Bab 9: BETA ke ALPHA

222 10 4
                                    

Ema mengibas baju kemeja di tangannya beberapa kali sebelum panyangkut baju dimasukkan ke dalam kolar dan di sidai di tempat penyidai. Rumah emper milik Tengku Fateh itu sudah dimop dan hanya tinggal baju untuk disidai sahaja. Membasuh baju bukan dalam skop kerjanya namun, tetap dilakukannya juga. Bukannya susah kerana dia hanya menggunakan mesin basuh. Kemudian, baju itu ditinggalkan dan dia melakukan kerjanya yang lain dan akhir sekali barulah dia menyidai baju yang sudah siap dibasuh oleh mesin itu.

Dari kawasan penyidai baju itu, Ema menjenguk ke bawah. Dari situ dia memandang sebuah kondominium yang berada 3 tingkat bawah daripada rumah emper itu, di blok yang bertentangan. Selalunya, dia akan mengintai kondominium tersebut. Kadang-kadang, dia akan ke blok tersebut dan berpura-pura berjalan melalui pintu kondominium tersebut. Mengingatkan kejadian semalam, tugasnya di Kondominium Mahligai sudah selesai.

Tidak jauh dari tempat kejadian, Ema memandang beberapa orang lelaki yang digari tangan ke belakang dibawa oleh beberapa pihak polis keluar daripada kondominium mewah itu. Setengah jam yang lalu, kecoh aras tersebut dengan adegan antara polis dan penjenayah yang bersembunyi di sebuah kondomonium di Kondominium Mahligai tersebut. Bising juga, namun penghuni kondominium lain mungkin tidak berani untuk keluar dan keadaan ini dapat mengelakkan orang-orang yang tidak bersalah daripada cedera.

"Ema." Satu tepukan hinggap di bahunya daripada belakang.

Ema segera berpaling. Melihat insan di hadapannya, badannya terus tegak. "Tuan."

"Tahniah, Ema. Misi kita kali ini berjaya."

Ema mengukir senyuman, "Alhamdulillah, Tuan."

Ema tertanya-tanya, adakah Tengku Fateh tahu akan kejadian yang terjadi di blok bertentangan semalam atau pemuda itu mungkin tidur keletihan tanpa menyedari apa yang berlaku. Balik daripada membeli-belah bersama-sama adik-adiknya semalam, Ema merehatkan diri di rumah emaknya. Tepat jam dua belas malam, dia keluar dan diberitahu kepada emaknya bahawa dia terpaksa pulang ke rumah sewa kerana dia masih mempunyai kerja yang perlu diselesaikan keesokannya.

Setelah habis pakaian disidainya, Ema memastikan dia mengunci semua pintu daripada dalam. Sudah siap tugasnya pada hari ini dan sebenarnya inilah hari terakhir dia akan menjejakkan kaki ke rumah emper ini. Lagipun, dia hanya menggantikan rakan sekerjanya daripada agensi yang sebelum ini dan kini rakan sekerjanya itu sudah dapat bertugas kembali.

Apakah perasaan Tengku Fateh apabila mengetahui bukan lagi dia yang mengemas rumah emper ini? Ema menggeleng-gelengkan kepalanya. Kenapa pula Tengku Fateh hendak tahu? Entah-entah, lelaki itu langsung tidak kisah sebenarnya. Ema berdiri di tengah-tengah ruang tamu rumah emper itu. Setiap inci rumah itu ditatapnya. Ema tahu, dia akan merindui rumah ini. Dia akan merindui saat dia berehat seketika di balkoni dengan kerusi 'sarang burung' yang tergantung, saat dia mencuci ruang-ruang yang ada diiringi dengan lagu-lagu daripada set sistem audio teater rumah dan saat dia menggunakan dapur mewah rumah emper itu.

Tiba-tiba, telefonnya berbunyi. Tiada nama yang muncul, hanya nombor telefon yang tidak dikenalinya. Dengan lafaz basmallah, Ema menyambut panggilan tersebut.

"Ema, saya ni Fateh." Suara itu menyahut selepas salam dijawab.

Bulat mata Ema. Dari mana pula Tengku Fateh mendapat nombor telefonnya?

"Tengku, ada apa?"

"Ema masih ada di rumah saya, kan? Boleh tolong saya?"

Ema terdiam. Dia mendengar dengan teliti. Rupanya Tengku Fateh tertinggal dokumen yang penting dan dia perlu turun mendapatkan pemuda itu kerana kad akses ada padanya. Dengan sekali imbas akan keadaan rumah emper itu, Ema segera berlalu keluar. Pintu rumah emper itu dipastikan supaya terkunci elok sebelum dia melangkah ke arah lif.

Takdir Cinta (E & F)Where stories live. Discover now