Prolog

280 11 0
                                    

"GUYS... Kita ada tugasan baru," ujar Azidi yang baru muncul di pejabat kecil mereka.

Kesemua bebola mata yang berada di bilik pejabat itu menghala ke arah Azidi. Setiap kali menerima tugasan baru, pasti mereka teruja kerana tempat yang akan mereka siasat membawa mereka ke pelbagai peristiwa dan cerita seram yang berlainan. Mereka sebenarnya adalah Ghost Facer kumpulan penyiasat paranormal yang memenuhi undangan pelanggan mereka yang mahukan kebenaran sama ada tempat itu benar-benar berhantu atau tidak.

Sudah beberapa tahun mereka berkecimpung di dalam kerjaya ini dan setiap anggota di dalam kumpulan ini amat menggemari kerjaya yang diceburi. Tidak sekalipun mereka rasa terbeban kerana terpaksa bekerja sehingga lewat malam demi sebuah kebenaran dan kepuasan para pelanggan mereka. Mereka juga memiliki stesyen televisyen yang menyiarkan rancangan terbitan mereka sendiri, Menjejak Paranormal .

Anggota kumpulan penyiasat mereka seramai tujuh orang, terdiri daripada Aisy Yumni, penemu kumpulan Ghost Facer dan juga merupakan penaung utama kumpulan ini. Azidi, rakan kongsi Aisy Yumni dan juga merupakan sahabat ketika mereka sama-sama menubuhkan kumpulan ini.

Nurhirmawaty, ahli psikik. Pernah belajar di bidang psikologi di universiti tempatan. Murazean, penyiasat paranormal. Sazrin, lebih dikenali sebagai Sotong di dalam kumpulan ini kerana perwatakannya yang lembut namun caranya menyiasat tidak mengecewakan setiap ahli kumpulan ini.

Edinur, lebih dikenali sebagai Psiko kerana sikapnya yang pendiam dan suka membuat hal sendiri. Tetapi setiap kali menjalankan tugas pasti membuahkan hasil. Sodiqin, merupakan juruteknik serta penjaga rakaman audio dan video sepanjang tugasan dilakukan. Walau bagaimanapun, kadangkala dia akan turut serta di dalam setiap tugasan berkumpulan.

"Tugasan apa yang kau bawakan untuk kami, Zid? Aku baru check email, tak ada yang terbaru. Dalam Facebook pun tak ada mesej yang terbaru?" tanya Nurhirmawaty yang berada di hadapan komputer riba sambil menyandarkan badannya di kerusi yang agak empuk itu.

Namun, matanya tidak lepas daripada memandang Azidi yang kelihatan teruja dengan kes yang dibawanya.

"Kes kali ni agak istimewa kerana ia dihantar melalui surat," jelas Azidi.

"Surat?"

Ahli-ahli Ghost Facer bertanya serentak. Masing-masing mempamerkan reaksi terkejut. Zaman teknologi sekarang mana ada guna surat lagi. Semuanya akan dihantar melalui kemudahan teknologi terkini. Mudah, cepat dan lebih menjimatkan. Hanya bungkusan atau surat rasmi sahaja yang akan melalui pos. Namun, mungkin benar kes ini agak istimewa sebagaimana yang diberitahu Azidi.

"Ya. Surat. Kenapa kau orang nampak terkejut sangat ni? Helo, tak salah okey kalau hantar melalui surat," ujar Azidi tersengih sambil menunjukkan surat di tangannya.

"Bukan salah Encik Zid oi, tapi agak pelik sebab zaman sekarang masih lagi ada yang menghantar melalui surat. Kebanyakan kes yang kita kendalikan semuanya datang dari laman Facebook atau emel. Tapi ni surat..." ujar Sazrin agak pelik dengan surat itu untuk kes mereka kali ini.

"Pelik tapi mungkin kes kali ini cukup istimewa, kan Zid?" ujar Edinur terus berfikir.

Jarang-jarang sekali Edinur mahu bersuara tetapi kes yang dibawa oleh Azidi kali ini berjaya mengeluarkan suaranya dari peti yang dikunci kejap.

"Terlalu istimewa dan mungkin agak menyeramkan," ujar Azidi masih lagi memancing minat mereka untuk terus memberi tumpuan pada kes yang berada di dalam genggamannya kini.

"Wow! Ini yang aku tunggu-tunggu selama ni. Harap-harap kali ni betul-betul menyeramkan. Kalau roh tu memunculkan diri lagi bagus. Tak adalah kesnya sama aje macam dengar tapak kaki, suara dan imbasan makhluk halus tu dalam kamera termal kita," ujar Murazean sambil memeluk tangannya dengan rasa cukup teruja sekali.

