I

48 2 0
                                    


Petang ini sewaktu aku melangkah keluar dari pejabat, sebelum memasuki lorong sempit belakang bangunan aku berjumpa seorang perempuan tua berambut putih dengan tongkat di tangannya. Begitu dia terbongkok-bongkok menahan badannya dari jatuh, berat badannya ditampung oleh sebatang tongkat yang berperanan sebagai kakinya yang ketiga. Tidak pernah walau sekali pun aku terserempak dengannya sepanjang sepuluh tahun aku bekerja di sini. Malah, pakaiannya lusuh, tidak seperti dia tinggal di kawasan berhampiran dalam bandar metropolitan ini. Aku memberi salam kepadanya dan salamku dibalas. Seraya dia mengangkat muka, dapat aku lihat wajahnya yang kusam. Matanya seperti terperosok jauh masuk ke dalam muka, gelap seperti sengaja disorokkan agar aku tidak dapat membaca sebarang isyarat yang terlepas keluar darinya. Kerut dahinya seribu. Bulu matanya seputih rambutnya yang jarang-jarang dan panjang tidak terurus.

Dia senyum tawar kepadaku. Aku membalas senyumannya, menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Nek..," kataku.

"Hati-hati dengan kata-katamu, saudara!. Di dunia ini, kata-kata pantas menjadi doa. Malah penipuan; akan segera menjadi benar setelah diulang untuk kali kedua."

Aku terpempan. Pertama, sama sekali tidak aku sangka kata-kata sebernas itu akan keluar dari mulut seorang Nenek yang pertama kali kutemui di tepi jalan begitu. Adakah dia seorang wali, malaikat atau manusia utusan Tuhan? Dan yang kedua, kata-kata itu diluncurkan dengan begitu cergas, tidak padan dengan perawakan seorang tua yang kelihatan lemah bertongkat, yang perlu bersusah-payah mengheret badannya sendiri untuk berjalan.

"Untuk menjawab kemusykilanmu, saudara; aku ini seorang penari belly-dancing. Kecergasan bukanlah satu isu bagiku!"

Sekali lagi aku terpempan. Pertama, bagaimana dia boleh membaca soalan dalam fikiranku? Perkara sebegini pelik menjadikan aku takut kepada perempuan tua di depanku ini dan takut untuk berfikir lagi, takut-takut disedari olehnya. Dan yang kedua, sebentar.., belly-dancing?

Nenek merenungku tajam. Aku tidak dapat melihat matanya yang jauh tersorok dalam wajahnya yang misteri, tapi aku tahu dia sedang merenungku dengan sangat tajam, seperti mahu menyiat-nyiat tubuhku di situ juga. Barangkali dia berasa tersinggung dengan kemusykilanku sebentar tadi; yang dapat dibacanya dengan sangat jelas. Atau jika dia tidak dapat membaca fikiranku pun, kejelikanku terhadap kenyataan bahawa dia seorang belly-dancer tadi agaknya sudah terlukis dengan jelas pada riak wajah dan senyumku yang mengejek.

"Ya, aku seorang penari belly-dancing!" ulang si Nenek.

Sebentar. Mengapa perlu diulang?

Aku mahu memarahi diriku sendiri kerana tiba-tiba menjadi seorang yang banyak bertanya. Tetapi sebelum sempat aku berasa menyesal, Nenek di depanku ini sudah pun mencampakkan tongkatnya ke arahku dengan laju. Tidak sempat aku menyambutnya melainkan mengelak sahaja lalu jatuhlah tongkat itu terpelanting jauh ke atas tanah.

Si Nenek tiba-tiba dapat berdiri tegak tanpa tongkat. Dia mengikat rambut panjangnya yang putih itu sebelum menggulung sanggul. Imej ini mengingatkan aku kepada Oshin, drama bersiri Jepun alih suara yang popular pada satu masa dulu, sewaktu aku masih kecil. Seterusnya, si Nenek memejamkan mata lalu menarik nafas panjang. Sejurus dia melepaskan nafas, kedua tangannya diangkat sederhana tinggi dan untuk menjadikan aku semakin terperanjat; si Nenek menggoyangkan perutnya yang menggeleber sebelum membuat satu formasi dari tarian gelek. Begitu dia menari seperti seorang penari profesional, aku terpempan buat kali yang ketiga. Hanya seketika selepas itu aku seperti tersedar dari lena, mengetuk kepalaku dengan tongkat yang kukutip dari atas tanah, Nenek itu pun "pling!" hilang dari pandanganku.

Berbekalkan tongkat si Nenek, aku berjalan memasuki lorong sempit belakang bangunan, selepas termenung panjang memikirkan letak duduknya perkara yang berlaku sebentar tadi. Peristiwa itu telah memakan seluruh emosiku sehingga haus dan aku kini berjalan menggunakan kedua kaki dengan dipandu pemikiran yang tidak stabil. Mujurlah sehingga tiba ke kereta, tiada lagi peristiwa aneh muncul, lalu dapatlah aku memandu pulang dengan lebih tenang.

Sepanjang perjalanan ke rumah aku masih terganggu dengan bayang-bayang si Nenek yang bertukar dari seorang tua bongkok tiga kepada penari gelek hanya dengan mengulang kata-katanya. Ia menjelma seperti hantu dalam fikiranku dan sangat sukar dihalau keluar. Aku cuba melupakan ketakutan tersebut dengan cara mengingat kata-kata yang diucapkannya sekitar "penipuan menjadi benar setelah diulang" dan "kata-kata menjadi doa". Perjalanan selama satu jam itu dipenuhi dengan ulangan kata-kata ini di dalam kepala, selain imejan Nenek yang muncul semakin jelas dan menakutkan. Aku melihat tongkat si Nenek yang kuletakkan di tempat duduk penumpang di sebelahku, mula berasa menyesal membawanya pulang. Ini kerana aku terbayang seperti membawa pulang si Nenek; yang sedang duduk elok di sana, meleraikan sanggul dari rambutnya yang putih sebelum mengerbangkannya, hanya untuk memandangku di sebelah dengan renungan tajam dari kedua belah matanya yang sama sekali tidak kelihatan.


Satu senja bersama nenekWhere stories live. Discover now