Ketika kereta Monet menghentam gadis yang sedang berjalan melintasi padang, tubuh yang memakai gaun merah itu melayang jauh, seperti gumpalan kapas yang berterbangan lalu bergolekan di atas jalan dengan kepalanya yang berlubang sebesar dua jari dan darah merah keluar seperti air pili. Yang tinggal hanyalah bunyi angin yang berdesir di sebelah cuping telinga Monet, seperti bunyi nafas anjing yang sedang menjilat tulang-tulang kering. Kedua belah tangan Monet masih lagi berada di stereng dan ketakutan cepat menjamah sehingga tubuhnya menggigil-gigil. Dia tidak berani keluar, siapa yang berani keluar melihat sekujur tubuh yang baru sahaja dilanggar oleh kereta yang dipandu 60 batu sejam?Sekejap sahaja orang ramai berkerumun. Seperti semut yang sedang menyembah kiub gula di tengah-tengah jalan walapun pada waktu itu masih lagi senja. Walaupun jalan di sini sunyi sedikit, di tepi pinggir bukit, hutan yang tertegaknya pohon-pohon willow dan bic yang membentuk kanopi meredupkan aspal. Mereka datang dan berbisik-bisik sambil melihat mayat seorang gadis bergaun merah yang tergeletak di atas jalan. Gadis itu sudah menjadi mayat, yang bermaksud tidak bernyawa, tidak mempunyai roh dan terputus dari kesedapan dunia. Di dalam kereta, Monet masih lagi memegang stereng dengan kuat. Peluh keluar dengan cepat dari hujung anak rambut dan jutuh menitik sehingga ke pipinya yang sudah bertukar menjadi pucat. Dia takut gila sekarang. Monet tidak pernah takut sebegini lagi sebelum ini. Ketakutan itu menangkapnya seperti lembaga hitam yang memeluknya dengan kuat. Lembaga yang menyerang dengan taring dan kuku yang panjang, mengilai dan bergeruh bagaikan petir sehingga ianya puput dan bertukar menjadi laungan siren. Bunyi siren itu sungguh tajam dan semakin menghampiri dari arah belakang keretanya. Monet memandang ke arah cermin pandang sisi melihat lampu bewarna biru dan merah yang berkilau-kilau tidak berapa jauh dari situ.
Sebuah kereta peronda polis datang tidak sampai beberapa minit, membunyikan siren sambil melaungkan - Pergi berambus semuanya sebab ini bukannya fun fair! dari pembesar suara. Orang ramai mula beransur pergi meninggalkan Monet berseorangan di dalam keretanya kembali.
Dua orang pegawai polis berumur lewat 40-an keluar dari kenderaan peronda. Seorang gemuk dan pendek bernama Garon manakala seorang lagi kurus dan tinggi, bermisai pelik dan wajahnya yang aneh menjadi lebih pelik kerana mempunyai misai yang pelik. Polis itu bernama Pippin dan dia tidak keluar lebih jauh melainkan hanya berdiri di hadapan kereta peronda dan menulis sesuatu. Mereka hanya berdua dan Garon yang nampak seperti seorang polis yang kaki makan donut dan minum kopi dari cawan kertas berjalan sambil memusing-musingkan cota aluminum di tangan, menyuruh Monet keluar dari kereta sebelum mencangkung di hadapan bampar lalu tersenyum nipis.
Pippin seperti tidak memperdulikan rakannya yang pendek itu, tidak memperdulikan mayat yang terbaring di hujung kakinya, tidak mahu melihat Monet melainkan hanya sibuk menulis sesuatu di atas sebuah buku lipat besaiz dua tapak tangan sedari tadi. Tali pinggang keledar dilepaskan dan Monet keluar dari dalam kokpit kereta, berdiri di sisi polis yang mencangkung di hadapan bampar keretanya. Garon memegang pada tempat kesan calar sepanjang 6cm seperti seorang artis yang memegang hasil karya seninya buat pertama kali. Dia mengangguk, "kereta made in Germany memang tahan lasak! Hanya kemek sedikit dan ianya boleh disedut sekejap sahaja dan perlukan 20 pound untuk membaikinya. Ini...Kesan calar ini boleh dotonyoh dengan pen maker yang dijual di kedai serbaneka. Ada sebuah pen magic yang boleh menutup cela dari kesan calar ini, mate". Kata Garon dengan keningnya yang terangkat, tetapi Monet tak dengar sangat kerana bunyi bising yang terhasil dari kenderaan yang lalu lalang di tepi mayat yang baru dilanggarnya.
