmm.. Dah lulus boleh mengajar dah lepas ni..' Getus hati Ustazah Azfa.
"Dan akhir sekali adalah tertib... Ingat tu! Baiklah itu sahaja yang dapat saya sampaikan." Beritahu Humairah sambil menjeling ke arah Ustazah Azfa yang sudah lama mendiamkan diri di belakang kelas mereka.
"Baiklah.. Terima kasih atas penjelasan Ustazah baru kita ni. Sangat jelas dan terperinci. Awak boleh duduk. Yang lain? Faham semua?" Ustazah Azfa mengambil alih tugas mengajarnya. Humairah berjalan perlahan menuju ke mejanya. Sempat dia menjeling ke arah kakak iparnya yang asyik tersenyum itu. Puas dia dibuli hari ini.
"Faham!" Jawab mereka serentak dengan penuh bersemangat.
"Apa yang kamu faham?" Ustazah Azfa mengerling ke arah pelajar yang berada di hadapannya.
"Cara berwuduk." Jawab Amirul, pelajar yang dikerling oleh ustazah itu.
"Lagi? Itu sahaja?" soalnya lagi.
Suasana khali seketika. Ada yang menggaru kepala. Ada yang tiba-tiba tunduk menghadap buku teks. Humairah pula duduk diam memerhati kakak iparnya. Sedikit pun matanya tidak berkedip.
"Kelas... kali ni ustazah nak kamu semua lihat satu sudut yang kecil ini. Jarang dilihat oleh orang ramai mengenai hal ini." Sambung Ustazah Azfa lagi.
"Berwuduk ni bermaksud kita membersihkan anggota-anggota badan yang tertentu yang selalu kita gunakan pada setiap hari. Tapi sedar ataupun tidak, anggota-anggota badan inilah yang kita selalu buat dosa betul tak?" Matanya tepat memandang ke arah Humairah. Humairah yang tidak berkedip itu tiba-tiba berkedip banyak kali. Semua pelajar yang lain mengangguk kecil.
"Mata kita.. telinga... hidung... mulut.. tangan... dan kaki... Kita banyak buat maksiat tanpa sedar dengan angota-anggota tadi..." Sambungnya lagi sambil berjalan mundar-mandir di hadapan kelas.
"Solat 5 waktu adalah wajib. Dan seperti si Humairah kita ni cakap tadi solat tanpa wuduk adalah tidak sah. Jadi... setiap hari kita akan berwuduk banyak kali dengan siraman air ke atas anggota badan kita yang banyak melakukan dosa ini." Sempat Ustazah Azfa menghadiahkan senyuman kepada para pelajar sambil jari telunjuknya tegak ke atas.
"Tidakkah kita mahu mengambil iktibar atas perbuatan mengambil wuduk ini?" Soalan Ustazah Azfa membuat para pelajar tertunduk.
"Yang semua tunduk ke bawah ni kenapa? Ustazah bukan sedang marah kamu semua pun. Ustazah sedang ajak kamu berfikir." Tegurnya lagi. Ustazah Azfa tersengih kerana lucu melihat reaksi para pelajarnya.
Yang lain tertoleh sesama sendiri. Ada yang tersengih dan ada yang berbisik kecil pada rakan sebelahnya. Humairah pula mengangkat sebelah kening. Ustazah Azfa nampak akan reaksi adik iparnya itu.
Bersambung... :)
YOU ARE READING
Adik Ipar Ustazah Azfa (Ada Apa Dengan Wuduk)
Short StoryAdik Ipar Ustazah Azfa merupakan sebuah cerita pendek yang mengisahkan seorang pelajar bernama Humairah, kebetulan kakak iparnya mengajar di kelasnya sebagai guru agama Pendidikan Islam Tingkatan 1. Ustazah Azfa, guru agama yang santai mengajar. Me...