BILIK tidur Emierda terletak berhampiran tangga menuju ke bawah. Di sebelah biliknya adalah bilik Laila. Bilik paling hujung ialah bilik Khalil dan Salina. Sementara di tengah-tengah beranda bulat itu adalah bilik Puan Julia. Di sebelah bilik ibu saudaranya adalah bilik perpustakaan, kemudian bilik Tuan Johan dan Puan Azie. Bilik menghadap bilik Emierda pula, adalah bilik kosong.
Sebenarnya bilik itu dahulunya sering digunakan oleh kedua-dua arwah orang tuanya jika balik ke sini. Tapi sekarang, bilik itu tidak pernah digunakan lagi. Dan empat lagi bilik kosong di tingkat tiga dikhaskan untuk tetamu.
Vila itu benar-benar sunyi apabila semua orang masuk tidur sejak beberapa jam yang lalu. Hanya Emierda saja yang berkeras tidak mahu melelapkan mata pada malam pertamanya di vila ini. Dia nampak resah selepas makan malam tadi.
"Macam mana kalau hantu Ilina datang lagi," bisik Emierda.
Wajah dan tubuh yang hitam, berdarah separuh dengan mata terbelalak. Tiba-tiba bulu tengkuk Emierda meremang apabila teringat sepasang mata putih tanpa anak mata yang pernah merenungnya dulu. Emierda menarik nafas dan menghembuskannya lagi dengan jiwa resah. Perasaan itu sukar diabaikan.
Sambil menyandar ke kepala katil, Emierda membaca beberapa surah al-Quran sebagai pelindung diri. Dia menoleh memandang ke jendela yang langsirnya sengaja terselak. Cahaya bulan di langit menerombos masuk dan jatuh memanjang di atas lantai. Emierda masih dengan pendiriannya. Malam ini, dia tidak akan terlelap. Dia tidak akan tidur langsung. Tapi, beberapa minit kemudian, kepalanya mula tersenguk-senguk kerana mengantuk.
Sebaik saja dia tersedar dengan keterlanjurannya itu, jari-jarinya kemas menarik selimut sehingga ke dadanya. Dia kembali memandang ke jendela seperti menunggu sesuatu masuk ke dalam biliknya dari jendela kaca itu dan akhirnya tanpa disedari Emierda, dia terpaksa akur dengan kehendak tubuhnya yang keletihan. Dia perlahan-lahan hanyut dalam tidur.
"Mierda?"
Emierda melonjak bangun apabila terdengar satu bisikan di telinganya. Dengan tidak disangka-sangka, dia merasakan kepalanya bergoncang. Sakit bukan kepalang.
"Ahhh..."
Dia mengaduh sambil memegang kepalanya. Wajahnya berkerut menahan sakit.
"Aduh..." Emierda berbisik lagi.
Dia tahu dia telah tertidur dan kesiangan. Cahaya terang dari luar menembus masuk dari jendela kaca. Buat pertama kali dalam hidupnya sejak dia bertemu hantu Ilina, tiba-tiba hari ini, dia mendengar suara hantu pula. Suara perempuan berbisik, tetapi dengan nada yang aneh. Emierda pasti dia mendengar suara seorang perempuan. Seolah-olah suara itu terkejut melihat dirinya di situ.
Siapa perempuan itu, bukan persoalan utama bagi Emierda. Tapi, siapa Mierda? Emierda tidak pernah menggunakan Mierda. Tidak ada sesiapa pun dalam kalangan ahli keluarga dan orang yang mengenalinya, menggunakan nama itu untuk dirinya. Emi. Itulah namanya, jika bukan Emierda.
PAGI itu, dua orang sahabat Khalil tiba seperti yang telah dijangkakan. Ketika mereka sampai, mereka melihat beberapa orang perempuan duduk berhimpun pada sebuah meja bulat di bawah sebuah kanopi kecil. Meja itu kelihatan penuh dengan reben berwarna-warni dan hasil gubahan mereka. Sudah tentu hasil gubahan itu nanti akan dijadikan penghias kanopi dan pelamin pengantin.
"Assalamualaikum, tuan kanopi."
Seorang lelaki berkulit sawo matang kelihatan berdiri betul-betul di belakang Khalil yang pada ketika itu sedang memerhatikan beberapa pekerja lelaki memasang kanopi tambahan.
"Waalaikumusalam. Hei, Ajai."
Kahlil menoleh dan tersenyum lebar. Beberapa orang daripada pekerja di situ turut berhenti dan memandang mereka seketika, sebelum kembali menyambung kerja.
YOU ARE READING
Kelibat
Mystery / ThrillerUNTUK MELANGGAN www.dearnovels.my Jimat RM3 dengan pembelian secara online dan penghantaran PERCUMA TAJUK : KELIBAT PENULIS : NURUL OMAR ISBN : 978-967-14675-2-7 HARGA : RM24/RM27 Ditakdirkan Emierda mampu melihat dan mendengar benda-benda ghaib. L...