15 TAHUN BERLALU...
Ariana Citra kembali ke Malaysia selepas melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di United Kingdom. Dia telah siap siaga dengan apa yang perlu dilakukan di Malaysia. Segalanya telah diaturkan dengan rapi. Ariana Citra tidak menoleh ke belakang sejak berada di rumah Mak Nona sehingga kini. Yang dia tahu hak dan dendam itu perlu dibalas walaupun terhadap ayahnya sendiri. Ini demi maruah dan demi ibunya yang kini berada di satu tempat yang tak sepatutnya. Terlalu banyak peristiwa yang telah berlaku dan di tangan Ariana Citralah semuanya patut berubah!
"Cik Dewi Uqasha?" tanya seorang lelaki separuh umur yang berpakian pemandu sambil memegang kertas dengan nama Dewi Uqasha.
"Ya saya." Ariana Citra mengangguk, kini selesa namanya dipanggil Dewi Uqasha. Sesuai dengan kehidupan barunya sejak 15 tahun yang lalu.
"Selamat Kembali ke Malaysia Cik Dewi. Saya ditugaskan menjemput Cik. Tuan Sri dan Puan Sri dah menunggu di rumah." Pemandu itu memberitahu lantas mengambil troli yang ditolak oleh Ariana Citra, tahu tugas yang perlu dilakukannya.
Ariana Citra tersenyum di balik kaca mata hitamnya. Kemudian dia buka kaca mata hitam itu perlahan.
"Terima kasih pak cik," ucapnya lembut tapi dalam nada seakan tegas.
"Boleh panggil saya Pak Ali, Cik Dewi." Pak Ali memperkenalkan diri. Dia pemandu keluarganya kini.
"Okey Pak Ali. Jom. Dewi pun dah tak sabar bertemu dengan mak ayah ni."
Ariana Citra berjalan keluar bersama Pak Ali yang menolak trolinya. Tiba-tiba seorang lelaki yang tergesa-gesa terlanggar bahu Ariana Citra hingga hampir membuatkan dia terjatuh. Nasib baiklah pantas saja Pak Ali memegang tangan Ariana Citra untuk menyeimbangkan badannya daripada terjatuh.
"Cik Dewi tak apa-apa?" tanya Pak Ali Cemas.
Ariana Citra tak membalas pertanyaan Pak Ali sebaliknya memandang lelaki yang melanggarnya tadi.
"Takde mata ke?" marah Ariana Citra.
Lelaki itu buat muka bersalah dan pandang Ariana Citra.
"Maaf, maaf Cik. Saya tak sengaja tadi. Saya nak cepat ni. Maaf ya." Lelaki itu meminta maaf.
Dan, apabila lelaki itu membuka kaca matanya. Sekilas wajah Ariana Citra berubah. Ariana Citra mengingat gambar terkini anak-anak Zahara yang baru diterimanya tadi. Dan yang sedang berada di hadapannya adalah Megat Huzair, yang kini menguruskan syarikat ayahnya. Abangnya yang berumur 3 tahun lebih tua daripada dirinya, anak sulung ayahnya.
"Tak apa. Awak boleh pergi. I'm okay." Ariana Citra berubah riak, langsung tidak marah. Lelaki itu terus berlalu selepas meminta maaf sekali lagi.
Pak Ali yang melihat perlakuan Ariana Citra terkejut. Ariana Citra tak mempedulikan, dia tidak mahu perkara itu menjadi panjang dan melambatkan dia balik bertemu kedua ibu bapanya di rumah. Bertemu Megat Huzair tadi pun merupakan satu perkenalan. Bagi Ariana Citra, ini mungkin langkah kanan dalam misinya.
"Pak Ali, jom. Kita dah lambat ni nanti risau pula mak dan ayah Dewi."
Sekilas Ariana Citra memandang ke belakang melihat Megat Huzair yang semakin hilang daripada pandangan.
'Kita akan jumpa lagi Megat Huzair,' gumam Ariana Citra dengan senyuman, langkahnya diteruskan menuju masuk ke lif untuk ke parkir kereta.
Sebaik saja kereta yang dipandu Pak Ali bergerak ke jalan raya utama. Ariana Citra mula mengingat pelbagai perkara yang berlaku selama 15 tahun itu. Kembalinya dia ke Malaysia dengan seribu kerinduan terhadap ibunya. Ariana Citra tahu, dirinya berada dalam keadaan yang begitu malang. Ayahnya hidup dengan si ular Zahara bahagia bersama anak-anaknya sementara ibunya pula berada di sebuah tempat yang terpaksa dikurungkan. Jauh di dalam hati, Ariana Citra sangat sedih. Sering timbul persoalan dalam dirinya.
YOU ARE READING
Revenge
Mystery / ThrillerRevenge - Muhammad Fatrim KarnaDya Publishing Sdn Bhd Akan Mula Dijual di Ekpo Buku Malaysia 2016 Ariana Citra mahu menghancurkan keluarga baru ayahnya sendiri dan mendapatkan haknya yang dibuang selama 17 tahun. Demi misi dendamnya, Ariana Citra m...