Aku mula bekerja semula hari ini selepas bercuti dua hari. Badanku masih sakit-sakit dan kepalaku masih berat, tetapi kufikir aku perlu bekerja untuk membetulkan fikiranku yang telah terganggu sejak tiga hari yang lalu. Peristiwa tempoh hari sangat kuat memukulku baik secara emosi mahupun secara fizikal.
Pagi selepas kejadian itu isteriku menemuiku di depan rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri. Semalaman aku pengsan di laman. Seluruh tubuhku lebam-lebam dibelasah Nenek dengan tongkatnya yang kubawa pulang. Apabila aku sedar, aku dapati kain pelikatku sudah terlerai dan mendedahkan sebahagian besar auratku. Selama dua hari aku demam panas dan dinasihati doktor agar banyak berehat dan minum air. Memang aku mahu kerap tidur untuk memulihkan tenaga tetapi bayangan si Nenek sentiasa bertenggek di gerbang tingkap bilik.
Mengatasi ketakutan dan melihat semula ke belakang, aku mengamat-amati pesanan Nenek. Aku mahu tahu signifikan kehadirannya yang misteri ke dalam hidupku; cuba mengaitkannya dengan segala perkara munasabah yang aku tahu dalam dunia ini. Menipu adalah dosa, aku tahu itu, tetapi kedatangan Nenek dengan tongkatnya mungkin mahu mengingatkan aku akan hakikat yang sudah kian lama diabaikan itu; betapa penipuan sudah tidak ditakuti sebagai satu kejahatan malah dimurnikan selayaknya sebelum diterima ramai. Maka, di manakah kebenaran?
Setelah berjumpa Nenek, sekurang-kurangnya aku sedar dua perkara. Pertama, aku jadi takut untuk menipu, salah satunya kerana bimbang Nenek akan muncul lagi untuk mengingatkan aku dalam bentuk yang lebih menyeramkan. Kedua, aku berjanji tidak akan bertoleransi dengan penipuan sekurang-kurangnya di peringkat diriku sendiri. Penipuan adalah jenayah pertama manusia sebelum jenayah lain, mencuri misalnya. Pepatah Melayu ada menyebut urusan ini dengan sangat jelas; dengan memberikan jenis-jenis ikan sebagai pembayang.
Selepas mampu mewajarkan keadaan terutama situasi mentalku, aku bekerja seperti biasa sehingga lewat petang. Pulang kerja dan melewati lorong sempit belakang bangunan, aku tidak berharap menemui si Nenek lagi dalam rupa bentuk seorang penari gelek atau dalam rupa apa pun. Cukuplah sekali. Pesanannya sudah kufahami dan aku percaya akan kuat melekat di kepala untuk satu tempoh yang lama. Aku juga berharap dia tidak menemui kamu atau sesiapa pun, sepulang kerja nanti dalam perjalanan ke tempat letak kereta. Tapi jika kamu ada menemui dia di mana-mana, sekurang-kurangnya kamu sudah tahu apa yang perlu dijangka selepas membaca ceritaku ini sehingga habis.
YOU ARE READING
Satu senja bersama nenek
Fiction généraleTentang seorang lelaki yang terjumpa seorang nenek dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan apa yang berlaku kepadanya selepas itu.