Malam itu selepas makan bersama isteri dan anak-anak, aku duduk santai di depan televisyen, meluruskan pinggang, melepaskan lelahku yang panjang. Hari ini terkira sangat lama bagiku. Kira-kira jam sembilan, isteriku menidurkan anak kecil kami yang berusia setahun sebelum dia tertidur sama. Dua orang lagi anakku kuarahkan masuk tidur juga selepas dipastikan fardhu Isyak mereka sudah tertunai. Aku menukar-nukar siaran sebelum memilih rancangan berita untuk ditonton sebelum tidur. Pada asalnya aku hanya ingin menonton saluran hiburan barat, MTV, sebagai hiburan ringan sebelum melelapkan mata tapi selepas itu kudapati kandungan berita tempatan lebih menghiburkan, terutama jika mereka memetik ucapan para menteri, atau sekurang-kurangnya exco kerajaan negeri ketimbang apa jua isu.
Sebagai contoh, pada masa ini aku sedang mendengar kata-kata seorang menteri yang menolak pengharaman vape kerana menurutnya, ia merupakan aspirasi anak muda selain potensi yang ada pada vape negara ini untuk dikenali di seluruh dunia. Pada masa itu juga aku dapati persamaan antara seorang menteri dengan seorang penyanyi MTV adalah: kedua-duanya menghiburkan orang ramai, dan mendengar mereka merupakan salah satu bentuk eskapisme; di mana kita mampu lari dari realiti sebenar. Cuma yang membezakan kedua mereka adalah: penyanyi memerlukan lagu yang dicipta komposer, lirik oleh penulis, gubahan, studio rakaman, suara merdu dan segala makneka yang lain tetapi si menteri hanya memerlukan satu benda: temberang.
Sebenarnya aku takjub dengan kemampuan mereka berbohong, atau sekurang-kurangnya memesongkan perhatian orang ramai daripada raison d'aitre atau letak duduk sesuatu perkara. Perasaan ini hadir selepas aku tidak lagi berasa meluat atau jengkel dengan gelagat tersebut, kebiasaan itu akhirnya hanya jadi halwa telinga malah satu bentuk hiburan ringan kepadaku, setaraf dengan nyanyi dan lenggok para penyanyi MTV.
"Penipuan menjadi benar setelah diulang," entah kenapa kata-kata ini tiba-tiba terlontar kembali ke dalam kepalaku setelah menonton telatah si menteri di kaca TV. Aku teringat si Nenek, geleknya dan tongkat yang kutinggalkan dalam kereta. Aku menuju ke pintu depan, mengambil kunci kereta yang disangkut di dinding. Kubiarkan dulu si menteri dengan telatahnya yang tidak sudah-sudah. Aku dapati kucingku, Citam, tidur di muka pintu. Kuangkat dulu Citam hingga ke sofa biar tidur di sana sahaja. Ia menggeletek manja tanpa membuka mata, menunjukkan pulasnya ia tidur dan kenyataan betapa ia tidak akan dapat lihat apa yang bakal berlaku kepadaku beberapa saat selepas itu.
Aku menarik pintu gril perlahan-lahan, takut-takut mengejutkan tidur lena isteri, anak-anak dan Citam. Malam-malam begini begitu sejuk, angin monsun barat daya bertiup sederhana kuat. Jauh di dada awan ada kilatan-kilatan cahaya memancar, menghantar tanda – hujan akan tiba ke tempat anda tidak berapa lama lagi. Aku memeluk tubuhku yang hanya dibaluti baju Melayu nipis tanpa butang. Gulungan kain pelikat yang longgar kukemaskan. Keretaku lagi dua meter di depan.
"Tuet, tuett!" Aku menekan butang kunci. Lampu keretaku menyala dua kali.
Apabila tanganku bergerak untuk membuka pintu kereta, aku masih belum dapat mengesan bahaya atau sebarang insiden luar jangka di hadapan. Malam barangkali agak terlalu gelap lantaran awan mendung dan hujan bakal tiba. Maka pandanganku tidak dapat mencerap sebarang objek yang sedang duduk berteleku di sebalik cermin keretaku; lebih tepat di tempat duduk penumpang. Hanya apabila pintu kereta luas-luas kungangakan, barulah ketakutan itu datang menerpa seperti anjing liar, sebaik sahaja kedua biji mataku cekatan menangkap imej seorang perempuan tua yang telah menjadi hantu dalam fikiranku sejak petang tadi; si Nenek "Oshin" yang mengaku dirinya penari gelek, sedang duduk bersilang panggung dalam keretaku, merenungku tajam dari matanya yang terperosok jauh ke dalam. Begitu aku terkejut, kunci kereta terlepas dari tangan malah aku terloncat dua kali sebelum jatuh terduduk ke tanah. Jantung hampir terkeluar dari tubuhku apabila si Nenek mula menyengetkan bibirnya untuk mengukir senyum. Di tangannya ada seketul logam berbentuk kubus yang kusangka telefon pintar tetapi rupanya bukan. Aku hanya mengetahuinya apabila dalam samar-samar kulihat Nenek menyedut logam tersebut yang bermuncung sebelum menghembuskan kepulan besar asap kepadaku. Tidak kusangka sama sekali bahawa objek itu adalah vape – yang beria-ia tidak mahu diharamkan menteri.
"Tongkat ini tidak seharusnya kaubawa pulang!" Nenek bersuara dengan nada seorang penari gelek. Ketakutanku belum surut. Aku dapat mendengar degupan jantungku sendiri. Jauh di sudut fikiran aku bertanya; kenapa semua ini berlaku kepadaku?
"Ah, jangan sekali-kali sesal. Setiap perkara berlaku atas sebab tersendiri. Aku barangkali pelajaran hidup seterusnya buatmu dalam rupa seorang Nenek."
Cis! Nenek ini membaca lagi fikiranku. Gigil badanku masih kuat. Angin malam yang semakin kencang tidak membantu memulihkan situasiku sekarang.
"Berjanjilah denganku!" Nenek bersuara lagi tiba-tiba. Kepulan asap yang lebih besar dilepaskannya keluar. Kali ini berbentuk gelang bulat sebelum hembusan asap panjang ditembaknya melalui bulatan tersebut.
"Hah!" Suara terperanjatku hampir tidak terdengar oleh telingaku sendiri.
"Dalam dunia yang penuh penipuan ini, janganlah kau terheret sama. Berjanjilah yang kau tidak akan menipu!"
Kepul asap lagi dihembusnya. Makin lama makin tebal. Laman depan rumahku sudah putih dipenuhi jerebu.
Aku tidak tahu mahu memberi reaksi apa. Kata-kata si Nenek, dengan nada lembutnya, dalam cara tersendiri mungkin kedengaran menenangkan, tapi tubuhku belum mahu berhenti menggigil. Apabila Nenek melepaskan silang panggungnya dan bingkas bangun dari tempat duduk kereta, gigil geletarku makin menjadi-jadi.
YOU ARE READING
Satu senja bersama nenek
General FictionTentang seorang lelaki yang terjumpa seorang nenek dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan apa yang berlaku kepadanya selepas itu.