"Ehem, ehem... mulut jangan celupar sangat Eyanz," balas Nurhirmawaty tidak gemar apabila Murazean mengharapkan lebih daripada yang sepatutnya.

Murazean tersengih kecil sambil ketawa. Dia tahu Nurhirmawaty cukup menjaga tatasusila setiap kali mereka ingin mulakan penyiasatan. Sekurang-kurangnya mereka akan solat terlebih dahulu sebelum terus bekerja untuk pelanggan yang dihormati.

Sodiqin hanya mendengar sahaja bicara-bicara yang melantun keluar dari bibir rakan-rakannya. Malas hendak bersuara.

"Zid,shoot. Ceritakan pada kami kes apayang kau bawa kali ni? Di mana kita akan menyiasat dan bagaimana pula tempatnya? Rumah tinggal? Banglo berhantu? Vila misteri? Atau... kampung yang sudah ditinggal tidak berpenghuni?" soal Aisy Yumni meminta Azidi terus ke pokok ceritanya.

Sebenarnya, dia juga sudah tidak sabar hendak mengetahui kes terbaru yang akan mereka kendalikan itu.

"Mengikut surat ni, kita diminta menyiasat di Bandar Awara yang sudah lama ditinggalkan. Bandar ni sekali pandang bagaikan padang jarak padang tekukur. Di dalam bandar ni juga terdapat sebuah bangunan usang yang dikatakan berhantu. Ramai pemaju yang ingin membangunkan bandar ini tetapi mereka tidak boleh meneruskan kerja-kerja membaik pulih kerana sering diganggu oleh roh-roh yang didakwa menginap di sana.

Seorang Dato yang bernama Dato Adiff meminta kita mencari punca kenapa roh-roh ini tidak mahu meninggalkan tempat usang itu malah mahu terus menginap di sana," jelas Azidi dengan lebih terperinci akan kandungan surat yang diterimanya.

"Dapat ke kita mencari puncanya kalau roh-roh itu tak nak muncul? Paling kuat pun kita hanya boleh beritahu mereka sama ada bangunan itu selamat untuk dimajukan ataupun tak," ujar Edinur tidak berapa yakin dengan permintaan pelanggan mereka.

Bagaimana mereka hendak tahu puncanya sedangkan selama ini mereka hanya membuktikan sama ada tempat itu berpenunggu ataupun tidak. Selama ini, tidak pernah pula roh-roh itu berkomunikasi secara langsung dengan mereka.

"Haa... jangan cakap kita kena lakukan upacara pemujaan. Aku tak mahu terlibat dalam sebarang upacara pemujaan. Itu dah bukan konsep kumpulan kita," ujar Nurhirmawaty juga menentang keras jika kes kali ini disertakan dengan pemujaan. Dia cukup tidak bersetuju.

"Jangan bimbanglah Ir. Kita takkan lakukan upacara pemujaan. Kan Zid?" soal Aisy Yumni menamatkan sebarang keraguan yang baru muncul di benak hati Nurhirmawaty.

"Kalau upacara asmara ringan-ringan boleh kot Ma kita lakukan nanti," ujar Sazrin tersengih nakal.

Sudah lama dia mempunyai hati pada Nurhimawaty namun gadis itu sedikit pun tidak melayan. Oleh sebab itulah dia suka mengganggu gadis itu.

"Kau jangan nak menggatal, ya Sotong! Berani kau buat tak senonoh di sana, siap kau!" gertak Nurhimawaty memberi amaran keras buat Sazrin hinggakan jejaka itu hanya mampu tersengih miang.

"Zid, dapat ke kita cari puncanya?" soal Edinur masih menagih jawapan.

"Kita akan lakukan yang terbaik. Kita akan buktikan pada pelanggan kita sama ada sememangnya terdapat roh yang menginap di sana ataupun tidak. Tiada sebarang pemujaan. Jangan risau," ujar Azidi memberi kata putusnya.

"Harapan aku agar roh-roh tu muncul. Eee... seronoknya!" jerit Murazean, tiba-tiba terkeluar ayat itu dan membuatkan kesemua anggota kumpulan Ghost Facer tidak senang.

"Eyanz!" Lantang suara ahli-ahli Ghost Facer memandang tajam ke arah Murazean.

"Opps, sorry!" ujar Murazean kembali mengunci bibirnya.

"Okey, jom kita bincang hal ni dengan lebih lanjut," arah Aisy Yumni sekali gus menamatkan bunga-bunga persengketaan yang baru meletus antara ahli-ahli kumpulannya.

Tiada siapa berani membantah arahan Aisy Yumni yang merupakan peneraju kumpulan ini.


FYI : Dapatkan versi cetak di no whatssapp ini : 011-2906 1240

ATUKWhere stories live. Discover now