TUAN JOHAN dan isterinya Puan Azie, tersenyum lebar sebaik saja terpandangkan Emierda berjalan masuk ke ruang tamu. Diikuti Khalil yang berjalan tidak jauh di belakang gadis itu. Namun, Tuan Johan segera mengesan riak kesal di wajah Khalil, dan sorotan mata anaknya itu memandang belakang Emierda.
Tuan Johan yang begitu mengenali kedua-duanya, segera dapat memahami, mereka berdua sudah tentu berselisih lagi. Emierda itu memanglah gadis yang agak degil juga, tapi Khalil pun apa kurangnya. Dia suka menyakat Emierda sehingga menyinggung perasaan gadis itu.
Sesaat kemudian, tatap mata Khalil bertembung dengan tatap mata ayahnya. Memahami perlakuannya yang mungkin akan membuat ayah itu marah dan kesal, Kahlil segera beredar dari situ. Naik ke tingkat atas menyertai yang lain. Kedengaran mereka agak riuh dengan berbagai cerita.
"Pak long..."
Emierda meluru kepada lelaki berambut putih itu, tangan kanan lelaki itu bergetar sedikit kerana menghidap parkinson. Tapi, Emierda tidak kisah. Tangan yang banyak berjasa kepadanya itu tetap diciumnya, sambil dia tersenyum, berusaha untuk memaniskan wajahnya. Lelaki ini adalah anak sulung daripada empat bersaudara.
Kemudian ibu saudaranya, Puan Julia. Arwah ibunya, Jamilah sebagai anak yang ketiga dan yang bongsu, arwah Jamal. Keempat-empat bersaudara itu adalah mualaf yang memilih memeluk Islam suatu ketika dahulu ketika mereka masih muda.
"Emi."
Dengan suaranya yang garau, tapi bernada lembut dan agak lambat, matanya yang bening merenung wajah Emierda.
"Lapan tahun Emi tak datang ke vila ini. Pak Long ingatkan tahun ini pun Emi tak nak datang." Dia mengusap kepala gadis itu, penuh kasih sayang.
Selepas pemergian kedua-dua orang tua Emierda, Tuan Johanlah yang mengambil tanggungjawab menjaga Emierda. Tapi, hal itu cuma bertahan selama tiga tahun, apabila Emierda memutuskan untuk tinggal bersama Puan Julia di ibu kota. Masih jelas terbayang di mata Tuan Johan, betapa bingung dan takutnya gadis ini.
Ketika Emierda pergi dia sempat bertanya kepada Tuan Johan, kenapa hanya dia yang dapat mendengar dan melihat benda-benda menakutkan di dalam vila ini? Tuan Johan berat untuk membenarkan Emierda pergi, tapi terpaksa pasrah dengan pemergian Emierda. Dia berdoa, semoga di tempat baru Emierda akan bertemu ketengangan yang dicari-carinya.
"Maafkan Emi, pak long."
Emierda tersenyum tawar memandang Tuan Johan. Emierda tahu Tuan Johan tidak mungkin berdalih seperti Khalil. Dalam diam dia mula diusik perasaan serba salah. Dia sepatutnya menjadi berani, lebih berani untuk selalu menjenguk ayah saudaranya itu. Tapi, Emierda nampaknya lebih takut dengan gangguan yang dialaminya itu.
"Tapi, Emi..."
"Tak apalah, Emi."
Ayah saudaranya itu memotong kata-katanya, tersenyum lantas berbisik. "Yang penting Emi dah sampai. Sekarang naiklah dulu ke bilik Emi. Berehat. Malam nanti kita makan sama-sama, ya."
Emierda senyap buat seketika, hanya merenung Tuan Johan dengan senyuman.
"Pak long baik-baik saja, kan?"
"Sejak diserang strok tiga tahun lalu, kesihatan pak long kau meningkat, tapi sangat lambat." Puan Azie mencelah. Dia memandang suaminya seketika, sebelum kembali memandang Emierda.
"Tapi, mak long tetap bersyukur," katanya lagi.
"Betul, hari ini pak long betul-betul rasa hebat. Lebih-lebih lagi apabila dapat bersama dengan semua ahli keluarga kita." Tuan Johan tersenyum sambil memandang Emierda, menggambarkan rasa bersyukur dengan apa yang dicapainya setakat ini. Jari-jarinya mencapai tangan isterinya.
YOU ARE READING
Kelibat
Mystery / ThrillerUNTUK MELANGGAN www.dearnovels.my Jimat RM3 dengan pembelian secara online dan penghantaran PERCUMA TAJUK : KELIBAT PENULIS : NURUL OMAR ISBN : 978-967-14675-2-7 HARGA : RM24/RM27 Ditakdirkan Emierda mampu melihat dan mendengar benda-benda ghaib. L...