Bab 1

873 22 4
                                    

PERJALANAN dari ibu kota ke vila itu memakan masa hampir tiga jam. Untuk ke sana mereka bertiga bukan sahaja terpaksa melalui beberapa anak bukit bercuram tinggi dan bahaya, tetapi juga kawasan lenggang yang panjang dan jauh dari rumah orang. Kiri kanan hanyalah hutan tebal. Lebih gelap jika memandu pada sebelah malam.

Namun, Puan Julia yang memandu kereta Toyota Estima, berwarna hitam itu, sudah arif sangat dengan keadaan tempat ini. Vila itu adalah milik keluarganya sejak turun-temurun. Di sinilah tempat dia dilahirkan dan membesar. Jadi, ini bukanlah kali pertama dia memandu dalam keadaan bentuk muka bumi yang serba mencabar.

Sesekali dia menoleh memandang anak gadisnya, yang berambut lurus, sedikit melepasi bahu, di sampingnya. Anak gadisnya yang berusia 20 tahun itu sedang bersandar pada kerusi, tertidur. Puan Julia tersenyum. Dia melihat dari cermin pandang belakang, kelihatan seorang lagi gadis muda, berusia 22 tahun. Gadis berambut kerinting di sana, tetap juga seperti ketika mereka mula bertolak tadi, asyik memandang keluar dengan riak wajah yang kosong.

Gadis berambut kerinting itu sepatutnya berasa teruja untuk kembali ke vila itu lagi. Seperti dirinya, seperti juga anak gadisnya. Bukan sahaja kerana vila itu milik keluarga mereka sendiri sejak dahulu, tetapi pertemuan kali ini juga akan menghimpunkan semua ahli keluarga yang ada.

"Emierda," panggil Puan Julia kepada gadis berambut kerinting itu.

Tapi, gadis berambut kerinting itu tidak bereaksi, seperti dia tidak mendengarnya.

"Emi?" panggil Puan Julia lagi.

Sesaat itu juga, gadis beralis tebal dengan tatap mata yang dalam dan tajam itu memandangnya. Bermakna dia bukanlah tidak mendengarnya, tapi dia sengaja tidak mahu mendengar.

"Mak ngah harap di sana nanti, Emi boleh kawal sikap Emi. Jangan banyak drama, macam budak kecik," kata Puan Julia lagi.

Mendengarkan itu, gadis itu kembali melontarkan pandangannya keluar tingkap. Riak wajahnya masih juga kosong seperti tadi. Pesanan Puan Julia itu seolah-olah tidak bermakna apa-apa baginya.

"Dah sampai ke?"

Tiba-tiba anak gadis Puan Julia terjaga, mungkin kerana dia mendengar suara ibunya bercakap-cakap. Dia menggosok-gosok mata dengan tangannya.

"Kejap lagi. Sabarlah sikit," balas Puan Julia mesra, sambil menjeling wajah Emierda lagi melalui cermin pandang belakang itu.

MEREKA akhirnya tiba juga di halaman luas sebuah vila mewah setengah jam kemudian.

Tidak seperti sepupunya Laila yang pantas bergerak dan dalam sekelip mata sudah pun berada di luar, membantu Puan Julia mengangkut beg pakaian mereka keluar dari perut kenderaan. Hanya Emierda yang masih bergerak malas pada bangkunya dan tidak mahu terburu-buru.

"Hai, apa khabar semua?"

Emierda mendengar Laila menjerit kepada seseorang, sebelum ketawa suka. Tapi, Emierda tidak ambil peduli sangat dengan suasana riuh yang dibuat sepupunya itu. Dia lebih suka membuat halnya sendiri.

"Emi."

Tiba-tiba bahunya ditepuk Puan Julia, ibu saudaranya. Emierda menoleh ke belakang, memandang wanita itu.

"Apa yang termenung lagi tu? Cepat angkat beg kamu," kata Puan Julia lagi.

Sebaliknya, Emierda hanya membiarkan Puan Julia pergi, bergerak menuju ke vila tiga tingkat itu, melalui sebuah pintu gerbang yang besar dan tinggi. Dibina dari konkrit, berbentuk ladam kuda. Emierda tercegat seketika memandang vila.

Sekarang vila itu sudah pun dicat baru berwarna putih. Bumbungnya pun sudah diganti. Dulu merah hati, sekarang biru tua. Jadi, tidaklah nampak usang sangat vila ini seperti lapan tahun yang lalu. Bunga-bunga pun banyak ditanam di halaman. Hampir semuanya sedang berkembang dan subur. Naik jugalah seri vila itu sikit.

KelibatWhere stories live. Discover now