Part 4

54 6 2
                                    

>16 Februari<

Puan Lina dan Encik Razi menghantar Amin hingga ke kelasnya. Setibanya mereka di kelas, Amin dikejutkan dengan bunyi sorakan dari rakan-rakannya. Sejurus selepas itu, seluruh kelasnya gamat dengan nyanyian lagu hari lahir buat Amin. Dia baru menyedari bahawa hari ini merupakan hari lahirnya yang ketujuh tahun. Rupanya ayah dan ibunya telah merancang dari awal untuk memberi kejutan hari lahir kepadanya.

Kelas itu cantik dihiasi dengan belon-belon yang berwarna-warni, gantungan ucapan hari lahir dan pelbagai hiasan lain. Walaupun Amin tidak dapat melihat keadaan kelas itu, guru kelas dan rakan-rakannya sepakat untuk tetap menghias kelas mereka bagi menambah kemeriahan dalam majlis hari lahir Amin.

Amin tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakannya. Riak gembira kelihatan di wajahnya. Puan Lina kemudiannya membawakan kek hari lahir Amin kepadanya dan majlis itu kian meriah dengan tepukan dan sorak sorai setelah Amin meniup lilin pada keknya. Semua murid berjalan mendapatkan Amin dengan masing-masing memberikan hadiah kepadanya.

Semua murid yang ada di situ menikmati jamuan yang disediakan. Amin berasa sangat gembira apabila mendengar suasana di sekelilingnya penuh dengan gelak tawa rakan-rakannya. Usai jamuan, Amin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada rakan-rakan, guru dan tidak lupa kedua ibu dan ayahnya. Tanpa disedari, air mata Amin mengalir tanda kegembiraan. Hal ini mengundang perasaan sayu ibunya kerana Amin tetap bersyukur dapat berada di majlis hari lahirnya sendiri walaupun tiada apa yang dapat dilihatnya di situ.

~~~

Petang itu, Amin tinggal di rumah berdua bersama dengan Mak Ani kerana ibu dan ayahnya pergi keluar bekerja.

"Mak Ani.." Amin mencari Mak Ani.

"Ya Amin, Amin nak apa-apa ke ?" Tanya Mak Ani.

"Amin nak mintak tolong Mak Ani boleh?"

"Tolong apa Amin."

"Tolong Amin bukakan hadiah-hadiah Amin boleh. Amin nak tahu apa yang kawan-kawan Amin berikan tadi." Jelas Amin.

"Oh, Mak Ani ingatkan apa la tadi. Mestilah boleh, jom pergi bilik Amin." Jawab Mak Ani.

Satu persatu hadiah Amin dibuka oleh dia dan Mak Ani. Antara hadiah yang Amin dapat adalah kotak muzik dari ibu dan ayahnya, jam loceng, T-shirt, coklat, patung beruang kecil, bingkai gambar, sapu tangan, botol air, topi dan banyak lagi. Setiap hadiah itu disertakan dengan nama kawan-kawannya.

"Eh, Amin ada lagi satu hadiah belum buka ni." Mak Ani memberitahu Amin.

"Mak Ani bukakanlah untuk Amin." Balas Amin lembut.

'Eh, hadiah ni dari siapa? Tiada nama pemberi pun. Inikan buku.. kosong?, buku nota kan tapi kenapa mereka beri ini kepada Amin, bukan ke mereka tahu Amin tidak pandai menulis.' Mak Ani berkata di dalam hati.

"Mak Ani? Kenapa Mak Ani diam tu? Hadiah apa tu?" Amin mula tertanya-tanya.

Mak Ani memberitahu hal itu kepada Amin. Dia hanya tersenyum dan berpendapat mungkin kawannya tidak sengaja berikan buku nota itu yang bergambar Angry Birds di kulit depannya, lalu dia tergelak kecil. Mak Ani tahu Amin agak terasa dengan perkara itu. Dia juga begitu tetapi dia masih sempat mengiakan pendapat Amin.

'Kesian Amin.. Mak Ani harap, Amin sentiasa gembira dan takkan bersedih ye nak.' getus hati Mak Ani.

~BERSAMBUNG~

Diari Dari AminWhere stories live. Discover now