"MAMA, kita nak ke mana?" tanya Ariana Citra apabila ibunya memimpin tangannya berjalan tanpa henti tanpa sebarang tujuan. Hari pula makin bertukar gelap.
Tiada jawapan. Khadijah tetap berjalan dan berjalan. Seolah-olah di hadapan itu ada sebuah harapan yang tak pasti. Khadijah berasa sakit, kepercayaan selama ini hancur lebur berkecai. Langsung tak menduga Zakaria akan mengkhianati kepercayaan keluarganya selama ini. Pemuda yang kelihatan baik itu hilang rasa dan tamak. Khadijah tidak mahu lagi mengingati masa lalu, masa-masa bahagia palsu dia dengan Zakaria. Titik!
"Mama, kita nak ke mana mama?"
Sekali lagi Ariana Citra bertanya tapi tidak diendahkan.
"Kaki Ariana sakit mama..."
Dan apabila Ariana Citra mengeluh. Barulah Khadijah berhenti berjalan. Baru dia sedar dia sedang memimpin Ariana Citra anaknya tanpa hala tujuan.
"Ariana, maafkan mama."
Khadijah memeluk anaknya erat. Ariana Citra faham apa yang sedang berlaku.
"Kita dah takde rumah Ariana. Mama harap Ariana faham." Khadijah memberitahu Ariana Citra dengan harapan anaknya itu faham apa yang dia cuba bicarakan.
Melihat anaknya yang masih kecil, Khadijah rasa bersalah. Barulah dia mula fikir masa depan Ariana Citra. Dia sudah tak punya apa-apa, semuanya sudah dia berikan pada Zakaria lelaki tak guna itu. Dan, walaupun ugutan bunuh sekalipun dari madunya. Mungkin dengan meletakkan Ariana Citra di bawah jagaan suaminya lebih baik. Masa depan apa yang dia boleh berikan kepada Ariana Citra anak yang disayanginya itu? Khadijah percaya, Zahara ular itu takkan mengapa-apakan Ariana Citra. Lagipula, Ariana Citra semenjak kecil sudah hidup senang, takkan mampu mengenal erti sebuah kesusahan.
"Ariana balik rumah papa ya. Ariana nanti ada abang dan adik. Papa akan jaga Ariana." Khadijah mula memujuk.
"Tak mama. Ariana dengan mama. Papa dah benci kita mama, Ariana tak mahu balik ke rumah tu. Ariana akan jaga mama. Papa dah mati mama. Papa dah mati!" Ariana Citra berteriak keras.
Khadijah tersentak.
"Ariana, tak baik cakap macam tu."
"Mama, papa dah tak sayangkan kita. Papa dah mati mama. Papa yang dulu dah tak ada."
Khadijah diam, tak mampu membalas apa-apa. Seorang anak kecil berumur tujuh tahun boleh berfikir sejauh itu. Tapi, pihak sekolah pernah memberitahu Khadijah bahawa Ariana Citra adalah pelajar luar biasa cemerlang di sekolahnya. Jadi, pada fikiran Khadijah apabila Ariana Citra sudah mula memahami keadaan seperti orang dewasa, itu beerti Ariana Citra tidak berfikir seperti budak perempuan seusianya dan mampu memahami keadaan mereka kini.
"Ariana, keadaan kita tak sama macam dulu nak. Kita dah lain. Kita akan hidup susah nak. Mama tak mampu berikan apa yang Ariana nak macam dulu." Khadijah cuba lagi meyakinkan Ariana Citra, dia tahu anak kecil marahnya cuma seketika.
"Mama, tak apa. Ariana ada mama pun dah cukup. Ariana takkan balik ke rumah tu." Ariana Citra tekad.
Ariana Citra genggam kuat tangan mamanya tidak mahu melepaskan. Saat itu, apa yang terfikir oleh Khadijah adalah membawa Ariana Citra ke tempat yang boleh memberi mereka perlindungan, tapi ke mana? Rumah yang Zakaria duduki itu adalah rumah milik keluarganya, tempat dia membesar dari kecil sebagai anak tunggal kepada Tan Sri Iskandar dan Puan Sri Aisha.
Ibu bapa Khadijah meninggal dunia dalam kecelakaan jalan raya 4 tahun lalu dengan berwasiat menyerahkan seluruh harta kepada suaminya Zakaria yang tidak punya apa-apa. Dengan harapan dapat menjaga anaknya. Selama beberapa tahun itu Zakaria adalah seorang lelaki yang baik. Sehinggalah apa yang terjadi pagi tadi. Khadijah mula sedar, mempercayai Zakaria samalah seperti mempercayai seorang penipu!
YOU ARE READING
Revenge
Misterio / SuspensoRevenge - Muhammad Fatrim KarnaDya Publishing Sdn Bhd Akan Mula Dijual di Ekpo Buku Malaysia 2016 Ariana Citra mahu menghancurkan keluarga baru ayahnya sendiri dan mendapatkan haknya yang dibuang selama 17 tahun. Demi misi dendamnya, Ariana Citra m...