Hanya 4 minit diperlukan untuk berjalan merentas 3 blok rumah teres dengan jalan yang sedikit berlengkung sebelum Ammar sampai ke padang bola berpasir yang dia nampak dari tinjauan tingkap rumah tempoh hari.
Pasirnya jenis pasir sungai yang selalunya projek perumahan buat bahan asas membina rumah. Mungkin padang ini asalnya tanah semak yang kemudiannya dilapangkan untuk dibuat projek perumahan Taman Cempaka, kawasan itu jadi tempat longgokan pasir dan kemudiannya diratakan. Kawasan sekitarnya masih lagi kelihatan tompokan tanah liat yang dah ditumbuhi lalang. Padang ini memisahkan jalan dari Taman Cempaka dengan pintu masuk Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana. Kiranya dari jalan taman tu, kau baru keluar dari terowong Old Trafford dibucu padang, kau kena rentas keseluruhan panjang padang di bucu yang bertentangan baru kau sampai pintu sekolah SK Taman Nirwana.
Sambil Ammar merentas padang bola berpasir dan bertiang gol kayu tu, sambil dia berangan tengah menerima hantaran dari rakan pertahanan. Terus dibawa laju di sebelah kanan,
Kiri kanan kiri.. satu... dua...
Tertinggal ke belakang dua pemain lawan dipintasnya dengan bola masih lekat di kaki. Satu dongakan dibuat dan kaki kanan terus dihayun untuk satu lambungan cantik ke tengah kotak penalti. Zahin dah bersedia untuk menyambut hantaran tersebut.
Tap.
"Wei, kita nak kena pi mana dulu ni?"
Aqil tepuk lengan Ammar. Mereka berdua dah di hadapan pintu masuk sekolah. Ini hari pertama mereka. Pak Adani tak dapat nak menghantar mereka berdua pagi ini sebab ada mesyuarat penting di awal pagi di pejabatnya di Jalan Raja Laut. Segala urusan pendaftaran pertukaran sekolah dah diuruskan semasa cuti sekolah haritu. Nama kelas dah tahu. Jadi Aqil dan Ammar kena uruskan sendiri hari pertama mereka sendiri hari ini.
"Mana aku tau, nama kelas tau la, tapi kat mana tu aku pon tak tau. Hang rasa?" Ammar menjawab selepas lambungan bolanya tadi lenyap ditepuk Aqil tadi.
Mereka mengangkat kepala ke arah sekolah 3 tingkat itu dengan 3 blok bangunan tersusun selari. Nama sekolah jelas kelihatan di dinding pejalan kaki di tingkat satu.
"Kita pi pejabat la, tanya orang kat sana" Aqil memberi idea yang sangat abang-abang lagaknya walau dia baru darjah 3. Steady abang mesti lebih sikit. Zahin disebelah lebih banyak berdiam diri sebab dia memang sedikit pendiam orangnya.
"Oh, budak baru ya, takpa. Tunggu kat sini ja. Nanti kami bawak kamu terus ke kelas lepas perhimpunan nanti." Seorang kakak kerani yang boleh tahan juga rupa parasnya memberi arahan sesampinya mereka di pejabat sekolah di tingkat satu itu.
Mereka duduk di ruang menunggu. Di luar sana perhimpunan pagi baru bermula.
Kedengaran nyanyian lagu Negaraku disusuli dengan lagu negeri Selangor yang pertama kali mereka dengar. Kemudian lagu 'Anak Kecil Main Api' pula. Boleh tahan patrioritik juga guru besar sekolah ni nampak gayanya.
Bermulalah ucapan dari Guru Besar sekolah pum pang pum pang marah itu ini, sekolah kena ceroboh lembu sebab pintu pagar tak tutup, tiap pelajar tahap satu kena kutip sampah keliling sekolah sebelum perhimpunan, yang tahap dua kena cabut duri semalu di padang sekolah. Pengawas puladitugaskan untuk memantau hal ini dan secara langsung menjadi pemegang tong sampah hitam untuk semua pelajar membuang sampah dan duri semalu yang dikutip. Ini semua persediaan sekolah sebagai tuan rumah kejohanan karnival bolasepak bawah 9 tahun hujung bulan 6 nanti. Walaupon kedengaran seperti kerahan tenaga buruh kanak-kanak, tapi apakan daya, guru besar ialah pembuat dasar yang tidak boleh dibetah.
Dengar sahaja perkataan bolasepak, Aqil pandang Ammar, Ammar pandang Zahin. Zahin angkat kepala. Telinga masing-masing tinggi mendengar pengumuman seterusnya.
"Pelajar yang berminat mewakili sekolah, sila beri nama kepada Ustaz Noh, kita akan adakan pemilihan pemain dengan menganjurkan pertandingan 7 sebelah tertutup antara pasukan yang akan dilatih oleh Cikgu Hashim, Cikgu Zul, Abang Kantin Mahmud, Abang PAR Najib dan Ustaz Noh sendiri. Undian pemain setiap pasukan akan dibuat secara rawak. Tarikh tutup pendaftaran ialah hujung minggu ini".
Mereka tersenyum berjemaah. Pucuk dicita, ulam mendatang. Peluang berbolasepak jangan ditolak. Pepatah seperti inilah yang telah menyebabkan guru bahasa Melayu Ammar di SK Kulim kemurungan tahun lalu.
"Hah, Aqil dan Zahin, kamu ikut Syukri ni ke kelas 3 Berlian sekarang".
"Ammar, nanti tunggu Nurul datang bawa kamu ke 2 Mutiara". Sambung kakak kerani bermuka cun dan berparas menawan itu. Atas mejanya jelas tanda namanya. Siti Salwa.
Nurul??
Wah. Pelajar pertama yang akan dikenalinya di sekolah baru ini ialah seorang gadis. Hati Ammar mula berdebar. Adakah Nurul seorang yang mesra dan baik hati?.
YOU ARE READING
Hentam Keromo
AdventureAqil Rodriguez dan adiknya Pablo Ammar baru berpindah dari kampung Air Merah Kulim dan mula bermain bolasepak di Taman Cempaka, Ampang. Mereka mula bergaul dengan rakan-rakan baru di sekitar taman perumahan tersebut dan kemudiannya menubuhkan satu...