Wajah disembam ke dada Insyad. Sungguh, Zahra malu dirinya menjadi tatapan umum. Rasa nak pergi dari situ dengan secepat yang mungkin tetapi kakinya tak boleh berkompromi dengannya. Ketika sesi berebut sketchbook itu, dia tak sangka tindakannya itu akan mengundang bencana. Sehingga tak sedar, kakinya boleh luka dan lebam sampai begitu sekali. Mungkin disebabkan kaki meja itu diperbuat daripada besi malah ditambah lagi dengan marah yang membuak-buak. Jadilah teruk sampai macam tu sekali.
Bila terasa dirinya sudah diletakkan di dalam kereta, telapak tangan terus menutup wajah. Tangannya juga masih terketar-ketar. Mungkin disebabkan marahnya masih belum hilang lagi.
“You are safe now, dear,” ujar Insyad dengan nada lembut. Seolah memujuk.
“Safe? With you?” ulang Zahra. Wajah dikalih memandang Insyad. Api kemarahan jelas terpancar di matanya.
Insyad terdiam seketika. Dia tersalah menutur bicara. Bukan itu yang dia maksudkan sebenarnya. Dia ingin memberitahu bahawa wanita itu sudah selamat dari menjadi perhatian pekerjanya. Dia tahu Zahra malu, tapi dia perlu bertanggungjawab. Takkan dia hendak membiarkan Zahra pergi dengan kaki yang terhincut macam tu? Sedangkan, perkara itu terjadi disebabkan dia.
“I’m sorry… I tak sangka akan jadi macam ni. Bukan niat I nak…”
“Stop it. Just stop it. I nak balik!” Pintas Zahra. Mata dipejam. Semakin dia melihat wajah Insyad, semakin hatinya membenci.
“Tapi you perlu ke klinik, Ara.”
“I takkan mati hanya disebabkan lebam kat kaki ni! Kalau you tak nak hantar I balik, I boleh balik sendiri,” bidas Zahra. Hanya sekadar luka sikit tu, dia boleh bersihkan sendiri nanti. Lebam tu pula, dia akan cuba makan ubat penahan sakit. Itu sudah memadai dari dia ke klinik dan terus bersama Insyad lebih lama lagi.
“Okey. You nak I hantar ke mana?” Akhirnya Insyad akur. Biarlah kali ini dia menurut saja kemahuan Zahra.
Zahra diam. Sebaliknya, telefon bimbit dikeluarkan lalu nama ‘ayah’ dihubungi. Hanya dua kali deringan, panggilannya dijawab.
“Ara…” Suara garau Haji Ziyaad kedengaran menyapa.
Dan tak semena, air matanya bergenang. “Ayah…”
“Ara masih kat JB?”
“Tak. Ara balik KL hari ni. Ayah kat mana sekarang ni?” Tiba-tiba rindunya membuak pada orang tua itu. Setiap kali kembali ke Kuala Lumpur, hanya Haji Ziyaad yang ingin ditemui. Rindunya tak pernah bertandang buat Puan Yasmin. Jauh sekali buat adiknya.