Prolog - Bab 2

2.6K 45 9
                                    

         

PROLOG

Harbour Mall, Sandakan

Sebuah bot nelayan membunyikan hon. Menerbangkan sekumpulan camar yang bertenggek di tambak-tambak batu. Di luar mall, seorang sekuriti sedang menghisap rokok membelakangi McD. Termenung di tebing tambak melihat burung-burung camar yang berterbangan di hadapannya. Suasana sekitar mall pagi itu masih hening. Tiada hiruk-pikuk, tiada kesibukan orang ramai. Namun keheningan itu tiba-tiba saja dipecahkan oleh jeritan seseorang:

"Pengait!! Pengait!! Pengait!!"

Rokok belum sampai pun separuh, terlepas dari tangan. Sekuriti itu melihat seorang perempuan cleaner berseragam biru berlari menjauhi tugu dataran Harbour Mall tidak jauh dari tempatnya berdiri. Sepuluh meter berlari, perempuan itu tergolek. Lelaki sekuriti itu segera mendapatkan perempuan cleaner itu. "Kenapa kau?! Kenapa?" tanya sekuriti itu sambil menggenggam cota. Dengan muka yang pucat lesi macam baru ternampak iblis, perempuan cleaner itu menoleh ke arah tugu itu semula. "Itu... Ituu...." katanya sambil menunjuk ke arah sekarung guni di kaki tugu. Sekuriti kaget memandang ke arah sama. "Apa itu, apa??" tanya sekuriti. Beberapa pekerja kedai dalam mall yang baru tiba menyibukkan diri datang menghampiri mereka. "Kenapa?! Kenapa?!" tanya mereka juga.

Sekuriti dengan berbekalkan cota menapak ke arah karung guni yang menyebabkan perempuan cleaner tadi menjerit macam orang gila. Menggunakan cotanya, dia menyelak karung guni di kaki tugu itu perlahan-lahan. "Astaga!!" jeritnya terkejut bila melihat seketul kepala manusia di dalam guni itu. Dia berundur beberapa langkah sebelum terjatuh. Terkucar-kacir dia menarik walkie-talkie yang terselit di pinggangnya mahu menghubungi ketua keselamatan mall itu.

"Bos, tolong panggil polis sekarang. Panggil polis sekarang!"

"Ada apa tu?"

"Ada.... ada...." Dia terkebil-kebil melihat ke arah karung guni tidak jauh darinya. 

"Ada... ada... ada apa?!"

"Ada kepala orang."

"Kepala apa?!"

"Kepala orang, bos! Ada kepala orang di dataran. Ada pengait!!"

Bila mendengar perkataan pengait, pekerja mall berpandangan antara satu sama lain. Kemudian mereka turut melangkah ke arah karung guni itu. Masing-masing keluarkan telefon bimbit dengan terketar-ketar. WhatsApp dibuka, mesej ditulis, Pengait sudah sampai di Sandakan! Kamera telefon bimbit difokuskan ke karung guni yang sudah terselak itu. Kelihatan seketul kepala manusia dalam posisi mengiring ke tepi. Separuh wajah kelihatan. Snap! Snap! Snap!

Setengah jam kemudian, dataran Harbour Mall sesak dengan orang ramai. Datang dari merata ceruk bandar. Pita halangan polis direntang mengelilingi tugu besi. Orang forensik garu kepala melihat seketul kepala di depan mereka.

"Pembunuh yang sama?" tanya seorang Inspektor kepada pegawai forensik di situ.

"Last week di KK. Sekarang di sini. Tuan rasa?"

Inspektor itu berpaling melihat ke arah orang ramai yang sedang berkumpul mengelilingi kawasan larangan itu sambil menjulang telefon pintar mereka. Pandangan Inspektor itu kemudian menangkap kelibat seorang perempuan tua berbaju kebaya di hujung bangunan menuju ke laut. Inspektor itu mengerutkan dahi bila dia melihat perempuan tua itu seolah-olah tersenyum kepadanya sambil mengangkat sebuah kotak kecil berbentuk kiub hitam.

Berasa hairan, Inspektor itu pergi mendapatkan perempuan tua itu. Berjalan cuba melepasi orang awam yang berkumpul, Inspektor itu ditanya-tanyakan soalan:

(preview) DELIRIUM - sebuah novel Sahidzan SallehWhere stories live. Discover now