BAB 1

690 6 0
                                    

BOLA mata Iqram tidak ralit dari memandang kerusi yang tidak berpenghuni di hadapannya. Sesekali, dia mengerling ke muka pintu. Berharap agar si pemilik kerusi itu segera memunculkan diri, namun hampa kerana bayang itu masih lagi tidak muncul. "Mana dia pergi ni? Dia tak tahu ke yang hari ni kita ada mesyuarat?" Wajah Iqram sudah mencuka. Langsung tidak tercalit senyuman di bibir.

Masing-masing sudah menggaru-garu kepala. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan pada Iqram. Berulang kali mereka meneguk liur tatkala melihat kemarahan Iqram. Sungguh, mereka jadi gerun apabila melihat ekspresi muka sang ketua.

Iqram mendengus marah. "Saya ni cukup pantang kalau ada orang yang tak pandai nak tepati masa! Apa, dia ingat dia tu bos ke? Hah, saya pulak yang kena tunggu dia kat sini? Saya ni bukan tunggul kayu tau!" Api kemarahannya semakin mencanak naik.

Bisu, tiada seorang pun yang berani mencelah. Bila Mr. singa naik angin, memang haru biru jadinya. Silap hari bulan, bangunan yang kukuh ini pun boleh tumbang dikerjakan Iqram.

Iqram menoleh memandang figura Sonia. "Sonia?"

"Ya, bos?" jawab Sonia.

"I nak you call dia sekarang! Gesa supaya dia cepat-cepat datang ke bilik mesyuarat!" arah Iqram.

"Baik, bos!" Ganggang telefon diangkat, lalu diletakkan ke telinga. Satu nombor telefon didail. Seminit dua berlalu, tiada tanda-tanda untuk si pemilik nombor itu menjawab panggilannya. Hanya suara operator yang menjadi peneman setia walau di mana berada itu sahaja yang menjawab.

"Tak dapat, bos," beritahu Sonia.

"Cuba sekali lagi!" arah Iqram.

Sekali lagi Sonia mencuba, namun sekali lagi juga jawapan sama yang diterimanya. "Masih tak dapat, bos!"

Iqram semakin bengang. "Tak apalah, Sonia. Kita tunggu aje sampai dia datang."

Sonia hanya mengangguk. Ganggang telefon diletak semula ke tempatnya. Dia mengerling sekilas memandang figura Iqram. Tidak berani hendak menjawab panjang-panjang. Bimbang kalau-kalau mengundang kemarahan ketuanya itu. Angin lelaki di hadapannya itu bukan boleh diduga. Angin puting beliung!

Sementara itu, Hidayah yang sedang duduk di sebelah salah seorang staf Jabatan Operasi, bertubi-tubi menghantar whatsapp dan mesej pada sahabatnya, namun langsung tidak berbalas. Dia mendengus perlahan. Sakit pula hatinya apabila mengenangkan kecuaian gadis itu. Bukannya gadis itu tidak tahu bahawa hari ini mereka ada mesyuarat, tapi dia sengaja buat-buat lupa. Yang menyakitkan hati, gadis itu siap boleh menayang muka selamba dan sengihan di bibir. Seolah-olah dirinya itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

Dia mendongak memandang figura Iqram yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh. "Saya mintak izin untuk keluar sebentar. Saya nak pergi tandas," suaranya memohon keizinan.

"Hmm..." balas Iqram tanpa menoleh ke arah Hidayah.

Lantas, Hidayah bangun, lalu menyusun langkah keluar dari bilik mesyuarat. Laju langkahnya dihayun menuju ke tandas. Sesudah sampai di tandas, beg tangannya berwarna hitam itu diletakkan ke tepi sinki. Telefon bimbitnya segera dicapai. Nombor telefon bimbit seseorang didail. Seminit dua, akhirnya kedengaran nada bersambut.

"Hello?"

"Hoi nenek sihir, kau ada kat mana sekarang ni?! Apasal lambat sangat ni? Mr singa tu dah naik angin tau! Kau memang sengaja nak buat pejabat kita ni jadi tunggang terbalik ke apa?" Hidayah menengking dengan suara keras.

Mr Singa Miss SelambaWhere stories live. Discover now