BAB 11 : MALU

4.8K 77 24
                                    

Bergegas-gegas Batrisya menaiki bas kumpulannya dan mencari Kak Ani. Tiada. Tidak ada satu pun wajah yang dikenali. Mana perginya Cik Mat Lambung dan isterinya, Mek Da? Wajah pasangan warga emas yang selalu menyapanya juga tidak kelihatan. Batrisya mencari-cari tempat kosong hingga ke tempat duduk paling belakang. Tiada seorangpun yang dapat dicam wajahnya. Masing-masing turut memandangnya dengan kehairanan. Ada yang memberi salam dan melemparkan senyuman. Di manakah mereka? Aduh, aku salah bas ni! Batrisya mengeluh sendirian.

"Bas Ustaz Fazli di sebelah, kak," tiba-tiba ada seorang gadis muda yang menegurnya. Ada senyuman manis terukir di wajahnya. Batrisya menarik lafaz lega lalu tersenyum.

"Terima kasih, dik.. " Cepat-cepat dia turun semula dari bas tersebut. Di bawah, Ustaz Fazli menunggunya dengan senyuman. Badrul pula ketawa kecil melihat kakaknya yang tak ubah seperti cacing kepanasan. Tidak tergambar rasa malu yang membalut tubuhnya waktu itu.

Allahu Akbar!!
Apakah yang sedang berlaku? Belum hilang lelah menuruni Jabal Rahmah, mencari-cari Kak Ani dan kumpulan jemaah, kini dia telah menaiki bas yang salah.

"Akak naik bas tadi, kenapa? Kan ada nama group kita kata kat depan ni? " Badrul bertanya sambil ketawa. Mutawif muda di sebelahnya hanya tersenyum. Batrisya senyum kelat dan cepat-cepat menaiki bas mereka.

"Maaf semua, saya sesat tadi, " ujar Batrisya, ikhlas memohon kemaafan.

"Tak apa, Sya tapi nanti belanja Mek Da makan ais krim, " kata Mek Da sambil ketawa. Beberapa orang yang lain turut menyokong kata-kata Mek Da.  Batrisya tersenyum malu.

Batrisya terus melabuhkan punggung di sebelah Kak Ani. Dia tahu, pasti banyak soalan yang perlu dijawabnya. Macam mana boleh terpisah? Ke mana dia pergi? Kenapa lambat sangat?

"Alhamdulillah, Trisya. Akak dah risau bila sedar Trisya hilang. Terus bagitau Badrul dan Ustaz Fazli. Lama jugak mereka cari Trisya tadi. Alhamdulillah. Jumpa jugak akhirnya! "
Kak Ani memeluknya dengan erat seolah-olah sudah lama tidak bertemu. Batrisya terkedu.

"Saya sesat dalam terang, Kak Ani. Dah lama sesat sebenarnya, baru jumpa jalan pulang," ujar Batrisya lalu tersenyum. Giliran Kak Ani pula terkedu dan menggumam kata-kata. Entah apa pula yang bersarang di benaknya.

"Banyak melontar ke, Trisya? Sampai tertinggal kat belakang? Mujur tak kena tangkap dengan Pak Arab, " usik Cik Mat Lambung. Batrisya hanya mampu tersenyum, menelan rasa malu yang tidak berhujung. Sungguh dia malu.

Melontar? Memang itulah ungkapan popular di kota Mekah dan Madinah. Istilah yang digunakan untuk aktiviti beli-belah, terutama bagi kaum Hawa. Memang jika diikutkan banyak jubah, sejadah, tasbih, dan pelbagai barangan cenderamata yang cantik boleh dibeli di tanah suci. Ada yang memborong juga untuk dijadikan sedekah, tanda kenangan atau dijual kepada rakan-rakan apabila pulang ke tanah air. Setiap riyal yang dibelanjakan sudah pasti dapat menyumbang kepada kemaslahatan ekonomi bumi anbiya. Tidak ada yang sia-sia.

