BAB 5
Hati Koko berdebar-debar saat dia terbang sepantas kilat menuju ke rumah buluh yang dihuninya bersama Minki. Cincin jed biru yang tersarung di jari Koko itu bernama Jeku.
Jeku adalah sepasang cincin ajaib yang mempunyai fungsi tersendiri. Koko memakaikan sebentuk Jeku pada kaki Minki dan Koko sendiri memakai cincin itu pada ibu jarinya. Jika sesuatu yang buruk bakal menimpa Minki maka Jeku yang dipakai Koko akan menyala terang dan mendatangkan kesakitan. Ia berfungsi sedemikian sebagai peringatan buat Koko agar menyelamatkan haiwan kesayangannya daripada sebarang musibah.
Saat Koko tiba di rumah buluh, suasana sunyi sepi. Dia menerpa masuk ke dalam rumah dan melingas ke sana dan ke sini mencari bayang Minki.
Minki terbang melayah dari para-para bumbung dan hinggap di lengan tuannya.
"Syukurlah, kau tak apa-apa! Maaf aku terlambat sikit."
Koko membelai-belai paruh Minki dengan wajah sedikit lega. Dia fikir helang putih itu sedang berhadapan dengan musuh. Rupa-rupanya, makhluk yang ingin menggangu ketenteraman mereka masih belum muncul...
................
Zen berdiri tidak jauh dari rumah buluh Koko. Tadinya, setelah menyedarkan Lei dan Naru yang pengsan, Zen mengarahkan kedua-dua orang pelajar itu kembali ke Gunung Finji.
Zen berjaya menjejaki kedudukan Koko dan meninjau apa yang dilakukan gadis pelik itu. Zen tidak buta untuk melihat yang Koko berasa sakit di Rumah Lace tadinya akibat tindak balas Jeku. Sangka Zen, mungkin ahli keluarga gadis itu berada dalam keadaan bahaya, hingga Koko tidak endah perihal Topeng Robleznya.
Namun, hakikat sebenar... gadis itu bergegas meninggalkan Rumah Lace kerana bimbangkan keselamatan seekor helang putih!
Zen sekadar memerhatikan Koko dari kejauhan. Gadis itu kelihatan berbual-bual dengan helang putihnya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Zen pasti Koko bukan gadis biasa-biasa kerana tiada makhluk yang berani hidup di tengah belantara bersendirian!
Zen memandang langit yang kelihatan gelap gelita tanpa cahaya. Tidak semena-mena pokok-pokok bergoyang kuat ditiup angin. Dedaun kering berterbangan di sana sini. Bau busuk mencucuk hidung. Aura syaitan yang kuat dan dahsyat berlegar-legar mendekati kawasan rumah berkenaan.
Sihir penghadang yang melingkari kawasan rumah itu mula roboh sedikit demi sedikit. Tanda ada anasir luar yang telah merungkai sihir berkenaan. Zen tidak mempunyai masalah untuk menembusi sihir penghadang Koko tadinya kerana dia bukan syaitan...
Bunyi lolongan Anunaki sayup-sayup menjamah telinga Zen. Zen yakin ia ada kaitan dengan kawanan Anunaki yang dicederakan Koko di Hutan Gaara kali lepas. Pasti makhluk-makhluk itu ingin membalas dendam!
Tiba-tiba saja hati Zen dijentik perasaan bimbang...
.............
"Minki, jangan tinggalkan bahu aku."
Koko berbisik di telinga helang putihnya. Dapat mengesan kuasa jahat mula mengelilingi tempat dia menginap.
Koko segera keluar dari rumah buluh bersama Minki. Dia terkejut kecil apabila mendapati satu lembaga putih terbang dan mendarat tepat di hadapannya.
"Oh, lelaki sombong. Ada apa-apa lagi ke yang awak nak dengan saya? Topeng Roblez dah dapat kan?" soal Koko dalam nada sarkastik.
Tidak menyangka Zen mengekorinya hingga ke rumah buluh! Apa lagi yang pemuda itu mahukan darinya?
YOU ARE READING
SKY EMPRESS @ RATU LANGIT
FantasyDia telah menggembara dalam dunia manusia lebih puluhan tahun... Pelbagai jenis makhluk dan bangsa ditemuinya... Sahabat, pengkhianat, pengkhianat, pengkhianat dan pengkhianat adalah spesies yang paling banyak bertembung dengannya... Mereka sangka...