Pagi yang indah. Bunga-bunga mawar aneka warna yang berkembangan, harumnya membangkitkan aura. Batrisya menarik nafas dalam-dalam lalu melepaskannya. Sungguh indah panorama yang menghijau di Cameron Highlands. Ladang teh yang menjadi tumpuan pendarmawisata dari dalam dan luar negara, tampak beralun mesra dan mengundang ilham sang pencinta. Dia membayangkan dirinya berada di celahan kehijauan itu. Berlari riang bagai anak kecil. Menuruni perbukitan sambil berlagu riang. Indahnya....!
Namun segala keindahan lamunan itu sirna tatkala dia terdengar sayup-sayup suara seseorang. Kehijauan ladang teh tanah tinggi Cameron hilang direnggut kenyataan yang mengetuk jendela sedarnya.
"Trisya.. Trisya.... bangun sayang...."
Itu suara ibunya. Sentuhan lembut di pipinya juga mengesahkan pemilik suara yang menepis lamunannya yang panjang itu. Batrisya cuba membuka matanya. Tidak berdaya. Dia cuba mengangkat tangannya. Tak berupaya. Lesu. Tidak bermaya. Penat. Lelah. Segala rasa itu menghimpit dadanya. Sungguh dia tidak berdaya. Tiba-tiba terasa air mata yang mengalir di pipinya.
"Trisya... Jangan nangis, sayang...! Everything will be okay! Please don't cry..."
"Mama....where is my baby?"
Saat Batrisya mengusap-usap perutnya yang selalunya berasa senak, dia panik. Mengapa tiada lagi kandunganku? Mana perginya zuriat yang selama ini menjadi teman setiaku? Apakah sebenarnya yang telah berlaku?
Air matanya semakin lebat membanjiri wajahnya. Dia meraung dan terus meraung."My baby...!! I want my baby, mama! Please give me my baby...!! Mama...!!"
Dua beranak itu berpelukan sambil menangis. Tangisan yang panjang dan meruntun hati. Siapa sanggup menahan pilu saat menyedari kehilangan zuriat yang selama ini ditunggu-tunggu. Siapa mampu bertahan atas kelukaan sepahit itu?
"Allah lebih menyayanginya, Trisya...! Allah lebih sayangkan dia... Trisya kena reda...."
"No, mama! You are lying, aren't you? You lie to me..!! Where is my baby, mama? I want my baby...."
Pelukan Dato Azlina semakin kuat. Dia tidak mampu lagi untuk memujuk hati puterinya yang telah hancur berkecai. Dia sendiri tidak berupaya untuk mengawal perasaannya. Kedua-duanya terus hanyut di lautan kepiluan yang tidak bertepi.
.................................
Dua minggu sudah berlalu. Batrisya sudah pulang ke rumah keluarganya. Dia tetap berpantang seperti wanita yang baru melahirkan. Berurut dengan bidan yang dijemput selama lima hari untuk merawat dan menguruskan keperluannya, seperti bertungku dan berbengkung. Urutan demi urutan, sedikit sebanyak telah menenangkan fikirannya. Apatah lagi kerana Hajah Hasnah bukan sahaja pandai mengurut bahkan menyisipkan tazkirah yang kembali menyedarkan Batrisya tentang hakikat sebuah cinta.
"Jangan dikesali setiap yang terjadi, Trisya. Sebaliknya kita mesti bersangka baik dengan Allah. Hidup mati kita, jodoh pertemuan... rezeki... semua tu Allah tentukan.... Allah dah cakap manusia diuji mengikut kemampuannya..."
Suara Hajah Hasnah yang lembut itu bagaikan air mata air . Berkat nasihat dan pengisian rohani yang diberikan oleh wanita tua itu, Batrisya semakin positif menerima takdirnya. Dia sudah mula reda akan sebuah kehilangan. Dia pasrah.
"Saat kita rasa keseorangan dan tiada tempat dituju, ingatlah Allah ada di situ. Malah, kita masih bernafas dan menikmati nikmat hidup di dunia ini pun kerana belas ihsan Allah. Jika yakin dan percaya bahawa dunia ini hanya pinjaman... dan segala isinya milik Allah... pasti kita tidak akan berkeluh kesah atau menangisi takdir kita..."
Satu persatu nasihat yang diberikan oleh Hajah Hasnah menjadi penawar duka. Selepas sesi berurut, dia menyambung tazkirah tentang keimanan, mengingatkan segala perkara yang sering dilupakan. Membugarkan pengetahuan tentang agama agar terus menjadi panduan dan penyuluh jalan. Wanita yang baru dikenalinya itu seakan telah mengenali peribadinya seumur hidup. Akhirnya, Batrisya menyuarakan keresahannya kepada ibunya.
"Hajah Hasnah tu pernah tolong Mama masa kita susah dulu. Dia selalu hantar makanan ke rumah, tolong jaga Trisya dan adik-adik masa mama keluar berniaga. Masa tu kamu baru lima tahun..." itulah penjelasan Dato Azlina apabila Batrisya bertanya tentang wanita berhati mulia itu.
Allahu Akbar! Patutlah wanita itu seakan begitu dekat di hatinya. Dalam kenangannya yang berbalam, Batrisya teringat akan sosok tubuhnya yang sering bertandang ke pondok usang keluarganya semasa dia kecil dahulu.
Rupa-rupanya dialah wanita yang selalu menjaganya dan adik-adiknya. Menyuapkan nasi sambil bercerita kisah-kisah nabi. Wanita yang tidak punya anak itu diceraikan suaminya selepas 15 tahun berkahwin. Alasannya, dia mandul. Tapi Hajah Hasnah tampak tenang sekali dengan senyuman yang sering menghiasi wajahnya. Dia tidak pernah rasa kesunyian. Menjadi bidan kampung. Mengajar budak-budak mengaji. Kata ibunya, meski tiada zuriat, namun Hajah Hasnah disayangi oleh anak-anak kampung, termasuk dirinya yang sangat manja dengan wanita itu suatu ketika dahulu. Tangan wanita itulah yang menggantikan tugas Dato Azlina, saat dia sibuk berniaga kain dari rumah ke rumah, mencari herba di hutan untuk dijadikan produk kesihatan. Begitu besar jasa Hajah Hasnah terhadap keluarganya. Mengalir air mata Dato Azlina setiap kali terimbau kenangan silam keluarganya yang penuh cerita duka itu.
"Subhanallah! Maha Besar kuasa Allah kerana memberi kesempatan untuk aku bertemu dengannya lagi," bisik hatinya.
....................
YOU ARE READING
SUAMI ATAS KERTAS
Random"Kahwin kontrak? Kau dah hilang akal, Trisya? Mana kau dapat idea gila ni?" "Kenapa tidak, Awra? Aku hanya perlukan seorang zuriat. Seorang waris. Untuk itu, aku perlukan seorang lelaki untuk menjadi suami" "Walaupun suami kontrak? Suami hanya pada...