Kepala Monet tertoleh melihat ke arah sebatang pohon willow yang nampak menyeramkan. Pohon Willow sememangnya menakutkan, walau dalam keadaan apa sekalipun, dengan dahannya yang berlumut dan bagak, daun yang lebat merambu jatuh dan terbuai-buai ke tanah. Pohon itu terletak tidak jauh di seberang jalan sahaja. Dari arah pokok tersebut matanya perlahan-lahan mengekori sesuatu sebelum terhenti di kerusi penumpang di dalam keretanya. Monet memandang ke hadapan kembali dan rasa kepalanya yang sudah mula berpusing-pusing. Dia mula ingin muntah tetapi bukan kerana melihat darah atau emping otak yang bewarna krim dari mayat gadis yang baru dilanggarnya. Monet menekan dadanya yang mual sambil melihat ke arah jam tangan. Kedua orang polis tersebut juga melihat ke arah jam tangan mereka. "Pukul berapa kau langgar tadi?" Monet menekup mulutnya yang berlugai. "Kurang 10 minit jam 7". Dua anggota polis tersebut mengangguk serentak. Pippin yang agaknya seorang polis bisu kerana tidak bercakap sedari tadi kembali menyambung mencatit di atas buku notanya, lalu dikoyak separuh dan diberikan kepada Monet.
Garon menggagau sesuatu dari dalam dashboard kereta dan menarik keluar sepasang cermin mata seperti gogal renang. Dia berdiri sambil bercekak pinggang, memusingkan kepalanya ke kiri dan kanan seperti mencari sesuatu sebelum matanya berhenti pada kokpit kereta Monet, tangannya yang memegang cota tertunding ke arah kerusi bersebelahan pemandu. "Dah nampak belum?" Kata Garon. Monet malas untuk melihat kembali ke dalam kokpit keretanya kerana dia sudah nampak sejak seminit yang lepas, jadi dia hanya mengangguk.
"Bagus! Tahu apa yang perlu dibuat?"
Monet mengangguk. "Bagus! Segalanya ada di dalam kertas ini" Kata Garon sekali lagi menunding dengan jari kepada kertas yang dipegang Monet sebelum keduanya beransur pergi. Monet masih lagi tercegat memandang ke arah kertas yang berada di telapak tangan sebelum melipat sehingga kecil dan memasukkan ke dalam saku. Dia sudah tahu segala prosedur yang perlu diambil jika seorang pemandu melanggar orang awam sehingga mati. Sama seperti prosedur seorang pembunuh yang telah membunuh sesiapa pun. Tetapi bukanlah bermakna dia pernah melanggar sesiapa sebelum ini apatah lagi membunuh, Dia hanya mendengar dari bualan mulut orang. Kawan-kawan di tempat kerja. Ohh...dia sudah ingat nama rakan sekerja yang berada di department stor di kilangnya. Setahun yang lepas Nikolai pernah melanggar seorang nenek yang menunggang basikal sehingga mati. Sedikit sebanyak input tentang prosedur kontrak kematian masih lagi diingatinya.
Hari ini adalah hari malang dan selama Monet hidup dia tidak berfikir akan menghadapi kontrak kematian. Tidak sehinggalah datang hari ini diwaktu senja di sebuah lereng bukit yang menjadi laluan perjalannya setiap hari ketika pergi dan pulang dari kerja. Celakalah, bagaimana mungkin gadis yang memakai gaun ini berjalan melintasi betul-betul di hadapan keretanya. Kenapa dia. Kenapa hari ini.
Seminit itu juga berselisih ganti pula dengan van ambulan yang datang untuk memungut mayat gadis yang telah dilanggarnya. Seperti dua orang anggota polis itu juga, mereka datang dengan cepat dan pergi dengan cepat. Cuma kali ini mereka langsung tidak bercakap dan hanya menyerahkan kad di mana mayat itu dihantar. Siren ambulan kedengaran semakin sayup meninggalkan dia keseorangan kembali di tepi jalan. Sekeping kad hospital dan juga kertas berlipat empat dari anggota polis berwajah pelik yang mempunyai misai yang pelik berada di dalam saku yang sama. Monet masuk kembali ke dalam keretanya, menghidupkan enjin dan mengenakan tali pinggang keledar sebelum menurunkan sedikit tingkap sehingga terbuka separuh. Wajahnya lebih tenang berbanding tadi kerana segalanya telah terjadi dan tiada apa yang boleh dilakukan sekarang. Segalanya telah terjadi, kata Monet perlahan, menoleh ke arah lereng bukit melihat matahari yang mula terbenam perlahan-lahan membuatkan dia sedikit tenang berbanding tadi.
Langit jingga mula berbalam-balam bertukar hitam. Monet memandang ke hadapan kembali tanpa mahu memaling ke arah kerusi di sebelah. Kedua belah tangannya digenggam kemas pada stereng. "Jangan lupa pakai seatbelt. Awak dah tentu taknak mati buat kali kedua." Kata Monet kepada gadis bergaun merah di sebelahnya.
YOU ARE READING
LELAKI YANG TAK PUNYA APA UNTUK DIPERSIA
Mystère / ThrillerKehidupan Monet berubah sama sekali setelah melanggar seorang gadis bergaun merah ketika pulang dari kerja. Di dunia yang dihuni Monet, orang yang dibunuh akan menjelma kembali selama lapan hari sebagai Roho yang boleh membalas dendam atas kematiann...