DERINGAN jam yang begitu nyaring berbunyi di atas meja, mengganggu lena Maira Qaisarah. Dia mengeliat panjang. Sebelah matanya dicelik. Seminit dua kemudian, bola matanya terpejam semula. "Huwwaaa... mengantuknya! Kenapa pagi cepat sangat? Kalau waktu malam berlarutan sampai bila-bila, kan best! Bolehlah membuta lama-lama!"
Tidak semena-mena daun pintu biliknya diketuk bertalu-talu dari luar. Dek terkejut dengan bunyi itu, Maira segera meloncat turun dari katil lalu terus berdiri tegak. Dia berdecit geram. "Tangan siapa yang gatal ketuk pintu bilik aku pagi-pagi buta ni? Tak tahu ke yang aku tengah mengantuk?"
"Hang tak bangun lagi ka?" Kedengaran suara jeritan Mak Uda Harlina dari luar.
Maira menarik muncung sedepa tatkala mendengar suara itu. Tu dia... speaker Utara dah mai dah! Memang sesuai sangat kalau jadi speaker Dewan Rakyat ni! Tiap-tiap hari boleh berucap kat depan. Terpekik terlolong, bingit telinga dia!
"Hang tau dak la ni dah pukul berapa?" jerit Mak Uda Harlina lagi.
Maira tetap membisu. Malas hendak membalas panggilan ibu saudaranya.
"Hang dengaq ka buat-buat tak dengaq? Nak terkeluaq anak tekak aku ni panggil hang!" Mak Uda Harlina mula berjeda apabila tiada tanda-tanda untuk Maira membalas panggilannya.
Maira mengusap kasar kepalanya. "Mai dengarlah, Mai belum pekak lagi! Telinga Mai ni tak bersumbat dengan earphone!" Telinga Mai ni macam telinga gajah tau! Agak-agaknya, kalau tambah ayat itu, mak uda membebel tak? Mesti berasap telinga ibu saudaranya itu. Tidak pasal-pasal dia kena kejar dengan batang penyapu.
"Dengaq pun! Aku ingat dah pekak badak," sindir Mak Uda Harlina lagi.
Membuntang mata Maira tatkala mendengar sindiran itu. Aku ni cun-melecun macam pelakon Janna Nick, tapi mak uda boleh samakan aku dengan badak? Hisy, tak patut!
"Awat hang diam? Hang dok membungkam atas katil lagi ka?" Mak Uda Harlina terpekik-pekik lagi.
Hisy, bisinglah mak uda ni! bentak hati Maira. "Mai dah bangun! Mak uda pergilah turun bawah. Kejap lagi Mai turun, Mai nak mandi!"
"Aku turun bawah na. Dalam masa setengah jam hang tak siap, aku terjah masuk bilik hang!" ugut Mak Uda Harlina.
"Yalah!" bentak Maira. Walaupun hatinya memprotes geram dengan tindakan Mak Uda Harlina yang mengganggu lenanya, namun dia tetap juga menggagahkan dirinya untuk bangun. Tidak sanggup rasanya hendak mendengar speaker Utara itu membebel lagi. Bingit!
Dia menyusun langkah menuju ke arah penyidai baju. Tuala berwarna merah yang tergantung di situ, bingkas dicapai. Kemudian, dia mengatur langkah menuju ke bilik air. Sebelum masuk ke dalam, sempat dia mengerling jam berbentuk hati yang tergantung di tepi dinding.
Melihat angka jam, semerta biji matanya terbuntang luas. Ternganga sedikit mulutnya. "Dah pukul 7.30 pagi? Patutlah speaker Utara tu membebel bagai nak terkeluar anak tekak. Rupa-rupanya, aku dah lambat." Serentak itu, cepat-cepat dia membolos masuk ke dalam bilik air.
---------
MELIHAT figura yang sedang menyusun langkah menuju ke meja makan, Datin Marina serta-merta menegur, "Jom kita sarapan dulu."
Iqram Fattah yang begitu kacak dengan pakaian serba korporatnya sambil memegang briefcase, tersenyum tatkala mendengar kata-kata mama. "Tak apalah, mama," Cawan berisi teh O dicapai. "Am minum teh aje. Am dah lambat ni. Kejap lagi, Am ada mesyuarat dengan staf-staf bahagian operasi," beritahunya, lalu menghirup sedikit teh Onya yang masih lagi panas.