"Tapi janganlah sampai keghairahan kita berbelanja mengganggu fokus ibadah kita. Ingat balik,  apa tujuan haji dan hajah berada di sini.  Kita datang sebagai hamba yang ingin mencari cinta dan reda Allah.  Memohon keampunannya.  Jadi,  biarlah hati kita,  bibir kita,  dibasahi dengan zikir kepada Allah... Dengan talbiah... Labbaikallah humma labbaik.. Marilah kita sama-sama bertalbiah... "

Pesanan mutawif muda itu terus menancap ke dalam hati Batrisya.  Aduh,  malunya! Padahal,  tidak ada sehelai jubah pun yang sempat dibelinya tadi. Memang dia tidak berhajat untuk membeli jubah di kawasan tersebut  meskipun dijual dengan harga yang murah. berbanding yang tergantung di butik-butik dalam bangunan Hotel Milenium Tower,  tempat penginapannya.  Sudah pasti kualiti dan fesyennya juga berbeza.  Sama jugalah di Kuala Lumpur.  Harga baju di Melawati Mall sudah pasti tidak sama dengan baju yang dijual di Pasaraya Borong Kenanga atau kedai-kedai baju di Jalan TAR.  Batrisya cepat-cepat mengusir bayangan kenangannya memilih baju di butik kegemarannya di Kuala Lumpur. Di situlah juga dia menempah baju nikahnya dengan Daniel. Bas terus bergerak membawa jemaah kembali ke hotel.  Suara lunak Ustaz Syed Fazli masih terus setia memimpin talbiah para jemaah.  Kembali diruntun pilu hatinya.  Kembali menitis air matanya.

................................

Peristiwa di kawasan parkir tadi benar-benar memalukannya.  Ketika mendengar namanya dipanggil,  entah mengapa dia yakin itu suara Daniel.  Begitu kuat telahannya sehingga dia terlupa akan kesakitan dan kelukaan yang disimpannya selama ini.  Perlukah dia menoleh? Untuk apa?  Untuk menatap kembali wajah lelaki yang telah menghancurkan kepercayaannya terhadap seorang suami? Tetapi,  bukankah dia telah bersedia untuk memaafkan dan melupakan segalanya. Sungguh dia sedar,  kecil sungguh kesalahan lelaki itu jika dibandingkan dengan dosanya yang menggunung terhadap Yang Maha Esa.  Sedangkan Allah sendiri telah berjanji akan memberi keampunan kepada setiap hamba-Nya,  biarpun sebanyak buih di lautan dosanya. Tidak wajar manusia yang bersifat hamba bersikap sombong seperti al-Khaliq.

           Saat Batrisya melihat ke belakang, tiada sesiapa di situ.  Batrisya menoleh ke kiri dan ke kanan. Tercari-cari pemilik suara yang menanggil namanya.  Dia mencari-cari Daniel. Tiada.  Yang ada hanyalah beberapa kumpulan jemaah yang sedang  sibuk dengan urusan masing-masing. Entah kenapa,  ada getar kecewa yang singgah di hatinya. Dia berpusing semula.  Ketika itulah tiba-tiba Syed Fazli muncul di hadapannya. Hampir saja dilanggarnya bahu lelaki itu yang muncul entah dari mana.  Seperti terkena renjatan elektrik,  Batrisya menjerit. Allahu Akbar!! Syed Fazli menapak ke belakang sambil beristighfar.

"Allahu Akbar! Hati-hati,  Puan.  Jangan kelam-kabut, " ujarnya.

"Maaf,  ustaz! "

Batrisya cepat-cepat berjalan ke arah bas mereka dan meninggalkan Syed Fazli yang kelihatan serba salah dan terpinga-pinga dengan insiden itu.  Malunya,  hanya Allah yang tahu! Apa sebenarnya yang berlaku kepadaku,  ya Allah?  Apa yang ingin Engkau tunjukkan kepadaku? Kenapa ada rasa yang berbaur pilu saat dia mencari-cari bekas suaminya dan tidak menemukan kelibat lelaki itu. Dan bagaimana pula Syed Fazli tiba-tiba berada di hadapannya?  Sungguh jantungnya berdegup kencang dan terasa panasnya darah merah meronai wajahnya. Allahu Akbar!

Astaghfirullah hal azim.
Astaghfirullah hal azim.
Astaghfirullah hal azim.








SUAMI ATAS KERTASWhere stories live. Discover now